Showing posts with label Seni Tangan Kosong. Show all posts
Showing posts with label Seni Tangan Kosong. Show all posts

Sunday, 3 March 2019

PELAJARAN SENI TANGAN KOSONG

Pelajaran Seni Tangan Kosong atau dikenali sebagai Pelajaran Tanpa Senjata merupakan asas pada permainan seni senjata. Setiap pesilat perlu memahirkan diri dengan pelajaran tangan kosong sebelum dibenarkan untuk mempelajari seni senjata.

Dalam keilmuan Silat Seni Gayong seperti yang diajarkan oleh Guru saya Ayahanda Cg Amin Hamzah, susunan pelajaran disusun supaya ia mudah diajar dan dipelajari. 

Ayahanda Cg. Amin Hamzah menerangkan susunan Pelajaran Seni Tangan Kosong
Secara Am kaedah susunan pelajaran adalah seperti berikut :

a) Senaman
  - Aktiviti silat merupakan suatu aktiviti fizikal yang agak berat. Oleh itu, tubuh badan perlu bersedia untuk menghadapi sesi latihan yang menguji ketahanan fizikal. Aktiviti senaman termasuklah aktiviti pemanasan badan, regangan, stamina, membina otot badan, dan lompatan Senaman Anak Harimau.

b) Gerakan
  - Gerakan terbahagi kepada gerakan asas yang bersifat tunggal (bukan kombinasi gerakan) dan gerakan berangkai (kombinasi gerakan asas, serang dan bela). Sebagaimana yang telah saya maklumkan pada paparan blog yang terdahulu, gerakan juga merupakan satu bentuk senaman. Beza antara gerakan dan senaman sangatlah jelas begitu juga dengan manfaatnya. Melaksanakan senaman jelas memberi kesediaan tubuh badan untuk memulakan latihan fizikal manakala gerakan bukan sahaja memberi manfaat yang sama dengan senaman malahan juga berupaya membentuk memori otot. 

c) Elakkan
- Elakkan merupakan asas belaan yang pertama perlu dipelajari oleh pesilat. Ia merupakan perkara asas dalam ilmu bela diri. Kaedah elakan dalam Silat Seni Gayong, selalunya disusuli dengan kaedah tangkisan. Kaedah elakan berperanan untuk menyalahkan serangan lawan manakala tangkisan berperanan untuk menggugat kestabilan tapak lawan dan mewujudkan kawasan selamat. 

d) Elak Pukul
- Apabila pesilat telah mahir dalam kaedah elakan, pesilat seterusnya akan diajar pula kaedah serangan susulan. Serangan susulan ini akan tertumpu pada sasaran pelemah atau sasaran maut. Ia bertujuan untuk melemahkan pertahanan lawan dan membuatkan pihak lawan hilang fokus untuk melakukan serangan balas.

e) Kuncian
- Kaedah kuncian sebenarnya merupa kaedah untuk melumpuhkan atau menewaskan pihak lawan secara keseluruhan. Pelajaran ini, akan didedahkan setelah pesilat matang dalam kaedah bertapak dan asas belaan iaitu elakkan dan elak pukul. Kaedah kuncian merupakan suatu kaedah berseni yang mana kaedahnya tertumpu pada sekatan sendi-sendi anggota. Pesilat disarankan untuk berlatih dibawah seliaan jurulatih yang mahir bagi mengelakkan kecederaan. Kuncian yamg dilaksanakan dengan mengikut falsafah kuncian mampu melumpuhkan pergerakan pihak lawan. Antara falsafah dalam kuncian adalah :
- kedudukan lawan perlu mengikut kehendak kita, sebagai contoh kita yang memandu di mana lawan akan dijatuhkan.
-  tiada jatuhan yang sempurna, bermaksud apabila menjatuhkan pihak lawan pastikan badan lawan terpuing, tidak melekap elok di lantai.
- kaedah kuncian selaras dengan nama kuncian sebagai contoh Kuncian Kilas Dayung, perlu ada kaedah kilas dan Kuncian Patah Dayung perlu ada kaedah mematah.

f) Serangan Pukulan Maut
- Pelajaran ini diletakkan pada peringkat yang tinggi dalam Seni Tangan Kosong. Pada tahap ini, pesilat sepatutnya telah menguasai kaedah bertapak, langkahan, elakan dan pukulan. Pesilat akan dilatih untuk melaksanakan serangan pukulan dengan pantas. Kaedah elakan dan serangan balas dilaksanakan secara serentak.

g) Tapak hidup
- Pesilat akan diajar teknik untuk melepaskan diri dari kuncian. Sebagai contoh, kita menyerang dan lawan akan melaksanakan kaedah kunci ke atas kita dan kita akan membuka kuncian sebelum kuncian matang.

Begitulah tersusun cantik susunan pelajaran Seni Tangan Kosong dalam keilmuan Silat Seni Gayong. Pesilat akan diajar secara sistematik mengikut  tahap kemahiran. Selain itu terdapat pelajaran khas kuncian dan pukulan maut bagi kaum wanita. Pelajaran khas ini mengambil kira kudrat dan kekangan kaum wanita. Pelajaran bagi wanita lebih ringkas berbanding pelajaran bagi lelaki. 

HPCS1, SAS

Rujukan : 
1) Buku Silibus Asas Tangan Kosong, karangan PPH Amir Fadhli Razali




Sunday, 24 February 2019

JENIS SERANGAN DAN SASARAN

Dalam pelajaran Seni Tangan Kosong, Silat Seni Gayong, pesilat akan didedahkan dengan pelbagai jenis serangan tangan dan kaki.

Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, setiap serangan mempunyai namanya tersendiri. Nama-nama serangan tersebut diberi berdasarkan sifat serangan tersebut ataupun sasaran serangan. Perkara ini memudahkan pesilat untuk memahami sifat serangan dan sasaran serangan.

Ayahanda Cg. Amin Hamzah menunjukkan sasaran serangan Sauk Emak Sepukal
Antara terma terma serangan tangan dalam Silat Seni Gayong adalah :
- Tumbukan Pintal Tali
- Tumbukan Kisar Tali
- Tumbukan Kelek Anak (Sauk Emas Sepukal)
- Pancung Dayung
- Siku Tembi
- Tembi Siku
- Setangkai Padi
- Seligi
- Tikaman Anak Sungai
- Tusuk Rajawali
- Telapak Harimau
- Timang Puteri

Setiap serangan tersebut mempunyai sasaran-sasaran tertentu yang dapat melemahkan pihak lawan. Selain melemahkan pihak lawan, ada di antara serangan di atas boleh menyebabkan pihak lawan tidak sedarkan diri (pengsan) atau jika serangan tersebut kena betul pada sasaran maut ia boleh mengakibatkan maut.

Sebagai contoh sifat serangan bagi Tumbukan Pintal Tali. Mengapa ia dipanggil sedemikian? Nama tersebut menerangkan sifat yang perlu ada dalam perbuatan serangan tersebut untuk menjadikan serangan tersebut lebih efektif atau mendatangkan kesan yang maksimum pada pihak musuh.
Perbuatan bagi Tumbukan Pintal Tali merupakan retetan serangan berikut :

Kelek Anak -> Berkisar Tali -> Emas Sepukal


Tumbukan Pintal Tali

Kelek anak (simpan tumbukan di rusuk) merupakan perbuatan awalan untuk melaksanakan serangan Tumbukan Pintal Tali. Untuk mendapatkan daya/impak yang tinggi maka, pecutan serangan perlu ditingkatkan. Pecutan boleh ditingkatkan dengan menambahkan jarak terhadap sasaran. Sifat bagi Pintal Tali dapat dilihat pada perbuatan berkisar tali. Perbuatan berkisar tali dapat menambahkan daya tenaga/impak pada kelajuan serangan yang tinggi. Manakala perbuatan Emas Sepukal, simbolik pada genggaman tangan yang kuat dan padu (mengalihkan berat badan pada kepalan tangan) akan menghasilkan daya/impak yang besar pada serangan tersebut.

Disebabkan impak / daya tinggi yang dihasilkan daripada gabungan perbuatan di atas, serangan ini juga dikenali sebagai Serangan Pemusnah. Ini bermaksud, ia boleh memusnahkan apa saja sasarannya iaitu seperti tulang rusuk, tulang rahang dan tulang dada (jantung).

Berikut adalah 7 sasaran maut dan contoh serangannya : 
1) Rusuk - pancung dayung, Sauk Emas Sepukal;
2) Hulu hati - Tumbukan Kelek Anak, Tumbukan Pintal Tali;
3) Jantung - Telapak Harimau;
4) Halkum - Setangkai Padi, Pancung Dayung, Seligi
5) Kemaluan - Timang Puteri, Setangkai Padi, Hentak Emas Sepukal
6) Leher - Seligi
7) Rahang - Seligi, Pancung Dayung,

Pancung Dayung - Rusuk


Timang Puteri - Kemaluan 


Seligi - Rahang

Tumbukan Pintal Tali - Rusuk

Tumbukan Sauk Emas Sepukal - Rusuk

Setangkai Padi - Kemaluan


Oleh yang demikian, seorang pesilat amat perlu untuk mengetahui jenis-jenis serangan dan sasarannya agar serangan tersebut lebih efektif untuk melemahkan pihak lawan. Selain melemahkan pihak lawan ia juga berperanan untuk menghilangkan fokus dan pertimbangkan pihak lawan bagi membuat serangan balas. 


HPCS 1, SAS.

Rujukan : 
1) Buku Kupasan Asas Gerakan, karangan PSM Azizan Ibrahim
2) Buku Silibus Asas Tangan Kosong, karangan PPH Amir Fadhli Razali