Friday, 14 August 2020

SAKIT!!!?

Jangan takut sakit kerana berlatih silat .. tapi takutlah kamu akan rasa kesakitan ketika disakiti oleh lawanmu.


Rata-rata remaja kini, enak untuk berada dalam suasana aman tanpa ada rasa jerih payah dan berkeringat. Ramai memilih untuk imej kekal bersih, wajah putih bersih persis pelakon atau penyanyi K-Pop.

Ya, memang kita perlu akan penampilan yang bersih dan kemas serta sedap mata memandang. Namun begitu, ia sepatutnya tidak membataskan kita berada dalam situasi latihan yang keras dan berkeringat. 

Latihan silat khas nya bukan sekadar melatih pesilat akan tektik dan teknik beladiri, malah lebih dari itu. Ia tidak terikat dengan latihan praktikal menyerang dan belaan bila berhadapan dengan pihak lawan. 

Bagi yang hanya melihat dari luaran dan tidak ikut serta dalam latihan, memang ia akan beranggapan, setakat tumbuk dan tendang, menepis serangan  aku boleh sahaja melakukannya. Itu sungguh jauh dari prinsip latihan bergelanggang.

Apa sebenarnya yang kita dapat dari latihan secara konsisten dalam gelanggang?

Jawapannya, amat banyak sekali dalam pelbagai sudut segi pandangan. Ia merangkumi dari sudut kekuatan, kecekapan, cara berfikir, cara penilaian,  peradaban, pegangan hidup dan banyak lagi. 

Namun ada perkara yang tidak akan dirasai dan difikirkan oleh orang yang berada di luar gelanggang. 

Apa itu??

KESAKITAN.


Bagaimanakah kita nak mengatasi rasa kesakitan itu, jika kita tidak berlatih untuk rasa kesakitan tu. Ya. Berlatih sakit. 

Jangan takut untuk rasa sakit. Itu fitrah dalam latihan beladiri. 

Maka, 

Jika sudah merasai sakitnya dikunci, maka cari jalan agar kita tidak dikunci atau cari cara membuka kunci.

Jika sudah merasai sakitnya ditumbuk, maka pelajari cara utk menepis tumbukan dengan cekap dan berkesan.

Jika sudah merasai sakitnya ditendang, maka pelajari cara utk mematikan serangan kaki.


Selain itu, kita mungkin sahaja berhadapan dengan kesakitan bukan disebabkan serangan dari pihak lawan, tapi dari akibat serangan yang dilakukan oleh kita sendiri. Ia sedikit lucu, namun itu hakikatnya. Jika lapisan kulit dan saraf saraf sakit tidak pernah dilatih untuk sakit semasa latihan maka kita akan menanggung kesakitan yang kita kira luar biasa. 

Sedangkan rasa sakit ini, akan mengganggu konsentrasi dan kewarasan kita dalam berhadapan dengan pihak lawan.

Selain... Rasa sakit ini.. adalah makhluk ALLAH..  maka.. kita akan selalu menundukkan diri pada Pemilik segala sakit dan berdoa agar kita bisa bertoleransi dengan makhluk ALLAH ini.

Jangan berhenti mencari kelemahan sendiri. 

LBS.


Wednesday, 1 July 2020

MANFAAT LATIHAN PUNCHING BAG

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan oleh pihak Kerajaan Malaysia bermula pada 18 Mac 2020 telah menyebabkan beberapa aktiviti rekreasi dan kecergasan seperti berjogging dan latihan silat secara berkumpulan tidak dibenarkan bagi mengawal penularan wabak pendemik Covid 19.



Bagi seorang pesilat,  latihan secara konsisten menjadi keperluan bagi memastikan tahap kecergasan dapat dikekalkan. Walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan pesilat perlu mencari alternatif cara latihan untuk mengekalkan tahap stamina pesilat.

Antara alternatif latihan yang boleh dilaksanakan secara perseorangan adalah skipping (anggaran 1000x) dan latihan menggunakan Punching Bag secara berterusan dalam jangka masa 1-2 minit. 

Apakah faedahnya berlatih dengan Punching Bag? Umum mengetahui berlatih dengan Punching Bag adalah tidak menyeronokkan dan dikatakan kurang bermanfaat kerana tiada tindak balas. Bagi yang pernah melaksanakan latihan bersama Punching Bag pasti lebih mengetahui manfaat yang diperolehi. 

Berikut adalah antara manfaatnya :

Membetulkan Kaedah Tumbukan

Untuk melancarkan serangan tumbukan, posisi tubuh, gaya dan gerakan memainkan peranan dalam memastikan tindakan serangan yang dilancarkan dapat menghasilkan impak yang tinggi. Sekiranya salah satu faktor tersebut tidak tepat, besar kemungkinan serangan yang dilancarkan tidak sempurna malah akan memudaratkan pesilat sendiri. Hal ini dapat dilatih dan dibetulkan melalui latihan Punching Bag. 

Tumbukan yang mengena pada Punching Bag, sekiranya tidak dilaksanakan dengan betul ia akan memberi kesan pada pesilat. Sebagai contoh, jika pesilat tidak menjaga atau gagal menganggarkan jarak serangan yang betul, tumbukan akan tersasar atau tidak mengena pada sasaran. Selain itu sekiranya kedudukan tubuh pesilat tidak betul atau tidak seimbang, besar kemungkinan serangan tersasar dari sasaran dan mengakibatkan kecederaan lain seperti kecederaan pada pergelangan tangan, sendi bahu dan sebagainya.

Ia penting dalam aplikasi pertarungan sebenar kerana posisi tubuh, gaya dan gerakan yang betul akan menghasilkan serangan yang tepat pada sasaran. Serangan tepat pada titik lemah tubuh akan menyebabkan pihak lawan akan rebah serta merta tanpa memerlukan kita melakukan serangan susulan. 

Menguatkan Pergelangan Tangan

Punching Bag merupakan sampel sasaran yang mempunyai nilai jisim. Semakin berat nilai jisim sesuatu Punching Bag semakin tinggi keberkesanan latihan. Oleh yang demikian, isi kandungan Punching Bag juga perlu disesuaikan dengan tahap dan kekuatan seseorang pesilat. Dengan kebiasaan berlatih dengan Punching Bag, akan menguatkan pergelangan tangan dan struktur tubuh yang lain. Ini adalah kerana jisim sasaran menyamai nilai jisim musuh sebenar. Jumlah daya dan kelajuan yang dibawa oleh serangan akan dipindahkan pada sampel sasaran. Sekiranya sasaran bersifat pegun (kerana jisim yang besar) walaupun setelah jserangan mengena pada sasaran maka nilai daya dan kelajuan tadi akan kembali pada penyerang. Sekiranya keadaan ini tidak dilatih, pesilat tidak berupaya untuk menyahkan daya tersebut dengan cara yang betul. Kegagalan itu akan menyebabkan kecederaan pada pesilat. 

Melatih Kekuatan Serangan 

Punching bag merupakan alat bantuan latihan yang tidak memerlukan sokongan dari orang ke-2, iaitu ia boleh dilakukan secara perseorangan. Oleh yang demikan, kekuatan boleh dilancarkan secara 100% tanpa memikirkan kesan kecederaan kepada orang lain. Oleh itu, pesilat boleh melaksanakan latihan kekuatan dengan selesa.

Banyak lagi sebenarnya manfaat latihan Punching Bag jika kita melakukan secara konsisten. Namun ia terserah kepada pesilat untuk mengambil inisiatif sendiri atau masih berfikir untuk mereka-reka alasan untuk tidak berlatih.


LBS

Rujukan :
1) PSM Azizan Ibrahim
2) PSM Amir Fadhli Razali





Monday, 23 March 2020

HADIRKAN GURU

Alfatihah kepada Guru-Guruku..

Dalam proses pembelajaran di gelanggang peranan Gurulatih amat penting. Gurulatih perlu menguasai pelajaran yang diajar agar ia bukan sahaja berperanan sebagai pengajar tapi dapat memberi pedoman pada pesilat.

Menurut sistem perguruan, berikut adalah peranan tenaga pengajar di gelanggang :

a)Jurulatih Muda - Mengajar 
b)Jurulatih Mengajar dan membetulkan kesilapan
c)Gurulatih- Mengajar serta memperincikan setiap Gerak Geri
d)Guru - Mengupas dan mengulas Falsafah

Apa beza nya mengajar dan memberi pedoman?

Gurulatih akan menunjukkan demo sebelum pesilat diminta untuk melakukannya.


Dalam proses  pempelajaran digelanggang, Gurulatih akan menunjukkan demo terlebih dahulu kepada pesilat. Dan selepas itu, pesilat akan disuruh untuk melakukannya. Sekiranya, Gurulatih tadi hanya menunjukkan sahaja tanpa penerangan yang terperinci, besar kemungkinan pesilat tidak dapat melakukannya seperti yang ditunjukkan. Mengapa itu berlaku? Kerana otak hanya cuba meniru sahaja perlakuan kerana tidak dapat cukup informasi tentang perbuatan sebenar yang dilakukan.

Gurulatih berperanan untuk menerangkan segala butiran dan perincian gerak geri yang ditunjukkan.


Sebagai contoh, bila Gurulatih menunjukkan gerakan asas tumbuk pintal tali, Gurulatih perlu menerangkan dengan teliti bagaimana peletakkan tapak kaki, bentuk kekuda yang betul, bagaimana menggenggam penumbuk, bagaimana melancarkan serangan bermula dengan kelek anak, berkisar tali dan emas sepukal, bagaimana perbuatan berkisar tapak, bagaimana kedudukan badan, pandangan mata dan sebagainya.

Penerangan Gurulatih tadi, yang akan menjadi pedoman kepada pesilat. Pesilat akan cuba melaksanakan gerakkan mengikut pedoman yang diberikan. Seterusnya melaksanakan latih tubi sambil diawasi oleh Gurulatih dan Jurulatih di gelanggang.

Bagi pesilat, perlu HADIRKAN GURU dalam setiap latih tubi, tidak kira berlatih secara solo atau berpasangan.

Bagaimana yang dikatakan HADIRKAN GURU?

Ini adalah hikmahnya berguru secara berdepan. Semasa Gurulatih menunjukkan demo dan memberikan penerangan, pesilat perlu fokus dengan erti kata lain bagaikan hanya ada Gurulatih dan Kamu di situ walaupun gelanggang pada ketika itu ramai. Perhatikan setiap gerak geri Gurulatih dan deƱgar penerangannya  dengan teliti. Selepas itu cuba laksanakan dan minta Gurulatih atau Jurulatih untuk semak dan pelbetulkan.

Setelah faham pesilat akan cuba untuk melaksanakan perbuatan yang dipelajari dan Gurulatih akan mengawasi latihan.

Setelah pesilat faham maka, pesilat bolehlah berlatih sendiri secara latih tubi dengan MENGHADIRKAN GURU.

Yang dimaksudkan MENGHADIRKAN GURU adalah, membayangkan gerak geri Gurulatih dan penerangan Gurulatih semasa proses pembelajaran di gelanggang.

Bayangkan bagaimana Sang Gurulatih meletakkan tapak kaki, kekudanya, gerakkan tangannya, badannya, percakapannya... (Jika boleh diulang.. ulanglah walaupun bercakap dengan diri sendiri).

Untuk pelajaran kuncian, kita perlu bayangkan semula setiap tempat kesakitan yang dirasai agar kesakitan yang sama dapat dirasai oleh pihak lawan.

Pernah sampai ke telinga saya, bagaimana seorang murid persis gurunya. Dari cara berpakaian, bercakap, berjalan, cara makan dan tidur semua persis gurunya. Mengapa jadi begitu?

Sebagaimana dikatakan Sayyina Abu Bakar R.A dikatakan persis Gurunya RasuluLLAH S.A.W.

Begitulah indahnya berGuru...

Bagaimana jika kita berGuru dengan banyak Guru? Kena pandailah kita bahagikan mengikut bidang yang kita pelajari.

Menghadirkan Guru sewaktu kita Berlatih bagi pesilat dan Mengajar bagi Gurulatih dan Jurulatih juga adalah merupakan antara "Rahsia Adab Murid".  Ia seperti membayangkan kelibat Guru berada di sisi gelanggang melihat setiap gerak geri kita.

"Hadirkan Guru, maka keberkatan akan hadir bersama"

WaALLAHUa'lam.



LBS

Rujukan :
1) PSM Azizan Ibrahim
2) PSM Amir Fadhli Razali

Saturday, 21 March 2020

PERANAN SILIBUS DAN LATIH TUBI

Latih tubi.

Maksud : Aktiviti yang dilakukan secara berulang ulang.

Latih Tubi - rentetan perbuatan menjadi reflek.

Latih Tubi - Jurulatih mengawasi latih tubi di gelanggang dan beri pedoman untuk latih tubi di rumah.

Antara perkara yang selalu ditekankan oleh guru-guru kita di gelanggang silat adalah Latih Tubi.

Latih tubi berkait rapat dengan silibus - silibus yang disampaikan di dalam gelanggang. Apa peranan silibus atau sukatan pelajaran dalam menyampaikan ilmu kepada pesilat? Mengapa perlunya ada silibus ?

Silibus atau sukatan pelajaran bagi pesilat di gelanggang kebiasaannya disusun oleh Guru-Guru yang telah melalui proses pengajaran dan pembelajaran dalam tempoh yang lama. Pengalaman dan kemahiran yang diperolehi dari proses pengajaran dan pembelajaran, banyak membantu Guru-Guru merangka silibus.

Silibus yang dirangka akan mengambil kira tingkatan tahap penguasaan pesilat dalam melaksanakan perlakuan silat seperti gerakan, elakkan, pukulan, kuncian, pentas dan pukulan maut.

Setiap tingkatan pelajaran (mengikut bengkong) bersifat ansur maju yang membawa maksud dengan peningkatan tahap pelajaran akan meningkatkan tahap kemahiran pesilat secara sistematik.

Sebagai contoh, pesilat yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam gelanggang silat sudah tentu tiada kemahiran tentang teknik serangan dan belaan yang betul. Mereka boleh menumbuk, namun teknik tumbukan mereka tidak sempurna dan tidak menepati teknik tumbukan dalam silat. Malah teknik tumbukan yang dibuat mempunyai ruang kecederaan yang tinggi kepada diri sendiri.

Sudah tentu bagi pesilat baru, ia tidaklah sesuai untuk diajar dengan serangan kaki. Ini adalah kerana,serangan kaki memerlukan kemahiran keseimbagan tangan dan kaki. Maka, silibus dirangka untuk menggariskan cara yang sistematik dalam menyampaikan pembelajaran kemahiran di dalam gelanggang.

Dengan meletakkan silibus sebagai panduan, pesilat akan dilatih secara latih tubi bagi memantapkan teknik dan kemahiran yang dipelajari agar teknik tersebut hidup di dalam diri pesilat dan dapat digunakan untuk tingkatan pelajaran yang seterusnya.

Latih Tubi perlu dilakukan sehingga rentetan perbuatan menjadi 'muscles memory' atau dengan kata lain menjadi tindakan reflek atau latah. 

Sebagai contoh, kaedah asas elakkan dan tangkisan dilatih secara latih tubi akan membuatkan pesilat dapat mengelak serangan secara spontan tanpa teragak-agak. Kaedah elakan akan beransur maju dengan penambahan pukulan yang dilakukan secara segerak. Justeru, ia akan menjadi gerakan yang 'hidup' apabila pesilat menerima serangan dari musuh.

Pesilat perlu hadir latihan di Gelanggang secara konsisten.

Akhir kata, tiada jalan mudah untuk memahirkan diri dalam perbuatan silat selain dengan melaksanakan Latih Tubi. Maka, rajinlah turun ke gelanggang-gelanggang silat atau pun melaksanakan latihan di rumah.

"Latih sehingga ia HIDUP dalam diri kamu"

LBS

Rujukan :
PSM Azizan Ibrahim
PSm Amir Fadhli Razali













Friday, 20 March 2020

TEKNIK SERANGAN KAKI

Di dalam ilmu mempertahankan diri yang bersifat lebih kepada permainan perajurit, ia menuntut pengamalnya untuk memahirkan diri dengan kombinasi serangan kaki dan tangan.

Menendang dengan Tangan, Menumbuk dengan Kaki

Teknik serang kaki, bukanlah satu teknik serangan yang mudah dikuasai seperti mana teknik serangan tangan. Keadaan fizikal kaki yang berjisim besar dan saiz nya panjang berbanding tangan menyebabkan teknik serangan kaki ini kurang dikuasai dengan baik oleh pesilat.

Sepertimana halnya permainan senjata, yang menuntut kita memahami perihal senjata merangkumi ciri ciri fizikalnya agar kita dapat mengemudinya dengan betul tanpa mendatangkan kecederaan pada diri sendiri. Begitu juga halnya dengan Serangan Kaki.

Dalam permainan tangan kosong, senjata kita adalah kaki dan tangan. Oleh yang demikian, kita perlu faham akan perihal kaki jika mahu menguasai Teknik Serangan Kaki.

Apakah struktur kaki?

Bagaimana serangan kaki dihasilkan?

Bagaimana hendak meningkatkan kemantapan serangan kaki?

Apakah kelebihan dan kelemahan serangan kaki?

Bagaimana mengatasi kelemahan serangan kaki?

Selain sistem saraf, sistem tulang dan sistem otot memainkan peranan penting dalam melaksanakan pergerakan. Bagi pergerakan kaki, kumpulan otot peha sangat penting. Pergerakan kaki, boleh digambarkan seperti sistem tuas. Yang mana otot berperanan sebagai daya yang akan mengangkat beban (telapak kaki).

Oleh yang demikian, otot di bahagian peha perlu dibina dan diperkuatkan agar daya yang besar dapat dihasilkan untuk melancarkan serangan kaki yang sempurna. Antara latihan yang boleh dilaksanakan bagi menambahkan jisim dan kekuatan otot peha adalah berjogging secara konsisten selama 30 minit tanpa henti, squat, skipping dan lain-lain. Selain itu, otot perut juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelancaran  dan ketepatan serangan pada sasaran yang diperlukan.  

Antara kelebihan serangan kaki : 
a) Impak yang lebih besar kerana jisim yang besar (F=ma) 
b) Efektif untuk sasaran jauh. 
c) Sokongan pada serangan tangan

Manakala kelemahan serangan kaki adalah :   
a) Tenaga yang besar diperlukan untuk melancarkan serangan, maka pesilat perlu stamina yang tinggi. 
b) Boleh dimanfaatkan oleh pihak lawan, sekiranya pesilat tidak dapat mengawal daya yang dilancarkan.
c) Kedudukan pesilat tidak stabil dan dapat memberi kelebihan kepada pihak lawan untuk menjatuhkan dengan mudah. 

Walaubagaimanapun, kelemahan serangan kaki ini boleh diatasi dengan beberapa kaedah bagi mengimbangi kelemahan tersebut. 
a) Pesilat perlu melaksanakan latihan tendangan dengan konsisten (saranan 100x sehari untuk kaki kiri dan kanan)
b) Latihan sparring 
c) Melatih kaedah dan teknik belaan yang boleh diaplikasi sekiranya dijatuhkan oleh pihak lawan.
d) Melatih kepantasan serangan agar pihak lawan tidak dapat ruang untuk dimanfaatkan.

Secara keseluruhannya, Teknik Serangan Kaki memang merupakan teknik yang sukar untuk dikuasai namun ia bukan mustahil untuk dikuasai. Dengan latihan yang betul dan konsisten Teknik Serangan Kaki akan mudah dikuasai, InsyaALLAH.

" Menendang dengan Tangan dan Menumbuk dengan Kaki" - PSM Azizan Ibrahim.



LBS

Rujukan :
1) Teknik Serangan dan Belaan Kaki, karangan PSM Azizan Ibrahim.
2) PSM Amir Fadhli Razali.

Wednesday, 18 March 2020

BERKISAR TAPAK

Apa yang dimaksudkan dengan berkisar tapak dan apa peranannya?


Berkisar tapak, membawa maksud menggerakkan tapak kaki berpaksikan kedudukan tumit atau hujung kaki. Perbuatan berkisar tapak ini tidak sempurna sekiranya ia tidak disertakan dengan perbuatan mengalihkan atau menukar arah tubuh badan.

Perbuatan berkisar tapak diaplikasikan di dalam elakkan, tangkisan, pukulan dan juga kuncian. Ia memberi kesan yang efektif dalam setiap perbuatan.

Dalam elakan dan tangkisan, perbuatan berkisar tapak dapat mewujudkan ruang yang selamat dan stabil bagi membolehkan serang balas dibuat dengan lebih baik.

Manakala dalam pukulan, aplikasi berkisar tapak dapat menambahkan impak pukulan.

Aplikasi berkisar tapak dalam elakkan, tangkisan dan juga pukulan memang tidak asing lagi dikalangan pesilat. Namun ia kurang diambil perhatian dalam perbuatan kuncian.

Bagaimana aplikasinya dalam kuncian?

Dalam kuncian, perbuatan berkisar tapak dapat mengakibatkan kesan kuncian yang amat menyakitkan. Hal ini berikutan dengan sendi yg di kunci akan dipaksa mengikut gerakan badan.

Walaubagaimanapun, pesilat perlu berlatih dibawah seliaan Jurulatih kerana sekiranya ia dilakukan tanpa sukatan yang selamat ia boleh menyebabkan sendi tergelonggor dari tempatnya secara tak tidak sedar.

Secara dasarnya, perbuatan berkisar tapak ini amat perlu dikuasai oleh pesilat dan ia terkandung dalam pelajaran Gerakan Asas. Setiap pesilat perlu kuasai pelajaran Gerakan Asas sebelum dibolehkan untuk mempelajari pelajaran lain.

"Setiap perbuatan dalam silat itu ada sebabnya, manfaatkan setiap perbuatan"

LBS.




Wednesday, 29 January 2020

PUKULAN MAUT

Bagi pengamal silat, titik lemah atau titik serangan bukan lagi asing bagi mereka. Bagi mereka, "RUGI" jika tidak mengenakan pukulan pada tempat yang sepatutnya dalam berpencak. 

Pukulan Maut Fokus pada Titik/Sasaran yang boleh melumpuhkan kondisi pihak lawan

AlhamduliLLAH saya berpeluang untuk mendapat penerangan berkenaan dengan titik titik ini dari beberapa Guru dalam Silat. Dalam keilmuan Seni Gayung Fatani, permainan pulut jika diamati sebenarnya ada menerapkan seni pukulan maut ini, namun permainan lembut yang ditunjukkan menutupi sifat pukulan maut dan ia amat jarang ditunjukkan secara terangan dan hanya menggunakan kaedah simbolik seperti ruangan terbuka, kedudukan tangan dan lain lain.

Hanya jika ia berada dalam pertempuran sebenar maka sifat pukulan ini sama dengan sifat pukulan silat-silat lain. Maka benarlah yang dikatakan gerakan dan bunga dalam permainan Seni Gayung Fatani mempunyai sifat dan makna tertentu. 

Bagi keilmuan Silat Seni Gayong, pukulan maut ini merupakan pelajaran yang diperkenalkan setelah pesilat mahir elakan, pukulan dan kuncian. Walaubagaimanapun, seperti fitrah ilmu, akan kembali kepada asas. Pelajaran pukulan maut ini sebenarnya asasnya ada pada elakkan, pukulan dan kuncian.

Cuma dalam pelajaran pukulan maut diperincikan lagi sifat elakan, bagaimana kaedahnya, mana tempat yang perlu ditepis, bila dan bagaimana sifat tapaknya. Pukulan pula, diterangkan pula, bila perlu pukul, apa serangan dan mana sasarannya, kenapa sasaran di situ, apa kesannya, bagaimana tapaknya. Kuncian pula, ditekankan dimana kaedah mematahnya, bagaimana caranya dan sebagainya. 

Namun begitu, dalam latihan ada hadnya, Guru akan melihat kecekapan pesilat dan memberi amaran tentang bahaya dan akibatnya perbuatan. Seperti pesan Guru saya, "Jangan Sekali-kali Mengkhianati Anak Murid" bermaksud Guru perlu pandai sukat bahaya dan akibat perlakuan serangan.  

Dalam entry seterusnya, saya akan kongsikan maklumat berkenaan dengan titik-titik lemah/serangan.

InsyaALLAH

LBS



Thursday, 23 January 2020

SILIBUS KHAS WANITA

Dalam silibus peringkat rendah Silat Seni Gayong,  terdapat silibus Lelaki dan Wanita.
Gelanggang Puan Kalsom Naning

Seperti dalam aliran silat lain kedudukan wanita sebenarnya terlalu istimewa begitu juga dengan aliran Silat Seni Gayong.  Dimana di dalam pelajaran Silat Seni Gayong terdapat pelajaran kursus bagi Wanita diperingkat rendah dan tinggi.

Wanita yang pada fitrahnya mempunyai gerak geri yang lembut memudahkan baginya untuk melakukan perbuatan berseni. Perlu diingati..  " tidak semua yang lembut itu longlai,  tidak semua yang keras itu teguh.. "

Keadaan fitrah bagi wanita ini membolehkannya mampu untuk menguasai pelajaran-pelajaran peringkat tinggi yg mana pelajaran peringkat tinggi ini lebih menjurus pada seni perbuatan.  Malah antara senjata tertinggi dalam keilmuan Silat Seni Gayong adalah Senjata Khas bagi Wanita iaitu,  Cindai dan Kerambit. Namun begitu bukan mudah mengusai pelajar itu sekiranya tiada latihan yang konsisten. Umpama cindai,  benar sifat lembut longlai,  namun dengan latihan yang konsisten mampu menjadikan kain yg longlai keras seperti kayu.

Intipatinya disini latih tubi dan berlatih secara konsisten.

LBS.








Sunday, 12 January 2020

STAMINA DAN KETAHANAN KARDIOVASKULAR BAGI PESILAT

Mengapa stamina dan ketahanan kardiovaskular penting bagi pesilat? 

IA SANGAT PENTING. Pergerakan silat iaitu serangan dan belaan bukanlah merupakan pergerakan yang bersifat aerobik.  

Latihan Gerakan di Gelanggang Puan Kalsom Naning

Digelanggang-gelanggang silat, pesilat akan diberi bimbingan cara utk meningkatkan stamina dan ketahanan kerana hal ini merupakan unsur yg penting dalam latihan silat. Terdapat pelbagai manfaat bagi individu yang selalu melazimkan diri untuk mengikuti latihan Silat.

Selain dari dapat membentuk struktur badan yang lebih baik, ia juga dapat memberi kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. Latihan silat secara langsung memberikan manfaat kepada tahap stamina dan ketahanan diri dan mental.

Stamina bermaksud daya tahan tubuh badan dan mental utk melakukan sesuatu aktiviti dengan lebih lama.

Stamina berkait rapat dengan ketahanan (endurance). Apa pula maksud ketahanan?

Ketahanan bermaksud keupayaan mengekalkan aktiviti yg diperlukan utk sesuatu tahap yang diperlukan terutama semasa di arena pencak. Ia termasuklah ketahanan kardiovaslukar dan otot yg diperlukan bagi melaksanakan pergerakan serangan dan belaan. 

Apa itu ketahanan kardiovaskular?

Ketahanan kardiovaskular adalah merupakan tahap kecergasan jantung utk melaksanakan tugas dalam sistem peredaran darah dan sistem pernafasan dalam membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan dalam jangkamasa yg panjang.

Apa kaitan stamina dan ketahanan kardiovaskular dengan latihan silat yang konsisten? 

Senaman dan latihan yang tetap akan meningkatkan kecekapan sistem peredaran dengan membesarkan otot jantung. Hal ini membolehkan lebih banyak darah dipam pada setiap degupan dan meningkatkan jumlah arteri kecil dalam otot rangka yang terlatih. Maka ia dapat membekalkan lebih banyak kapasiti darah ke otot-otot yang sedang bekerja.

Selain itu, tahap kecergasan meningkat apabila keupayaan daya tahan kardiovaslukar melebihi tahap purata kapasiti aerobik, iaitu kapasiti penggunaan oksigen yang maksimum oleh badan semasa melakukan aktiviti fizikal.

Pergerakan silat yang diulang ulang adalah merupakan latihan bercorak Aerobik. Latihan pergerakan yang dilatih dalam jangka masa yang lama iaitu 15-20 minit berfungsi melatih diri pesilat untuk meningkatkan kecekapan sistem peredaran darah seterusnya meningkatkan keupayaan otot-otot. Apabila pesilat telah mula beradaptasi dengan kaedah latihan gerakan, seterusnya pesilat akan dilatih untuk elakkan, buah kunci, buah kombat dan tapak hidup. Apakah corak latihan bagi bagi elakkan, buah kuncian, buah kombat dan tapak hidup?

Latihan Pencak di GPKN

Latihan ini sebenarnya lebih bercorak Anaerobik. Latihan anaerobik adalah suatu latihan yang meningkatkan keupayaan otot untuk bekerja tanpa bekalan oksigen. Ia melatih agar tubuh dapat bekerja dengan baik walaupun kandungan asid laktik dalam darah tinggi. Kandungan asik laktik yang tinggi di dalam darah menyebabkan kelesuan pada otot dan membuatkan pesilat tidak berdaya untuk terus berpencak. Latihan pencak ini perlu dilakukan dengan konsisten kerana ia boleh meningkatkan keupayaan otot untuk menghasilkan semula ATP dengan cepat semasa kondisi menunggu / sedia.

Selain itu, latihan pencak akan membantu pesilat meningkatkan tahap kecergasan yang mana tahap kecergasan berkaitan rapat dengan kepantasan, kekuatan, kudrat, ketangkasan dan masa untuk tindak balas serangan / belaan.

SGS, HPCS 1