Gerakan Seni Bunga Tanjung, adalah merupakan salah satu asas gerakan bagi silibus tangan kosong dalam keilmuan Gayong. Di dalam gerakan ini terdapat gabungan gerakan lembut dan gerakan kasar.
Bunga Tanjung merupakan bunga yang berbau wangi dan berwarna putih yang mempunyai khasiat dalam perubatan tradisional. |
Gerakan lembut dalam gerakan ini dibuat mengikut alur pergerakan yang bersinambungan bagai aliran air. Gerakan ini dimasukkan ke dalam silibus Gayong bagi mengimbangi unsur lembut dan keras dalam keilmuan gayong. Seperti sedia maklum, tujuan asas gerakan dimasukkan dalam silibus bagi melatih pesilat untuk memahirkan diri dengan gerakan-gerakan yang akan terbit dalam silibus atau permainan yang lebih tinggi. Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai senaman. Khasnya bagi Gerakan Seni Tanjung dapat melatih pesilat untuk menguatkan kaki.
Dalam kelembutan pergerakan Seni Bunga Tanjung, terdapat unsur belaan yang dipamerkan. Maka, pesilat perlu faham unsur tersebut agar gerakan yang diperlihatkan bukan sekadar gerakan tari penyedap mata. Kefahaman dasar gerakan tersebut akan membuatkan gerakan yang dibuat lebih 'hidup'.
Apakah unsur belaan tersebut ? Seperti yang dimaklumkan oleh Guru-Guru saya (Ayahanda Cikgu Amin Hamzah dan anak-anak murid kanannya), berikut adalah unsur-unsur belaan yang mendasari Gerakan Bunga Tanjung.
1. Kuak
Bermula dengan kedua tapak tangan bercantum, bergerak ke atas sambil menguak ke luar. Sesuai digunakan untuk melepaskan diri daripada cekikan leher.
2. Kalong
Perbuatan mengalung dengan cara memusingkan sendi pergelangan tangan. Sesuai digunakan bagi melepaskan diri dari genggaman tangan.
3. Sisip
Perbuatan menyisipkan belakang tapak tangan ke atas lengan tangan yang satu lagi. Digunakan untuk melepaskan diri daripada genggaman atau tangkisan. Boleh juga digunakan bersekali dengan kalong atau sentap.
4. Kedu
Perbuatan melipatkan sendi siku ke arah tubuh pesilat. Digelar IBU PELEPAS.
5. Kelek
Perbuatan menyalahkan perbuatan serangan lawan dengan memusingkan badan dalam arah berserenjang dengan sumber serangan.
6. Sangga
Perbuatan menangkis atau mengadang serangan lawan.
7. Potong
Perbuatan menyalahkan dan menghentikan serangan lawan.
8. Main Gelombang
Perbuatan menukarkan kedudukan tinggi kepada kedudukan rendah merupakan kaedah belaan yang mana ia merupakan pemati / penamat kepada belaan.
Seperti juga asas gerakan lain yang merupakan asas bagi permainan senjata, gerakan seni bunga tanjung juga merangkumi beberapa seni senjata. Apakah senjata tersebut?
Ia juga dikatakan mengandungi Rahsia keilmuan Gayong.. apakah Rahsia itu? Silalah bertemu dengan Guru Tua yang masih ada (Ayahanda Cikgu Mohd Amin Hamzah dan anak murid kanannya) untuk mengetahui Rahsia di sebalik Seni Bunga Tanjung.
" Dalam Gerak ada Tari, Dalam Tari ada Buah, dan Dalam Buah ada Bunuh!".
LBS
No comments:
Post a Comment