Monday, 24 May 2021

PESAN GURU 1 : SERANG DAN ELAK DENGAN BETUL

"Bila berlatih.. buat dengan betul.. jangan buat sambil lewa... Bila serang.. serang dengan betul... Jangan main main... Nanti kawan tak boleh berlatih mengelak dengan betul... Bila mengelak.. mengelak dengan betul.. nanti depan lawan kita kekok..." - pesanan Guru

Itu antara pesan Guru.

Sikap Pasang yang betul akan menghasilkan serangan yang tepat

Mengapa Guru amat menekankan pesanan tersebut?

Jika dalam latihan kita tidak membuat sesuatu  gerakan contohnya serangan dengan bersungguh, guru tidak dapat membuat penilaian atau ulasan dengan tepat ke atas perbuatan pesilat. Ini merugikan masa latihan dan tenaga bagi pesilat.

Apa maksud dengan bersungguh??

Bersungguh di sini membawa maksud, pesilat membuat serangan dalam bentuk format yang betul dan teratur seperti yang telah diajarkan. Iaitu, kedudukan tapak, sikap pasang, kedudukan tangan, pandangan mata, pada keadaan sebelum serangan, semasa serangan dan selepas serangan.

Adakalanya, disebabkan serangan dan belaan pesilat tidak mengikut format yang betul, ia akan mendatangkan risiko kecederaan pada pihak pesilat dan pasangannya. 

Pada kebiasaannya, memang pada awal waktu latihan pesilat akan melakukan dengan bersungguh, namun apabila di arahkan untuk melakukan latih tubi (latihan berulang-ulang), pesilat akan mula mengambil ringan tentang tapak, kaedah dan sebagainya. Hal ini tidak bertepatan dengan tujuan latih tubi itu sendiri. 

Semakin kita mengulangi sesuatu pelajaran dalam masa yang panjang, badan kita akan jadi letih dan mula mengambil cara mudah dalam gerakan. Jika pesilat tidak melatih diri dalam menghadapi situasi begini, maka dalam suatu pertarungan yang sudah tentu meletihkan pesilat akan mudah hilang punca dan serangan tidak menjadi sama sekali. Oleh yang demikian, bersungguh lah berlatih di dalam gelanggang walaupun ia meletihkan. 

Selain itu, pesanan Guru di atas merupakan suatu didikan Adab ke atas pesilat. Secara simboliknya, pesanan itu lebih kepada mendidik pesilat supaya beradab di dalam gelanggang. 

Di dalam gelangggang, pesilat seharusnya kelihatan bersungguh sungguh mempelajari dan berlatih setiap pelajaran yang di ajar oleh Guru. Hal ni, akan membuatkan Guru akan lebih bersemangat untuk memberi pelajaran yang lebih terperinci termasuk memberi petua gerak dan langkah.

Maka, amatilah pesanan Guru ini agar masa kita digelanggang tidak sia sia dan mendapat keberkatan dari beradabnya kita dengan Guru.

WaALLAHua'lam

LBS






No comments:

Post a Comment