Wednesday, 29 January 2020

PUKULAN MAUT

Bagi pengamal silat, titik lemah atau titik serangan bukan lagi asing bagi mereka. Bagi mereka, "RUGI" jika tidak mengenakan pukulan pada tempat yang sepatutnya dalam berpencak. 

Pukulan Maut Fokus pada Titik/Sasaran yang boleh melumpuhkan kondisi pihak lawan

AlhamduliLLAH saya berpeluang untuk mendapat penerangan berkenaan dengan titik titik ini dari beberapa Guru dalam Silat. Dalam keilmuan Seni Gayung Fatani, permainan pulut jika diamati sebenarnya ada menerapkan seni pukulan maut ini, namun permainan lembut yang ditunjukkan menutupi sifat pukulan maut dan ia amat jarang ditunjukkan secara terangan dan hanya menggunakan kaedah simbolik seperti ruangan terbuka, kedudukan tangan dan lain lain.

Hanya jika ia berada dalam pertempuran sebenar maka sifat pukulan ini sama dengan sifat pukulan silat-silat lain. Maka benarlah yang dikatakan gerakan dan bunga dalam permainan Seni Gayung Fatani mempunyai sifat dan makna tertentu. 

Bagi keilmuan Silat Seni Gayong, pukulan maut ini merupakan pelajaran yang diperkenalkan setelah pesilat mahir elakan, pukulan dan kuncian. Walaubagaimanapun, seperti fitrah ilmu, akan kembali kepada asas. Pelajaran pukulan maut ini sebenarnya asasnya ada pada elakkan, pukulan dan kuncian.

Cuma dalam pelajaran pukulan maut diperincikan lagi sifat elakan, bagaimana kaedahnya, mana tempat yang perlu ditepis, bila dan bagaimana sifat tapaknya. Pukulan pula, diterangkan pula, bila perlu pukul, apa serangan dan mana sasarannya, kenapa sasaran di situ, apa kesannya, bagaimana tapaknya. Kuncian pula, ditekankan dimana kaedah mematahnya, bagaimana caranya dan sebagainya. 

Namun begitu, dalam latihan ada hadnya, Guru akan melihat kecekapan pesilat dan memberi amaran tentang bahaya dan akibatnya perbuatan. Seperti pesan Guru saya, "Jangan Sekali-kali Mengkhianati Anak Murid" bermaksud Guru perlu pandai sukat bahaya dan akibat perlakuan serangan.  

Dalam entry seterusnya, saya akan kongsikan maklumat berkenaan dengan titik-titik lemah/serangan.

InsyaALLAH

LBS



Thursday, 23 January 2020

SILIBUS KHAS WANITA

Dalam silibus peringkat rendah Silat Seni Gayong,  terdapat silibus Lelaki dan Wanita.
Gelanggang Puan Kalsom Naning

Seperti dalam aliran silat lain kedudukan wanita sebenarnya terlalu istimewa begitu juga dengan aliran Silat Seni Gayong.  Dimana di dalam pelajaran Silat Seni Gayong terdapat pelajaran kursus bagi Wanita diperingkat rendah dan tinggi.

Wanita yang pada fitrahnya mempunyai gerak geri yang lembut memudahkan baginya untuk melakukan perbuatan berseni. Perlu diingati..  " tidak semua yang lembut itu longlai,  tidak semua yang keras itu teguh.. "

Keadaan fitrah bagi wanita ini membolehkannya mampu untuk menguasai pelajaran-pelajaran peringkat tinggi yg mana pelajaran peringkat tinggi ini lebih menjurus pada seni perbuatan.  Malah antara senjata tertinggi dalam keilmuan Silat Seni Gayong adalah Senjata Khas bagi Wanita iaitu,  Cindai dan Kerambit. Namun begitu bukan mudah mengusai pelajar itu sekiranya tiada latihan yang konsisten. Umpama cindai,  benar sifat lembut longlai,  namun dengan latihan yang konsisten mampu menjadikan kain yg longlai keras seperti kayu.

Intipatinya disini latih tubi dan berlatih secara konsisten.

LBS.








Sunday, 12 January 2020

STAMINA DAN KETAHANAN KARDIOVASKULAR BAGI PESILAT

Mengapa stamina dan ketahanan kardiovaskular penting bagi pesilat? 

IA SANGAT PENTING. Pergerakan silat iaitu serangan dan belaan bukanlah merupakan pergerakan yang bersifat aerobik.  

Latihan Gerakan di Gelanggang Puan Kalsom Naning

Digelanggang-gelanggang silat, pesilat akan diberi bimbingan cara utk meningkatkan stamina dan ketahanan kerana hal ini merupakan unsur yg penting dalam latihan silat. Terdapat pelbagai manfaat bagi individu yang selalu melazimkan diri untuk mengikuti latihan Silat.

Selain dari dapat membentuk struktur badan yang lebih baik, ia juga dapat memberi kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. Latihan silat secara langsung memberikan manfaat kepada tahap stamina dan ketahanan diri dan mental.

Stamina bermaksud daya tahan tubuh badan dan mental utk melakukan sesuatu aktiviti dengan lebih lama.

Stamina berkait rapat dengan ketahanan (endurance). Apa pula maksud ketahanan?

Ketahanan bermaksud keupayaan mengekalkan aktiviti yg diperlukan utk sesuatu tahap yang diperlukan terutama semasa di arena pencak. Ia termasuklah ketahanan kardiovaslukar dan otot yg diperlukan bagi melaksanakan pergerakan serangan dan belaan. 

Apa itu ketahanan kardiovaskular?

Ketahanan kardiovaskular adalah merupakan tahap kecergasan jantung utk melaksanakan tugas dalam sistem peredaran darah dan sistem pernafasan dalam membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan dalam jangkamasa yg panjang.

Apa kaitan stamina dan ketahanan kardiovaskular dengan latihan silat yang konsisten? 

Senaman dan latihan yang tetap akan meningkatkan kecekapan sistem peredaran dengan membesarkan otot jantung. Hal ini membolehkan lebih banyak darah dipam pada setiap degupan dan meningkatkan jumlah arteri kecil dalam otot rangka yang terlatih. Maka ia dapat membekalkan lebih banyak kapasiti darah ke otot-otot yang sedang bekerja.

Selain itu, tahap kecergasan meningkat apabila keupayaan daya tahan kardiovaslukar melebihi tahap purata kapasiti aerobik, iaitu kapasiti penggunaan oksigen yang maksimum oleh badan semasa melakukan aktiviti fizikal.

Pergerakan silat yang diulang ulang adalah merupakan latihan bercorak Aerobik. Latihan pergerakan yang dilatih dalam jangka masa yang lama iaitu 15-20 minit berfungsi melatih diri pesilat untuk meningkatkan kecekapan sistem peredaran darah seterusnya meningkatkan keupayaan otot-otot. Apabila pesilat telah mula beradaptasi dengan kaedah latihan gerakan, seterusnya pesilat akan dilatih untuk elakkan, buah kunci, buah kombat dan tapak hidup. Apakah corak latihan bagi bagi elakkan, buah kuncian, buah kombat dan tapak hidup?

Latihan Pencak di GPKN

Latihan ini sebenarnya lebih bercorak Anaerobik. Latihan anaerobik adalah suatu latihan yang meningkatkan keupayaan otot untuk bekerja tanpa bekalan oksigen. Ia melatih agar tubuh dapat bekerja dengan baik walaupun kandungan asid laktik dalam darah tinggi. Kandungan asik laktik yang tinggi di dalam darah menyebabkan kelesuan pada otot dan membuatkan pesilat tidak berdaya untuk terus berpencak. Latihan pencak ini perlu dilakukan dengan konsisten kerana ia boleh meningkatkan keupayaan otot untuk menghasilkan semula ATP dengan cepat semasa kondisi menunggu / sedia.

Selain itu, latihan pencak akan membantu pesilat meningkatkan tahap kecergasan yang mana tahap kecergasan berkaitan rapat dengan kepantasan, kekuatan, kudrat, ketangkasan dan masa untuk tindak balas serangan / belaan.

SGS, HPCS 1




Sunday, 24 November 2019

PERANAN DAN BIDANG KUASA WARIS AMANAH MUTLAK


Al-Fatihah... kepada Allahyarham Dato' Seri Paduka Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong.

Dalam pentadbiran dan organisasi Silat Seni Gayong, Kuasa Adat atau nama penuhnya Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Agong merupakan Majlis yang mempunyai bidang kuasa tertinggi dalam organisasi Silat Seni Gayong. Majlis ini mempunyai bidang kuasa yang besar ke atas semua bahagian dalam pentadbiran Silat Seni Gayong merangkumi segala perkara termasuk pentadbiran pertubuhan dan pelajaran serta digunapakai ke atas seluruh ahli Silat Seni Gayong.

Majlis ini diketuai oleh Allahyarham Dato' Seri Paduka Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim selaku Mahaguru Silat Seni Gayong semasa hayatnya. Setelah kemangkatan Dato' Seri Paduka Mahaguru, Majlis ini diketuai oleh Waris Amanah Mahaguru @ Waris Amanah Mutlak yang mana Waris Amanah Mutlak ini telah dilantik sendiri oleh Allahyarham Dato' Seri Mahaguru. Setelah kemangkatan Allahyarham Dato' Seri Paduka Mahaguru, Majlis ini dinamakan Majlis Tertinggi Lembaga Adat Kebangsaan.

Waris Amanah Mutlak yang pertama yang telah dilantik oleh Allahyarham Dato' Seri Mahaguru melalui surat yang ditandatangani sendiri oleh Dato' Seri Paduka Mahaguru pada tahun 1987. Dalam surat tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa Allahyarham Bonda Siti Kalsom Bin Naning @ Meor Abdul Rahmah (Rokiah Binti Naning) telah dilantik untuk melaksanakan Kuasa-Kuasa Adat Istiadat dan Hak Mahaguru Silat Seni Gayong. Turut dilantik Allahyarham Cg. Mohd Razali Bin Hj. Mohd Salleh bagi mengatur urusan pentadbiran pertubuhan dan Kuasa Kuasa Adat Istiadat.

Waris Amanah Mutlak Silat Seni Gayong, Datuk Wan Ahmad Fauzi Bin Wan Husain

Sebelum Bonda Siti Kalsom berpindah alam, beliau telah melantik Datuk Wan Ahmad Fauzi Bin Wan Husain sebagai Waris Amanah Mutlak Ke-2. Perlantikan telah dibuat pada 10 Mac 1995, diisytiharkan pada 28 November 1999 dan dimasyhurkan pada sekitar tahun 2007 iaitu setelah Bonda Siti Kalsom berpindah alam.
Setelah mengetahui perjalanan dan bagaimana wujudnya Jawatan Tertinggi ini dalam Silat Seni Gayong, kita lihat pula apakah peranan dan bidang kuasa bagi Pemegang Jawatan Waris Amanah Mutlak.

Waris Amanah Mutlak bersama Barisan Panglima Singa Malaya

Antara fungsi utamanya adalah melaksanakan kuasa-kuasa yang diwasiatkan oleh Allahyarham Dato' Seri Paduka Mahaguru. Waris Amanah Mutlak dengan nasihat dan sokongan dari Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Kebangsaan berperanan sebagai :-

1) Pewaris perjuangan dan amanah Silat Seni Gayong.

2) Pemilik kuasa perkenan ke atas segala dasar, polisi dan pelajaran Silat Seni Gayong.

3) Pentadbir kuasa Mahaguru.

4) Menganugerahkan Sandang Kebesaran Silat Seni Gayong kepada sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai.

5) Mengawal perjalanan pentadbiran Lembaga Beradat dan Majlis Gurulatih serta keseluruhan pergerakan Silat Seni Gayong.

6) Mengesahkan jawatan Ketua Adat di peringkat negeri, kebangsaan dan dunia termasuklah Penaung Agong, Penaung DiRaja, Imam Khalifah Agung, Timbalan Imam Khalifah Agung, Pengerusi Agung Lembaga Beradat Kebangsaan, Imam Khalifah, Timbalan Imam Khalifah dan Pengerusi Lembaga Beradat Negeri.

7) Melantik Jawatankuasa Agung Lembaga Beradat Kebangsaan setelah berunding dengan Pengerusi dan Ketua Khalifah Besar Lembaga Beradat Kebangsaan.

8) Melantik Pengarah atau Pengerusi Majlis Gurulatih Kebangsaan dan Pengerusi Majlis Gurulatih Negeri.

9) Melantik Kipas Emas, Panglima Hitam Chula Sakti, Panglima Singa Malaya, Panglima Pelangi Hitam, Wakil Mutlak atau Ketua Beradat dan Wakil Beradat (Wakil Perlimau).

10) Mentauliahkan sebarang kuasa adat kepada mana-mana ahli atau guru yang difikirkan layak dan sesuai.

11) Menggantung, meminda atau membatalkan sebarang kuasa atau tauliah adat yang telah diberi oleh sesiapa sahaja setelah mendapat syor daripada Kipas Emas atau Jawatankuasa Agung Lembaga Beradat Kebangsaan.

SGS, HPCS I

Rujukan :
- PSM Azizan Ibrahim
- PSM Amir Fadhli Razali
- Buku Organisasi Kuasa Adat dan Silat Seni Gayong oleh  Datuk Wan Ahmad Fauzi Bin Wan Husain (Waris Amanah Mutlak Silat Seni Gayong)





Sunday, 20 October 2019

MENGAPA PESILAT PERLU DIUJI?

AlhamduliLLAH...

Tanggal 19 Oktober 2019, menjadi tarikh keramat bagi pesilat pesilat GPKN yang baru pertama kali menjalani ujian peringkat asas. Sebagai pesilat yang baru dalam dunia pesilatan tentunya pelbagai perasaan seperti takut, cemas, malu dan ada juga yang teruja untuk melalui ujian. Namun ujian peringkat asas tidak serumit ujian peringkat seterusnya.

Pesilat GPKN Selesai Menjalani Sesi Ujian Tahapan


Mengapa pesilat perlu diuji?

Dalam susunan pelajaran dipimpin oleh Cikgu Amin Hamzah, pesilat yang telah menjalani latihan selama lebih 6 bulan perlu di uji sebelum pelajaran ditingkatkan ke peringkat seterusnya. Mengikut murid kanan Cikgu Amin, PSM Azizan Ibrahim, setiap tahap pelajaran mengambil masa lebih kurang 60jam iaitu selama 8 bulan jika latihan dilaksanakan selama 2 jam seminggu.

Dalam proses pengajaran silat di Gelanggang Puan Kalsom Naning (GPKN) Gurulatih (PSM Amir Fadhli Razali) telah menyusun pelajaran agar para jurulatih mudah untuk menyampaikan pelajaran di gelanggang. Susunan pelajaran ini dipanggil Silibus Pelajaran. Silibus disusun mengikut tahap pesilat.

Pesilat GPKN Sedang diuji oleh Penguji, Cikgu Aswad.



Dalam Silat Seni Gayong pelajaran telah disusun oleh Gurulatih mengikut tahapan berikut:
a) Tahap Asas
b) Pelangi Hijau
c) Pelangi Merah
d) Pelangi Kuning
e) Harimau Pelangi Chula Sakti

Walaubagaimanapun, Gurulatih selalu mengingatkan para Jurulatih agar tidak terikat dengan Silibus Pelajaran sahaja ketika mengajar di gelanggang. Ini adalah kerana matlamat sebenar yang perlu dicapai oleh pesilat bukan pada penguasaan Silibus semata mata, tetapi lebih kepada kaedah beladiri yang menjurus pada pertempuran sebenar.

Namun begitu, secara asasnya pesilat perlu mahir  dengan segala pelajaran yang telah digariskan dalam Silibus. Pesilat-pesilat akan diuji berdasarkan penguasaan Silibus.

Pesilat Kanak-Kanak GPKN sedang diuji Pelajaran Asas Elakan.


Sebagai contoh bagi peringkat Asas, Silibus pelajaran bagi tahap asas, akan menyediakan pesilat dengan asas yang kukuh seperti kaedah bertapak, serangan asas seperti tumbukan pintal tali, pancung dayung, berkisar tapak, asas elakan, asas elakan dan pukulan, asas kuncian dan lain lain. Maka dalam tempoh latihan selamat 60 jam pesilat sepatutnya telah mahir untuk bertapak, mahir serangan asas seperti tumbuk pintal tali dan pancung dayung, mahir asas elakan dan pukulan dan asas kuncian.

Maka adalah menjadi tanggungjawab seorang pesilat untuk menguasai semua pelajaran yang diajar dalam silibus pelajaran selain untuk memenuhi tututan perkara yang akan diuji, ia perlu memahirkan diri dengan perkara asas.

Dalam Sesi Ujian, Sikap Pasang dan Tapak akan Dinilai.


Oleh itu, ujian perlu dilaksanakan ke atas pesilat untuk mengetahui sejauh mana tahap penguasaan pesilat terhadap pelajaran agar jurulatih dapat merangka latihan tambahan untuk menguatkan penguasaan pesilat selain mengetahui kesediaan pesilat untuk menerima peningkatan pelajaran seterusnya. 

SGS, HPCS III


Sunday, 15 September 2019

KURSUS KEJURULATIHAN 6-7 SEPT. 2019

Tahniah kepada pihak Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia cawangan Perak Darul Ridzuan kerana berjaya menganjurkan Kursus Kejurulatihan yang berlangsung pada 6-7 September 2019.
PSM Amir mendapat mandat untuk melaksanakan Kursus Kejurulatihan dari Ayahanda Cikgu Amin Hamzah


Para Peserta yang mengikuti Kursus Kejurulatihan

Kursus Kejurulatihan ini dipimpin oleh Panglima Singa Malaya Amir Fadhli Razali atas perkenan dan arahan dari Ayahanda Cikgu Amin Hamzah. Kursus  ini dilaksanakan selama 1 hari 1 malam. Walaupun dilaksanakan dalam jangkamasa yang sangat terhad, ia  banyak memberi manfaat kepada para Jurulatih dalam memahami dan memperhalusi setiap perbuatan supaya lebih efektif.

Matlamat utama kursus ini adalah memberi perincian  dan kefahaman kepada jurulatih berkenaan dengan susunan pelajaran Peringkat Asas dan pengenalan kepada Senjata Asas iaitu pisau.

Susunan Pelajaran Peringkat Asas merangkumi
a) Asas Senaman
b) Asas Pergerakan 
c) Asas Elakkan dan Elak pukul
d) Asas Kuncian 
e) Asas Pukulan Maut
f) Asas Tapak hidup

Majlis Dimulakan dengan Bacaan Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Selawat dan Doa agar majlis berjalan lancar dijauhkan dari segala kecederaan.

Sekitar  Kursus Kejurulatihan - Asas Senaman

Sekitar Kursus Kejurulatihan - PSM Amir sedang membuat penerangan Asas Kuncian

Dalam Pelajaran AsasPergerakan, Jurulatih diberi kefahaman tentang struktur kekuda dan tubuh badan yang betul bagi mengelakkan atau mengurangkan risiko kecederaan sekiranya diserang oleh pihak lawan. 

Manakala dalam Pelajaran Asas Elakan dan Elak Pukul, Jurulatih ditekankan tentang cara mengelak yang lebih berkesan dengan menggugat kestabilan kedudukan lawan dan sasaran pukulan bagi melemahkan atau menghilangkan fokus lawan supaya tindakan susulan seperti kuncian dapat dilakukan dengan lebih mudah.

Falsafah dalam Elakan:
a) Memandang lawan
b) Elak atau menyalahkan serangan
c) Berkisar tapak / badan menghadap lawan

Perkara yang amat menarik dalam kursus kali ini yang mana ia memberi impak besar dan membuka minda para Jurulatih adalah apabila pelajaran Asas Kuncian diperhaluskan dan diperincikan.  

Antara falsafah kuncian yang ditekankan adalah :  
a) Memahami nama asas kuncian
b) Menghilangkan fokus lawan
c) Menghilangkan stabiliti pihak lawan dengan cara menarik lawan atau mengubah titik graviti lawan
d) Tiada jatuhan sempurna
e) Pengunci adalah bebas memastikan ia berada dalam kedudukan selesa.

Secara keseluruhan, kursus ini amat memberi manfaat kepada pihak Jurulatih. Dan diharap kursus seumpamanya dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.

Para Jurulatih amat disarankan agar dapat mengikuti kursus-kursus pemantapan silibus agar lebih bersedia untuk menyampaikan pelajaran di gelanggang masing masing.

Selain itu, pihak penganjur bersama dengan PSM Amir Fadhli Razali perkenan untuk membekalkan nota kursus bagi rujukan para Jurulatih di gelanggang.

SYABAS DAN TAHNIAH !!! kepada semua yang terlibat.

AlhamduliLLAH..

SGS, HPCS III


Friday, 19 July 2019

MANTERA MANDI SILAT SENI GAYONG

Sebagai mana yang telah saya maklumkan dalam post sebelum ini,  antara lain falsafah Majlis Adat Perlimau Sintuk ini adalah untuk menyucikan Pesilat dari segi fizikal dan batiniyyah. Ia termasuklah membetulkan semula AKIDAH pesilat.

Majlis Adat Perlimau Tapak Gelanggang Puan Kalsom Naning disempurnakan oleh Ayahanda Cg Amin Hamzah. 

Selepas upacara ikrar dan potong limau, kebiasaannya Guru akan memaklumkan cara mandian beserta dengan Mantera Mandi. Mantera Mandi akan dibaca oleh Guru dan diikut ulang oleh Pesilat yang telah menjalani Majlis Adat Perlimau Tapak.

ALLAHumma kata Suci,
Suci Badanku dalam Cahaya Nur Muhammad,
Xxxx xxxxx xxxxxxx xxxx,
Rahim Rahim Punca Nur ALLAH,
Xxx xxxxxx xxxxxxx,
Pulang Asalku ke RahmatuLLAH,
Tidak ku rasa dan tidak ku lihat,
Itu lah zat ALLAH.

Jika difahami bait bait Mantera itu,  jelas menceritakan asal usul kejadian manusia. Kejadian asal manusia yang Suci dari dosa. Maka simboliknya Majlis Adat Perlimau Tapak ini, membetulkan semula akidah murid dan membuang segala sifat sifat buruk dalam diri murid dengan berkat doa dari Guru. Ia seperti mengembalikan  kepada fitrah kejadian manusia yang bersih dan suci dari dosa.

Berikut ada penerangan serba sedikit berkenaan dengan makna tersirat dari bacaan lafaz Mantera Mandi Silat Seni Gayong.

Baris pertama - Rahsia Kun Fayakun (ALLAH berkehendak untuk menjadikan sesuatu kejadian - penciptaan makhluk)

Baris kedua - Hakikat Nur Muhammad. Nur Muhammad - merupakan bapa sekalian Ruh dan Alam Batin; Jamal, Kamal, Jalal, Qhohar dan segalanya makhluk batin. Nur Muhammad adalah makhluk awal yang diciptakan sebelum makhluk yang lain.

Baris ketiga - Lembaga Adam adalah bapa sekalian Tubuh / Alam Zahir. (Abul Basyar); Tanah, Api, Air, Angin & segala kejadian makhluk zahir yg terjadi darinya.

Baris keempat - Rahim (Rohim) pada Hawa adalah tempat Allah tajalli/nyatakan sifat kasih sayang ditiupkan ruh pada Urat, Tulang, Darah, Daging jadi kehidupan.

Baris kelima - merujuk kpd tajalli sifat Allah pada makhluk pertama yang memuji-NYA iaitu NurMuhammad yg disiapkan pada makhluk pertama itu 7 sifat Ma'ani ;
Qudrat - Kuasa/Tenaga
Irodat - Kehendak/Cita-2
Ilmu - Tahu/Faham
Hayat - Hidup/Nafas
Sama' - Mendengar
Basor - Melihat
Kalam- Berkata-2

Baris keenam - Rahsia Zauq)/ Fana - seruan diri sendiri agar sedar diri kembali kpd Kasih-Sayang Allah, kembali kepada Fitrah Suci bila saat bertemu Allah (pengampunan redha Allah bila masa bertemu Allah).

Baris ketujuh dan kelapan - Sementara Dzat Allah memanglah bukan sesuatu yg boleh dirasa, didengar, dilihat oleh pancaindera makhluk..... Selagi andai boleh maka itu bukanlah Dzat Allah. Bait bait terakhir ini lebih kepada mengenal dan mengESAkan ALLAH.

Penerangan di atas hanya lah bersifat umum dan tidak terperinci.

WAllahu a'lam.

SGS, HPCS 1

rujukan :
- PSM Azizan Ibrahim
- PSM Amir Fadhli Razali
- Ustaz Adnan Che Abu