Saturday, 21 March 2020

PERANAN SILIBUS DAN LATIH TUBI

Latih tubi.

Maksud : Aktiviti yang dilakukan secara berulang ulang.

Latih Tubi - rentetan perbuatan menjadi reflek.

Latih Tubi - Jurulatih mengawasi latih tubi di gelanggang dan beri pedoman untuk latih tubi di rumah.

Antara perkara yang selalu ditekankan oleh guru-guru kita di gelanggang silat adalah Latih Tubi.

Latih tubi berkait rapat dengan silibus - silibus yang disampaikan di dalam gelanggang. Apa peranan silibus atau sukatan pelajaran dalam menyampaikan ilmu kepada pesilat? Mengapa perlunya ada silibus ?

Silibus atau sukatan pelajaran bagi pesilat di gelanggang kebiasaannya disusun oleh Guru-Guru yang telah melalui proses pengajaran dan pembelajaran dalam tempoh yang lama. Pengalaman dan kemahiran yang diperolehi dari proses pengajaran dan pembelajaran, banyak membantu Guru-Guru merangka silibus.

Silibus yang dirangka akan mengambil kira tingkatan tahap penguasaan pesilat dalam melaksanakan perlakuan silat seperti gerakan, elakkan, pukulan, kuncian, pentas dan pukulan maut.

Setiap tingkatan pelajaran (mengikut bengkong) bersifat ansur maju yang membawa maksud dengan peningkatan tahap pelajaran akan meningkatkan tahap kemahiran pesilat secara sistematik.

Sebagai contoh, pesilat yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam gelanggang silat sudah tentu tiada kemahiran tentang teknik serangan dan belaan yang betul. Mereka boleh menumbuk, namun teknik tumbukan mereka tidak sempurna dan tidak menepati teknik tumbukan dalam silat. Malah teknik tumbukan yang dibuat mempunyai ruang kecederaan yang tinggi kepada diri sendiri.

Sudah tentu bagi pesilat baru, ia tidaklah sesuai untuk diajar dengan serangan kaki. Ini adalah kerana,serangan kaki memerlukan kemahiran keseimbagan tangan dan kaki. Maka, silibus dirangka untuk menggariskan cara yang sistematik dalam menyampaikan pembelajaran kemahiran di dalam gelanggang.

Dengan meletakkan silibus sebagai panduan, pesilat akan dilatih secara latih tubi bagi memantapkan teknik dan kemahiran yang dipelajari agar teknik tersebut hidup di dalam diri pesilat dan dapat digunakan untuk tingkatan pelajaran yang seterusnya.

Latih Tubi perlu dilakukan sehingga rentetan perbuatan menjadi 'muscles memory' atau dengan kata lain menjadi tindakan reflek atau latah. 

Sebagai contoh, kaedah asas elakkan dan tangkisan dilatih secara latih tubi akan membuatkan pesilat dapat mengelak serangan secara spontan tanpa teragak-agak. Kaedah elakan akan beransur maju dengan penambahan pukulan yang dilakukan secara segerak. Justeru, ia akan menjadi gerakan yang 'hidup' apabila pesilat menerima serangan dari musuh.

Pesilat perlu hadir latihan di Gelanggang secara konsisten.

Akhir kata, tiada jalan mudah untuk memahirkan diri dalam perbuatan silat selain dengan melaksanakan Latih Tubi. Maka, rajinlah turun ke gelanggang-gelanggang silat atau pun melaksanakan latihan di rumah.

"Latih sehingga ia HIDUP dalam diri kamu"

LBS

Rujukan :
PSM Azizan Ibrahim
PSm Amir Fadhli Razali













No comments:

Post a Comment