Tuesday, 7 December 2021

PENGENALAN SENI PISAU

Dalam keilmuan Gayong, permainan senjata yang terawal diperkenalkan adalah permainan Seni Pisau. Pelajaran Seni Pisau akan mula dipelajari oleh pesilat yang telah tamat pelajaran peringkat Awan Putih iaitu terangkum dalam pelajaran Pelangi Hijau dan akan diuji dalam ujian Pelangi Merah. Mengapa Seni Pisau dan bukan Seni Tongkat yang dipelajari dahulu? 


Pisau.. senjata ringkas dan mudah didapati sekeliling kita.


Susunan pelajaran atau silibus sudah tentunya disusun oleh Guru-Guru yang berpengalaman mengajar. Tingkatan keupayaan pesilat untuk menguasai sesuatu pelajaran diambil kira. Perkembangan tubuh badan pesilat dan otot-otot turut diambil kira dalam susunan pelajaran. 

Selepas tubuh badan pesilat beradaptasi dengan gerakan silat tangan kosong iaitu telah matang dari segi tapaknya, gerak tubuhnya mantap dan langkahnya tidak sumbang serta tidak teragak agak maka ini meyakinkan Guru untuk memulakan atau memperkenalkan permainan senjata. Selalunya dalam kaedah pembelajaran ketika ini, (2-3 jam seminggu) jangkamasa pesilat untuk mahir tangan kosong adalah sekurang-kurangnya 3 tahun atau 2 tahun jika konsisten berlatih. 

Berbalik pada persoalan asal, mengapa pisau? 

Keadaaan fizikal pisau yang ringkas memudahkan ia dikemudikan oleh pesilat. Pembentukkan otot yang telah ada ditambahkan lagi dengan sedikit beban, sudah tentu tidak banyak bezanya dengan permainan tangan kosong, cuma kelebihan di sini ia berbilah dan tiada saraf sakit yang bersambung dengan otak kita. Sudah tentu itu memberikan kelebihan pada kita bila berhadapan dengan lawan yang tiada senjata. 

Seperti kaedah pelajaran tangan kosong, kaedah pelajaran seni senjata juga disusun dengan aliran tingkatan perkembangan yang sama. Pesilat akan diajar dengan gerakan pisau di mana di dalam gerakan tersebut dimasukan kaedah kemudi senjata, serangan dan belaan seperti tikaman anak sungai, pasak jantan, radak sula, simbat relang, simbat keli, radak benih dan hiris. Kemahiran mengemudi senjata dengan variasi serang/bela tersebut perlu dikuasai sebelum masuk ke fasa latihan berpasangan. 

Disebabkan sifat senjata itu pendek, maka format permainan dia agak pantas dengan kaedah segerak. Elakannya disertai dengan tangkapan. Sekiranya tidak disertai dengan tangkapan, elakan/tepisan  dibuat dengan jarak jauh iaitu menggunakan kaedah sepakan. Mengapa? kerana kekuatan momentum kaki lebih tinggi dari tangan maka tepisan dengan kaki akan melemahkan tangan yang menyerang atau boleh menyebabkan senjata jatuh dari genggaman. 

Selepas mahir dengan elakan dan tangkapan, seterusnya pesilat akan dilatih dengan seni kuncian pisau. Dalam permainan senjata, fokus utama adalah mematikan serangan senjata. Samaada melemahkan pengemudi senjata atau melepaskan senjata dari pegangan pengemudi. Semasa menaip blog ini, saya terbayang bagaimana air mata hati yang keras ini hampir mengalir kerana kesakitan yang tidak dapat dizahirkan dengan jeritan. Senjata tidak diendahkan lagi kerana penahan kesakitan. (ALLAH... masa itu terbayang siksaan pada kaum wanita dibumi Palestin atau pun wanita yang dikasari.) Namun bayangan itu kini dengan senyuman kerana dapat merasa jerih pahit bersilat. Menahan kesakitan juga merupakan suatu elemen yang dilatih dalam ilmu persilatan.

Begitulah aliran susunan silibus. Ia dibuat secara berperingkat dan sistematik. Maka, jangan sesekali skip pelajaran. Jika tidak sebatian tiada dalam tubuh dan diri. 

Secara ringkas susunan pelajaran Seni Pisau dalam keilmuan Gayong : 

a) Gerakan / Senaman

b) Elakan

c) Kuncian 

d) Kombat

e) Tapak Hidup

Mungkin ada yang terlintas di fikiran, mengapa terlalu banyak pelajaran yang perlu diingati? Moga dapat jawap sendiri soalan ini dengan soalan berapa banyak masa untuk kita betul mahir dengan permainan seni pisau? Bagaimana nak mahir jika tiada latihan yang di susun melalui siri pelajaran dalam susunan silibus. 

Guru ada berpesan, jadikan senjata seperti anggota tanganmu sendiri. 


LBN


Rujukan :
1) PSM Azizan Ibrahim.
2) PSM Amir Fadhli Razali.



Sunday, 5 December 2021

YANG ASAL, TETAP ASAL

Sebagai pesilat kita perlu memahami setiap ilmu yang kita pelajari bukan sekadar mengajuk perbuatan dari orang lain kita rasakan Gah. Setiap ilmu ada displin nya. Displin kita sebagai murid jangan sesekali menokok tambah suatu perbuatan dan menyatakan ia merupakan sesuatu yg dipelajari dari Gurunya. Lain kiranya kita menyatakan ia adalah variasi atau pecahan dari apa yang dipelajari. Yang asal tetap asal. 

Berguru.. bermaksud kita bersandar pada Guru kita.. 



Perkara ini jika tidak diambil berat ia akan memberi kesan pada keaslian ilmu dan seterusnya jika tidak dikawal akan mengakibatkan timbul sesuatu perbuatan yang tidak bermakna dan jauh menyimpang dari yang asal.

Pernah suatu ketika dulu, ada dua kumpulan yang berbalah tentang keaslian ilmu mereka. Pada ketika itu, tidaklah terfikir akan akibat dan kesan perbalahan itu. Malah pada ketika itu dirasakan perkara tersebut tidak sepatutnya dibalahkan kerana manusia kejadiannya berbeza dan variasi boleh wujud. 

Namun sekarang bila melihat kehancuran keaslian ilmu.. sehingga  tidak dapat mengenalpasti identitinya barulah diri ini sedar betapa pentingnya golongan yang menjaga keaslian ilmu. 

Mengapa ini terjadi ? Perkara berikut mungkin antara penyebabnya.

a) perbuatan suka mengubahsuai mengikut kesesuaian dan kekurangan diri;

b) perbuatan yang suka mencampur adukkan ilmu dengan alasan untuk mencantikkan lagi atau untuk dilihat lebih Gah sehingga hilang maksud sebenar;

c) semasa menjadi murid tidak bersungguh memahami ilmu dan apabila bergelar guru tidak menyampaikan perkara yang sebenar kepada muridnya dan akhirnya kejadian seperti ini berterusan sehingga menyebabkan hilang terus maksud sebenar ilmu;

d) kegagalan untuk mengingati sesuatu ilmu kerana ilmu yg diperolehi tidak diamalkan dan lama kelamaan ia hilang sebahagian atau hilang seluruhnya;

e) kegagalan utk merekodkan atau mencatat ilmu yang dipelajari.

Oleh yang demikian, perlu ditekankan disini, jika anda sebagai murid, pelajarilah ilmu dengan sepenuh hati. Sebagai Guru, turunkan lah ilmu mengikut pelajaran yang diambil dari Guru kerana ilmu itu bersanad ia bukan rekaan. 

Seperti pesanan seorang Guru 'Ilmu ini amanah, jika tidak tahu, jangan malu menyatakan tidak tahu'

LBS

Wednesday, 14 July 2021

ASAS ELAKAN

Pelajaran asas kedua yang diajar di dalam gelanggang beladiri khasnya Silat Seni Gayong adalah Elakan. 

Anak GPKN berlatih asas elakan.


Setelah pesilat mahir dalam bertapak dan kaedah serangan termasuk elemen lain di dalam kaedah serangan seperti berkisar tapak dan kestabilan tapak, pesilat akan diajar kaedah belaan asas iaitu elakan. Sebenarnya jika diperhatikan, pelajaran elakan telah pun diterapkan di dalam pelajaran kaedah gerakan asas iaitu tumbuk pintal tali dan pancung dayung.

Elemen elakan ini dapat dilihat di dalam perbuatan berkisar tapak sambil menukarkan haluan serangan. Namun ia tidaklah ditekankan semasa pelajaran gerakan asas kerana pendekatan asas yang ingin ditanamkan di dalam diri pesilat adalah PENGUASAAN dan KESTABILAN TAPAK.

Mengapa ianya penting dan ditanamkan diawal latihan? 

Sekiranya ianya tidak dikuasai dan dimahirkan maka ia akan mengalami sedikit kesukaran dalam aplikasi pelajaran elakan. 

Prinsip asas yang perlu ada dalam melakukan elakan adalah :

- menyalahkan serangan pihak lawan 

- menggugat kestabilan rumah/tapak/kedudukan pihak lawan 

- membuka ruang untuk serangan susulan 

Tiga prinsip di atas perlu difahami dan dipraktikkan dalam perbuatan elakan untuk memastikan elakan yang dibuat 'clean' atau selamat/efektif. 


Kaedah elakan yang betul dengan memahami prinsip dalam elakan


Kalau dilihat kembali penegasan saya di atas tentang kaitan pelajaran 1 iaitu asas gerakan dan asas elakan, kesinambungan pelajaran itu boleh dilihat pada prinsip elakan yang pertama iaitu 'menyalahkan serangan lawan'.

Apakah perincian tersebut? Ya, berkisar tapak atau secara am di sebut sebagai kelek/menyamping/mengelak.

Maka, perlu diingatkan bagi pesilat yang baru menceburi seni bela diri khasnya silat. Tiada jalan singkat untuk mahir, melainkan menguatkan perkara yang asas. 

Prinsip yang kedua, menggugat kestabilan tapak/rumah/kedudukan pihak lawan. Prinsip ini, mencukupkan lagi sifat elakan iaitu 'selamat'. Kita bukan sahaja mengelakan / menyalahkan serangan, kita juga memastikan pihak lawan mengambil masa untuk membuat tindakan susulan dan ini merupakan faktor 'selamat' dalam elakan. Pihak lawan yang mana kedudukan/kestabilan tapaknya telah digugat secara alaminya akan membetulkan dulu kedudukan sebelum melancarkan serangan susulan. Bagaimana kaedah/praktik nya dalam elakan asas (7 asas elakan pertama) tersebut? Perkara ini telah saya terangkan dalam kelas GPKN secara online untuk sesi ke-2.

Manakala prinsip yang ketiga adalah membuat ruang serangan untuk tindakan susulan. Bila lengkap ketiga-tiga prinsip di atas, maka elakan yang dilakukan sempurna. Maka, pesilat sudah sedia untuk tingkatan pelajaran seterusnya iaitu itu Elak Pukul.

Perkara di atas memang sukar difahami oleh pesilat sekiranya pesilat tidak dapat hadir ke gelanggang. Namun begitu, keadaan yang ditakdirkan ALLAH S.W.T bukanlah sesuatu yang harus dijadikan sebab atau alasan untuk kita tidak terus berlatih. Pastinya ada kebaikkan di atas setiap sesuatu yang ditakdirkan. 


Suasana latihan di GPKN sebelum zaman pendemik Covid 19

Jika di dalam gelanggang dahulu saya tidak dapat menerangkan secara terperinci untuk sesuatu pelajaran lantaran perlu memeriksa dan membetulkan setiap perbuatan bagi setiap pesilat dalam masa yang singkat. Maka, dengan peluang ini saya dapat memberi perincian yang perlu kepada semua pesilat GPKN.


Persaudaran GPKN tetap diteruskan secara atas talian.


Maka saya menyeru, pesilat GPKN agar jangan lepas peluang yang diberikan ALLAH S.W.T kepada kita semua. InsyaALLAH. 

LBS

Rujukan : 
1) Buku Dasar Ilmu SSG, karangan PSM Azizan Ibrahim.
2) PSM Amir Fadhli Razali.















Saturday, 10 July 2021

SENI BUNGA TANJUNG

Gerakan Seni Bunga Tanjung, adalah merupakan salah satu asas gerakan bagi silibus tangan kosong dalam keilmuan Gayong. Di dalam gerakan ini terdapat  gabungan gerakan lembut dan gerakan kasar. 

Bunga Tanjung merupakan bunga yang berbau wangi dan berwarna putih yang mempunyai khasiat dalam perubatan tradisional.

Gerakan lembut dalam gerakan ini dibuat mengikut alur pergerakan yang bersinambungan bagai aliran air. Gerakan ini dimasukkan ke dalam silibus Gayong bagi mengimbangi unsur lembut dan keras dalam keilmuan gayong. Seperti sedia maklum, tujuan asas  gerakan dimasukkan dalam silibus bagi melatih pesilat untuk memahirkan diri dengan gerakan-gerakan yang akan terbit dalam silibus atau permainan yang lebih tinggi. Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai senaman. Khasnya bagi Gerakan Seni Tanjung dapat melatih pesilat untuk menguatkan kaki.

Dalam kelembutan pergerakan Seni Bunga Tanjung, terdapat unsur belaan yang dipamerkan. Maka, pesilat perlu faham unsur tersebut agar gerakan yang diperlihatkan bukan sekadar gerakan tari penyedap mata. Kefahaman dasar gerakan tersebut akan membuatkan gerakan yang dibuat  lebih 'hidup'.

Apakah unsur belaan tersebut ? Seperti yang dimaklumkan oleh Guru-Guru saya (Ayahanda Cikgu Amin Hamzah dan anak-anak murid kanannya), berikut adalah unsur-unsur belaan yang mendasari Gerakan Bunga Tanjung.

1. Kuak 

Bermula dengan kedua tapak tangan bercantum, bergerak ke atas sambil menguak ke luar. Sesuai digunakan untuk melepaskan diri daripada cekikan leher. 

2. Kalong 

Perbuatan mengalung dengan cara memusingkan sendi pergelangan tangan. Sesuai digunakan bagi melepaskan diri dari genggaman tangan. 

3. Sisip 

Perbuatan menyisipkan belakang tapak tangan ke atas lengan tangan yang satu lagi. Digunakan untuk melepaskan diri daripada genggaman atau tangkisan. Boleh juga digunakan bersekali dengan kalong atau sentap. 

4. Kedu

Perbuatan melipatkan sendi siku ke arah tubuh pesilat. Digelar IBU PELEPAS.

5. Kelek 

Perbuatan menyalahkan perbuatan serangan lawan dengan memusingkan badan dalam arah berserenjang dengan sumber serangan.

6. Sangga

Perbuatan menangkis atau mengadang serangan lawan.

7. Potong

Perbuatan menyalahkan dan menghentikan serangan lawan.

8. Main Gelombang

Perbuatan menukarkan kedudukan tinggi kepada kedudukan rendah merupakan kaedah belaan yang mana ia merupakan pemati / penamat kepada belaan.  

Seperti juga asas gerakan lain yang merupakan asas bagi permainan senjata, gerakan seni bunga tanjung juga merangkumi beberapa seni senjata. Apakah senjata tersebut?

Ia juga dikatakan mengandungi Rahsia keilmuan Gayong.. apakah Rahsia itu? Silalah bertemu dengan Guru Tua yang masih ada (Ayahanda Cikgu Mohd Amin Hamzah dan anak murid kanannya) untuk mengetahui Rahsia di sebalik Seni Bunga Tanjung.


" Dalam Gerak ada Tari, Dalam Tari ada Buah, dan Dalam Buah ada Bunuh!".


LBS

Rujukan : 
1) Buku Dasar Ilmu SSG, karangan PSM Azizan Ibrahim




Friday, 2 July 2021

TUMBUK PINTAL TALI

Menjadi syarat bagi seseorang yang ingin mempelajari ilmu persilatan untuk menguasai asas gerakan. Konsep ini tergunapakai untuk setiap aliran persilatan dan juga seni bela diri aliran lain. 

Gelanggang GPKN

Untuk penguasai sesuatu ilmu dengan baik, seseorang itu perlu memahami ilmu tersebut dan mampu menerangkannya dengan baik. Oleh yang demikian, pengasas ilmu Seni Silat Gayong, ALLAHyarham Dato' Meor Abdul Rahman telah meletakkan nama nama yang boleh membuatkan pesilat memahami kehendak sesuatu pelajaran, gerakan, kuncian dan sebagainya.  

Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, gerakan asas pertama yang diajarkan adalah Tumbukan Pintal Tali. Ia adalah sama dengan gerakan asas bagi aliran silat lain yang disebut sebagai Gerakan Tumbukan. Namun dalam keilmuan Silat Seni Gayong, ia dipanggil dengan nama yang simbolik dan unik iaitu Tumbukan Pintal Tali. 

Tumbukan pintal tali ini dijadikan gerakan asas yang pertama dalam keilmuan Silat Seni Gayong kerana ia adalah asas kepada pelbagaian jenis serangan tangan seperti, Tikaman Anak Sungai, Tusuk Rajawali, Telapak Harimau, Seligi, Paras dan lain-lain.

Kaedah Tumbuk Pintal Tali yang betul adalah bermula dengan Kelek Anak, Berkisar Tali dan Emas Sepukal. Berikut adalah garis panduan kaedah Tumbukan Pintal Tali.

1 - Menggengam dengan kaedah yang betul (3 perbuatan genggam, ibu jari disimpan kemas di atas jejari yang lain, genggaman yang tidak kemas akan menyebabkan risiko kecederaan dan kesan tumbukan tidak maksimum)

2 - Kedudukan asal sebelum melancarkan serangan berada di kedudukan sisi rusuk (Kelek Anak).

3 - Sentiasa pandang pada sasaran iaitu fokus dan menumpuan pada saranan.

4 - Menumbuk pada arah bahu menghala ke tengah garis tubuh lawan (Berkisar Tali).

5 - Sendi pergelangan tangan di kunci dan perkemaskan genggaman (Emas Sepukal) dan dipastikan kedudukan tumbukan tidak terdongak atau tertunduk ke bawah kerana ia akan mencederakan pergelangan.

6 - Kombinasi kedudukan tapak, berkisar tapak dan hembusan nafas (suara) akan memberi kesan tumbukan yang sempurna, mantap dan efektif.

Jadi, kenapa ia di gelar Tumbukan Pintal Tali?


Tumbukan Pintal Tali

Perhatian gambar struktur tali yang berpintal di bawah.




Apakah kaitannya struktur pintal tali ini dengan Tumbukan Pintal Tali ?


LBS

Rujukan : 
1) Buku Dasar Ilmu SSG, karangan PSM Azizan Ibrahim

Thursday, 1 July 2021

SENI SENJATA


Dalam keilmuan Seni Senjata, terdapat 3 jenis senjata yang menjadi asas kepada seni senjata yang lain. Rangkuman seni permainan pelbagai jenis senjata di alam Melayu ini dibahagikan kepada 3 jenis seni senjata adalah berdasarkan sifat fizikal dan sifat serangan dan belaannya. 

Tiga senjata asas yang menjadi asas permainan kepada senjata lain adalah Keris, Simbat dan Cendai.


Cikgu Amin Hamzah sedang menunjukkan permainan Seni Senjata Keris


Daripada Seni Senjata Keris akan terbit permainan senjata lain yang mempunyai sifat yang hampir sama cirinya iaitu bersifat pendek dan tajam yang digunakan untuk serangan menikam, menghiris, memotong, relang dan sebagainya.

Antara aplikasi Permainan Seni Senjata Simbat

Bagi asas Seni Simbat pula, ia diaplikasikan bagi senjata yang berciri tumpul dan panjang yang  mana sifat serangannya bersifat melibas, menghayun, menghentak dan lain-lain. 

Manakala bagi Seni Cendai, yang fizikalnya bersifat lembut dan longlai membolehkan ia membelit dan menjerut. 

Gabungan asas permainan Senjata Keris dan Simbat diaplikasikan dalam permainan senjata lain seperti Seni Senjata Sundang

Gabungan aplikasi bagi ketiga-tiga Seni Senjata ini, menerbitkan permainan senjata-senjata lain di alam Melayu antaranya pisau, kerambi, lembing, gada-gada, kapak, sabit dan parang. 

Permainan Seni Pisau 


Namun begitu tidak dinafikan kewujudan Senjata Panah di alam Melayu. Apakah Seni yg terkandung di dalam Senjata Panah?


Seni Memanah


LBS

Rujukan : 
1) Buku Dasar Ilmu SSG, karangan PSM Azizan Ibrahim







Tuesday, 25 May 2021

PESAN GURU 2 : SELALU MERENDAH DIRI


"Jangan sesekali kita merasakan diri kita hebat dari yang lain.. ingat.. kalau kita hebat... Ada orang lain yang lagi hebat" - pesan Guru.

Kata kata Guru adalah mutiara hidup bagi murid


Bila kita berpeluang bersama Guru, dengarlah setiap butir bicaranya dengan teliti. Manakan tahu, ada di antara butir bicara Guru itu merupakan teguran ALLAH S.W.T kepada kita. 

Ada di antara pesanan-pesanan Guru, seperti di atas menjadi pendinding diri dan pedoman kepada kita agar kita tidak keterlaluan dalam sesuatu perkara.

Sebagai pesilat, sifat merendah diri perlu ada. Sifat ini bukan sahaja perlu dalam diri pesilat malah ia menjadi keperluan bagi diri seorang pesilat. Jika tidak, maka jadilah perkara buruk seperti pergaduhan, buli membuli dan sebagainya dek kerana merasakan diri sudah hebat.

Saya secara personalnya, memang menggalakkan seorang remaja yang mempunyai masalah sosial dan berkelakuan kurang baik agar dipaksa untuk mempelajari silat. Namun hal ni selalu disalah ertikan. Ada di antara ibu bapa dan netizen mendakwa dengan mempelajari silat akan membuatkan seorang remaja itu lebih buas dan suka melibatkan diri dengan pergaduhan. Hal ini sama sekali tidak benar secara dasar ilmu persilatan itu sendiri.

Malah saya bercita-cita ingin menyemaikan pelajaran silat ini kepada setiap anak anak yang masih kecil agar ia dapat diasuh dan dibentuk dengan dasar ilmu persilatan yang betul.

Hebat itu rasa... Maka belajarlah silat sehingga dapat merasa dan melihat Empunya Hebat.

LBS





Monday, 24 May 2021

PESAN GURU 1 : SERANG DAN ELAK DENGAN BETUL

"Bila berlatih.. buat dengan betul.. jangan buat sambil lewa... Bila serang.. serang dengan betul... Jangan main main... Nanti kawan tak boleh berlatih mengelak dengan betul... Bila mengelak.. mengelak dengan betul.. nanti depan lawan kita kekok..." - pesanan Guru

Itu antara pesan Guru.

Sikap Pasang yang betul akan menghasilkan serangan yang tepat

Mengapa Guru amat menekankan pesanan tersebut?

Jika dalam latihan kita tidak membuat sesuatu  gerakan contohnya serangan dengan bersungguh, guru tidak dapat membuat penilaian atau ulasan dengan tepat ke atas perbuatan pesilat. Ini merugikan masa latihan dan tenaga bagi pesilat.

Apa maksud dengan bersungguh??

Bersungguh di sini membawa maksud, pesilat membuat serangan dalam bentuk format yang betul dan teratur seperti yang telah diajarkan. Iaitu, kedudukan tapak, sikap pasang, kedudukan tangan, pandangan mata, pada keadaan sebelum serangan, semasa serangan dan selepas serangan.

Adakalanya, disebabkan serangan dan belaan pesilat tidak mengikut format yang betul, ia akan mendatangkan risiko kecederaan pada pihak pesilat dan pasangannya. 

Pada kebiasaannya, memang pada awal waktu latihan pesilat akan melakukan dengan bersungguh, namun apabila di arahkan untuk melakukan latih tubi (latihan berulang-ulang), pesilat akan mula mengambil ringan tentang tapak, kaedah dan sebagainya. Hal ini tidak bertepatan dengan tujuan latih tubi itu sendiri. 

Semakin kita mengulangi sesuatu pelajaran dalam masa yang panjang, badan kita akan jadi letih dan mula mengambil cara mudah dalam gerakan. Jika pesilat tidak melatih diri dalam menghadapi situasi begini, maka dalam suatu pertarungan yang sudah tentu meletihkan pesilat akan mudah hilang punca dan serangan tidak menjadi sama sekali. Oleh yang demikian, bersungguh lah berlatih di dalam gelanggang walaupun ia meletihkan. 

Selain itu, pesanan Guru di atas merupakan suatu didikan Adab ke atas pesilat. Secara simboliknya, pesanan itu lebih kepada mendidik pesilat supaya beradab di dalam gelanggang. 

Di dalam gelangggang, pesilat seharusnya kelihatan bersungguh sungguh mempelajari dan berlatih setiap pelajaran yang di ajar oleh Guru. Hal ni, akan membuatkan Guru akan lebih bersemangat untuk memberi pelajaran yang lebih terperinci termasuk memberi petua gerak dan langkah.

Maka, amatilah pesanan Guru ini agar masa kita digelanggang tidak sia sia dan mendapat keberkatan dari beradabnya kita dengan Guru.

WaALLAHua'lam

LBS