Di dalam ilmu mempertahankan diri yang bersifat lebih kepada permainan perajurit, ia menuntut pengamalnya untuk memahirkan diri dengan kombinasi serangan kaki dan tangan.
Teknik serang kaki, bukanlah satu teknik serangan yang mudah dikuasai seperti mana teknik serangan tangan. Keadaan fizikal kaki yang berjisim besar dan saiz nya panjang berbanding tangan menyebabkan teknik serangan kaki ini kurang dikuasai dengan baik oleh pesilat.
Sepertimana halnya permainan senjata, yang menuntut kita memahami perihal senjata merangkumi ciri ciri fizikalnya agar kita dapat mengemudinya dengan betul tanpa mendatangkan kecederaan pada diri sendiri. Begitu juga halnya dengan Serangan Kaki.
Dalam permainan tangan kosong, senjata kita adalah kaki dan tangan. Oleh yang demikian, kita perlu faham akan perihal kaki jika mahu menguasai Teknik Serangan Kaki.
Apakah struktur kaki?
Bagaimana serangan kaki dihasilkan?
Bagaimana hendak meningkatkan kemantapan serangan kaki?
Apakah kelebihan dan kelemahan serangan kaki?
Bagaimana mengatasi kelemahan serangan kaki?
Selain sistem saraf, sistem tulang dan sistem otot memainkan peranan penting dalam melaksanakan pergerakan. Bagi pergerakan kaki, kumpulan otot peha sangat penting. Pergerakan kaki, boleh digambarkan seperti sistem tuas. Yang mana otot berperanan sebagai daya yang akan mengangkat beban (telapak kaki).
Oleh yang demikian, otot di bahagian peha perlu dibina dan diperkuatkan agar daya yang besar dapat dihasilkan untuk melancarkan serangan kaki yang sempurna. Antara latihan yang boleh dilaksanakan bagi menambahkan jisim dan kekuatan otot peha adalah berjogging secara konsisten selama 30 minit tanpa henti, squat, skipping dan lain-lain. Selain itu, otot perut juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelancaran dan ketepatan serangan pada sasaran yang diperlukan.
Antara kelebihan serangan kaki :
a) Impak yang lebih besar kerana jisim yang besar (F=ma)
b) Efektif untuk sasaran jauh.
c) Sokongan pada serangan tangan
Manakala kelemahan serangan kaki adalah :
a) Tenaga yang besar diperlukan untuk melancarkan serangan, maka pesilat perlu stamina yang tinggi.
b) Boleh dimanfaatkan oleh pihak lawan, sekiranya pesilat tidak dapat mengawal daya yang dilancarkan.
c) Kedudukan pesilat tidak stabil dan dapat memberi kelebihan kepada pihak lawan untuk menjatuhkan dengan mudah.
Walaubagaimanapun, kelemahan serangan kaki ini boleh diatasi dengan beberapa kaedah bagi mengimbangi kelemahan tersebut.
a) Pesilat perlu melaksanakan latihan tendangan dengan konsisten (saranan 100x sehari untuk kaki kiri dan kanan)
b) Latihan sparring
c) Melatih kaedah dan teknik belaan yang boleh diaplikasi sekiranya dijatuhkan oleh pihak lawan.
d) Melatih kepantasan serangan agar pihak lawan tidak dapat ruang untuk dimanfaatkan.
Secara keseluruhannya, Teknik Serangan Kaki memang merupakan teknik yang sukar untuk dikuasai namun ia bukan mustahil untuk dikuasai. Dengan latihan yang betul dan konsisten Teknik Serangan Kaki akan mudah dikuasai, InsyaALLAH.
" Menendang dengan Tangan dan Menumbuk dengan Kaki" - PSM Azizan Ibrahim.
LBS
" Menendang dengan Tangan dan Menumbuk dengan Kaki" - PSM Azizan Ibrahim.
LBS
Rujukan :
1) Teknik Serangan dan Belaan Kaki, karangan PSM Azizan Ibrahim.
2) PSM Amir Fadhli Razali.
1) Teknik Serangan dan Belaan Kaki, karangan PSM Azizan Ibrahim.
2) PSM Amir Fadhli Razali.
No comments:
Post a Comment