Friday, 26 April 2019

FALSAFAH SENI KUNCIAN

Kehidupan bangsa Melayu penuh dengan falsafah. Falsafah yang diwujudkan adalah selaras dengan matlamat sesuatu tindakan.  Silat merupakan beladiri yang dijadikan satu cara hidup nenek moyang kita dulu tentunya mempunyai banyak falsafah. Falsafah amalan kependekaran dan permainan menjurus pada Ilmu Usul dan Ketuhanan. Falsafah ini mudah diresapi kerana ia adalah selaras dengan pegangan dan kehidupan bangsa Melayu.

Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, penerapkan falsafah dalam permainan seninya memudahkan pesilat untuk menguasai sesuatu seni permainan.


Antara permainan yang menerapkan falsafah dalam permainannya adalah seni kuncian. Post sebelum ini, saya telah kongsikan beberapa falsafah kuncian yang biasa diaplikasikan dalam seni kuncian.

Dalam post kali ini saya akan cuba kongsikan lagi contoh-contoh bagaimana falsafah tersebut diaplikasikan.

A) MENEPATI KAEDAH KUNCIAN
Dalam Silat Seni Gayong terdapat 7 kaedah kuncian. Dari 7 kaedah tersebut telah dipecahkan menjadi 21 buah kuncian yang diajar di dalam Silibus Asas Silat Seni Gayong. 7 kaedah tersebut adalah :
1) Kacip
2) Kilas
3) Selak
4) Palang
5) Pasak
6) Lipat
7) Pasung / Patah

Setiap kaedah itu mempunyai perincian bagi peletakkan perbuatan agar tercapai maksud dan kaedah yang sebenar. Kesalahan dalam meletakkan/menyukat kedudukan tangan susah pasti akan memberi kesan kuncian yang longgar dan tidak kemas.

Sebagai contoh, kuncian ke-7 Kacip Selak Emas, dalam perbuatan kuncian ini perlu ada kaedah selak sendi lawan. Untuk mencapaikan maksud kaedah, sendi siku lawan perlu disekat pergerakan dengan menyelak sendi siku diantara lengan dan tubuh pesilat.


B) KEDUDUKAN KITA PERLU STABIL SEMASA MULA, SEDANG DAN AKHIR KUNCIAN.
- Kedudukan pesilat dalam melaksanakan kuncian perlu kukuh dan stabil. Kedudukan yang kukuh dan stabil memberikan kemudahan bagi pesilat untuk mematahkan serangan balas dari pihak lawan. Selain itu, kedudukan yang kukuh membolehkan pesilat memandu lawan ke kedudukan yang lemah bagi membolehkan kuncian dilakukan.  

C) MEMASTIKAN KEDUDUKAN DAN KEADAAN LAWAN LEMAH SEMASA MULA, SEDANG DAN AKHIR KUNCIAN
- Adalah agak mustahil untuk melakukan kuncian ke atas lawan yang berada dalam kedudukan yang stabil. Bagaimana untuk  melemahkan kedudukan lawan?

Pukulan dilakukan sebelum melakukan kuncian berperanan untuk melemahkan musuh semasa melakukan kuncian.  Kaedah pukulan yang betul akan mengakibatkan lawan berasa sakit dan hilang tumpuan untuk membuat serangan balas.

Walaubagaimanapun,  falsafah kuncian ini bergantung pada pemahaman dan tahap kemahiran pesilat. Pesilat yang berkemahiran tinggi dalam seni kuncian amat faham akan mekanisma tubuh. Hal ini menjadikan perbuatan kuncian amat mudah baginya dan menggunakan tenaga yang amat minimum dalam perlaksanaan kuncian.

Selain itu petua jarak,  perletakkan tangan,  tapak,  ayunan, daya momentum dan banyak lagi sebenarnya perlu difasihkan dan difahami oleh pesilat.

Namun begitu perkara AKAR bagi setiap ilmu jangan lah dilupakan.  BUKAN SETAKAT FAHAM,  IA KENA DIAMALKAN DAN DILATIH..  AGAR FAHAM MENJADI RASA.

HPCS1, SGS.

rujukan :
- PSM Amir Fadhli Razali
- Blog Gelanggang Persantanala



Monday, 22 April 2019

ETIKA PEMAKAIAN UNTUK MAJLIS RASMI

Assalamualaikum Wbt

Saya ingin kongsikan sedikit pengetahuan berkenaan etika pemakaian ketika Majlis Rasmi. Saya lihat dlm Majlis Rasmi ramai yg segak2. Cuma kadang2 penggunaan senjata sisip di pinggang agak janggal bila diperhatikan.

1. Pakaian
Pemakaian perlu kemas, serba hitam lengkap berbutang. Untuk pemilihan songket, digalakkan memilih jenis hitam sama ada berbenang emas atau silver tetapi setona dgn sampin, bengkung & tanjak.

2. Senjata
-    Pilih senjata jenis selit utk majlis rasmi sama ada keris, badik dan sebagainya. Elakkan terlalu besar dan londeh.
- Bergantung kepada adab setempat, pemakaian senjata bolehlah dikatakan sedemikian :
# hulu dipusing ke dalam
# keris diikat pada sampir


Sekian. Sekadar melontarkan pendapat saya.

PSM AMIR FADHLI RAZALI
HPCS V

Wednesday, 27 March 2019

SILIBUS PELAJARAN GELANGGANG PUAN KALSOM NANING

PERINGKAT ASAS


Gambar Hiasan - Ayahanda Cikgu Amin Hamzah (Apit Jinjang Mahaguru Silat Seni Gayong)

Asas Pergerakkan
1- Tikaman anak sungai
2 - Tusuk Rajawali
3 - Seligi
4 - Telapak Harimau
5- Tumbuk Pintal tali
6 - Pancung Dayung
7 - Tumbuk Melangkah, Sangga Kuak Sisi, Sangga Bawah
8 - Tolak Lintang Depan
9 - Lambung Kemudi
10 - Tolak Lintang Sisi
11 - Tebar Jala

Pecahan Asas Gerakan
1 - Sangga Bumi, Tumbuk, Sangga Bumi
2 - Tangkis Bawah (Undur)
3 - Sangga Silang Atas, Lutut. Sangga Silang Bawah
4 - Siku Tembi
5- Tembi Sula
6 - Tembi Hentak
7 - Golongan 10

Asas Elakan
1 - Kuak Sisi
2- Tangkis Bawah
3 - Sangga Langit
4 - Yoi Luar
5 - Kilas Dayung
6 - Yoi Dalam
7 - Patah Alu

Elak Pukul 1
1 - Kuak Sisi, Pancung Dayung, Tumbuk Pintal Tali
2 - Tangkis Bawah, Tumbuk Pintal Tali, Pancung Leher, Lutut
3 - Sangga Langit, Setangkai Padi, Rembat Relang,
4 - Yoi dalam, Selayang Pancung, Kilas Tengkuk, Lutut
5 - Cekak Harimau, Kilas Dayung, Tebar Jala, Pancung Dayung, Rembat Kuda Gila
6 - Yoi dalam, Sauk Emas Sepukal, Pecah Gegendang, Lutut Kanan Kiri.
7 - Patah Alu, Pancung Dayung, Hentak Halkum, Sangga Lutut.

Separa Kuncian (Kanak-kanak Lelaki dan Wanita (7-12 Tahun))
1a - Kilas Sawa
1b - Kalung Puteri
2 - Kilas Dayung Kiri
3 - Kilas Dayung Kanan

Kuncian (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Wanita).
1a - Kilas Sawa Berendam
1b - Kalung Puteri,
2a - Kilas Dayung 1
2b - Kilas Dayung 2
3a - Kilas Dayung Palang Maut 1
3b - Kilas Dayung Palang Maut 2
3c - Kilas Dayung Palang Maut 3

Kuncian (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Lelaki)
1 - Kilas Sawa Berendam
2 - Kilas Dayung
3 - Kilas Dayung Palang Maut
4 - Kacip Emas
5 - Patang Dayung
6 - Chekak Banting
7 - Kacip Selak Emas

Pukul Maut (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Wanita)
1- Simbar Cakar Helang
2 - Kuda Gila
3 - Tembi Hentak
4 - Sepak Rajang Hentak Adam
5 - Emas Sepukal
6 - Tembi Siku
7- Tebar Jala

Pukulan Maut (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Lelaki)
1 - Sangga Sisi
2 - Setangkai Padi
3 - Selayang Pancung
4 - Sauk Emas Sepukal
5 - Pancung Dayung
6 - Yoi Dalam
7 - Tebar Jalan

Tapak Hidup (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Lelaki dan Wanita)
Buah 1 - 7

Anggaran Tempoh Masa Pelajaran - 6 bulan

HPCS1, SAS.

Rujukan :
- PSM Azizan Bin Ibrahim
- PPH Amir Fadhli Bin Razali


Friday, 15 March 2019

RISIKO KECEDERAAN DALAM MEMPELAJARI SENI KUNCIAN

Pelajaran Seni Kuncian merupakan kaedah untuk mengunci tubuh lawan dan menewaskan pihak lawan secara keseluruhan.  Kaedah kuncian perlu dilaksanakan dengan kaedah kuncian sendi yang betul bagi memastikan kuncian yang dilaksanakan lebih efektif.

Pelajaran ini boleh mendedahkan pesilat pada risiko kecenderaan yang tinggi sekiranya tidak dititikberatkan faktor keselamatan dalam latihan.  Oleh itu, sebelum pesilat mula mempelajari Seni Kuncian,  jurulatih perlu memaklumkan kepada pesilat risiko-risiko kecederaan yang mungkin akan berlaku dan langkah-langkah untuk mengelakkan kecederaan. Kecederaan yang biasa berlaku adalah kecederaan yang melibatkan sendi seperti terkehel, patah sendi dan kecederaan tendon yang bersifat kecederaan dalaman.

Seni Kuncian perlu dilakukan dengan kaedah yang betul dan berhati-hati

Berikut adalah langkah-langkah untuk mengelakkan kecederaan semasa latihan seni kuncian :

a)  pesilat perlu lakukan aktiviti pemanasan badan yang betul terutama pada sendi-sendi. Ini bagi mengelakkan kecederaan pada tendon disamping memberi daya mula kerja pada otot-otot yang menggerakkan sendi. 

b)   memastikan tapak dan kekuda kuat dan stabil.  Tapak dan kekuda yang kuat dan stabil dapat mengelakkan pesilat dari tergelincir atau jatuh semasa melakukan kuncian. Sekiranya pesilat tergelincir atau terjatuh semasa melakukan kuncian, ia boleh menyebabkan kecederaan pada pesilat yang dikunci atau mungkin juga kecederaan pada diri pesilat sendiri.

c)  memerhatikan dengan teliti kuncian yang dilakukan oleh Jurulatih. Jurulatih akan menerangkan secara terperinci mengenai kaedah seni kuncian yang akan diajarkan kepada pesilat.  Jurulatih juga akan menerangkan perkara yang perlu dibuat untuk mengelakkan kecederaan pada pesilat yang dikunci.  Ini perlu bagi memastikan latihan berjalan lancar tanpa kecederaan dan mengelakkan kecederaan kekal yang oleh menjejaskan kebolehan pesilat.  Selain itu jurulatih juga akan memperincikan perbuatan untuk memastikan kaedah kuncian dapat melumpuhkan pihak lawan.

d)  bagi pesilat yang baru belajar seni kuncian, amat perlu berlatih dengan pengawasan jurulatih bagi memastikan kuncian yang dibuat betul seninya tetapi tidak memberi tekanan yang keterlaluan sehingga menyebabkan kecederaan pada pesilat lain.

e)  pesilat yang dikunci oleh pesilat yang lain dalam latihan perlu melembutkan sendi atau mengikut pergerakan kuncian.  Sekiranya pesilat tidak mengikut pergerakan kuncian atau mengeraskan badan dan sendi, dikhuatiri boleh mengakibatkan kecederaan sendi seperti terkehel dan patah.  

f) semasa proses pembelajaran seni kuncian, pesilat perlu fokus dan tidak bergurau. 

Selain perkara di atas jurulatih juga perlu tahu menyukat sejauh mana tekanan kunci boleh dilakukan. Sukatan ini diperolehi dari proses pembelajaran di gelanggang. Perlu membiasakan diri merasa untuk dikunci dengan kaedah yang betul agar kita dapat mengukur tahap kesakitan yang boleh ditanggung oleh pesilat.

HPCS1, SAS.

Rujukan :
- PSM Azizan bin Ibrahim
- PPH Amir Fadhli Bin Razali


Tuesday, 5 March 2019

KESABARAN DALAM MENUNTUT ILMU PERSILATAN

Dalam mempelajari ilmu persilatan, selain menjaga adab dengan Guru, perlu ada sifat sabar, bersikap terbuka, boleh dididik dan boleh menerima teguran.

Gambar Hiasan - Sambutan Hari Sang Sapurba

Proses pembelajaran ilmu persilatan merupakan satu proses yang panjang. Tiada jalan singkat bagi menguasai ilmu persilatan. Justeru itu perlu ada sifat sabar bagi penuntut ilmu persilatan. 

Setiap pesilat perlu melalui fasa berikut dalam mempelajari ilmu persilatan:

a) Fasa Belajar
- Fasa ini adalah fasa pertama dalam pembelajaran. Dalam fasa ini, pesilat akan mengambil pelajaran secara menghafal. Pergerakan dilaksanakan berlandasan hafalan tanpa penghayatan. Pesilat akan menjalani proses pembentukkan struktur dan kestabilan tubuh.

b) Fasa Amal
- Dalam fasa ini, pesilat akan berlatih secara latih tubi untuk pelajaran yang dipelajari sehingga mendapat kemahiran dan kecekapan. Pesilat yang berada pada fasa ini akan berlatih secara konsisten. Pada fasa ini memori otot akan membentuk refleksi pergerakkan. Fasa ini berlaku dalam tempoh masa yang panjang bergantung pada kebolehan dan kesungguhan pesilat. Namun begitu, kebanyakkan pesilat akan terhenti sampai di fasa ini sahaja. 

c) Fasa Faham
- Pesilat yang masih bertahan dalam proses pembelajaran  seterusnya akan melalui Fasa Faham. Dalam fasa ini pesilat akan memahami pelajaran yang dipelajari dengan lebih detail. Pesilat akan kerap mendampingi Guru secara personal untuk bertanyakan kepada Guru sebab musabab akan setiap pelajaran yang dipelajari.  Pesilat akan cuba memahami faktor-faktor yang mempengaruhi setiap perlakuan serang dan belaan. Pada masa ini pesilat akan mula mendapat 'rasa'.

d)  Fasa Rasa
- Fasa ini wujud setelah pesilat melepasi fasa faham. Ia wujud tanpa disedari. Pesilat dapat mengenal pasti titik-titik lemah pada setiap serangan yang boleh melemahkan pihak lawan dan titik lemah bagi belaan yang boleh memberi mudarat pada diri sendiri. Pesilat juga berupaya untuk membuat jangkaan akan serangan balas yang bakal dihadapi dan merangka belaan susulan.  

e) Fasa Kaji
- Kaji dan rasa ini adalah fasa yang berkaitan. Pesilat yang telah mendapat rasa akan cuba mengkaji akan sesuatu perkara yang dipelajari.  Pesilat akan kembali kepada asas pembelajaran. Kajian-kajian terperinci akan dilakukan untuk setiap perkara yang dipelajari. Pada fasa ini, selalunya pesilat telah pun menjadi tenaga pengajar di gelanggang. Proses pembelajaran di dalam gelanggang membolehkan ia dapat mengenalpasti kelemahan-kelemahan kefahamannya terhadap setiap pelajaran. Dalam fasa ini pesilat telah mula menulis bahan ilmu untuk memberi kefahaman kepada pesilat lain.

f)  Fasa Mengolah
- Pesilat dikatakan telah menguasai pelajaran setelah pesilat melepasi semua fasa di atas. Asas pelajaran telah pun teguh. Seterusnya pesilat akan mula mengolah pelajaran. Olahan yang dibuat masih berpaksikan asas. Olahan ini juga dipanggil pecahan pelajaran. Pecahan ini terbit apabila terdapat variasi pada serangan dan belaan. Variasi juga membawa maksud kepelbagaian saiz lawan dan kemahiran lawan.


Setelah melepasi fasa-fasa pembelajaran di atas, pesilat kini berupaya untuk menyusun  sistem pembelajaran mengikut pengalaman yang dilalui disepanjang fasa -fasa di atas.

Oleh yamg demikian,  perlu ada sifat sabar dalam menuntut ilmu persilatan kerana proses ini mungkin akn berlangsung dalam jangkamasa yang lama mengikut kemahiran dan tahap kefahaman.  Dalam fasa-fasa di atas, fasa AMAL merupakan fasa terpenting.

JIKA HANYA SEKADAR TAHU TAPI TAK BERAMAL,  MAKA TIADALAH MENDAPAT FAHAM APATAH LAGI MENDAPAT RASA.

HPCS1, SAS.




Sunday, 3 March 2019

PELAJARAN SENI TANGAN KOSONG

Pelajaran Seni Tangan Kosong atau dikenali sebagai Pelajaran Tanpa Senjata merupakan asas pada permainan seni senjata. Setiap pesilat perlu memahirkan diri dengan pelajaran tangan kosong sebelum dibenarkan untuk mempelajari seni senjata.

Dalam keilmuan Silat Seni Gayong seperti yang diajarkan oleh Guru saya Ayahanda Cg Amin Hamzah, susunan pelajaran disusun supaya ia mudah diajar dan dipelajari. 

Ayahanda Cg. Amin Hamzah menerangkan susunan Pelajaran Seni Tangan Kosong
Secara Am kaedah susunan pelajaran adalah seperti berikut :

a) Senaman
  - Aktiviti silat merupakan suatu aktiviti fizikal yang agak berat. Oleh itu, tubuh badan perlu bersedia untuk menghadapi sesi latihan yang menguji ketahanan fizikal. Aktiviti senaman termasuklah aktiviti pemanasan badan, regangan, stamina, membina otot badan, dan lompatan Senaman Anak Harimau.

b) Gerakan
  - Gerakan terbahagi kepada gerakan asas yang bersifat tunggal (bukan kombinasi gerakan) dan gerakan berangkai (kombinasi gerakan asas, serang dan bela). Sebagaimana yang telah saya maklumkan pada paparan blog yang terdahulu, gerakan juga merupakan satu bentuk senaman. Beza antara gerakan dan senaman sangatlah jelas begitu juga dengan manfaatnya. Melaksanakan senaman jelas memberi kesediaan tubuh badan untuk memulakan latihan fizikal manakala gerakan bukan sahaja memberi manfaat yang sama dengan senaman malahan juga berupaya membentuk memori otot. 

c) Elakkan
- Elakkan merupakan asas belaan yang pertama perlu dipelajari oleh pesilat. Ia merupakan perkara asas dalam ilmu bela diri. Kaedah elakan dalam Silat Seni Gayong, selalunya disusuli dengan kaedah tangkisan. Kaedah elakan berperanan untuk menyalahkan serangan lawan manakala tangkisan berperanan untuk menggugat kestabilan tapak lawan dan mewujudkan kawasan selamat. 

d) Elak Pukul
- Apabila pesilat telah mahir dalam kaedah elakan, pesilat seterusnya akan diajar pula kaedah serangan susulan. Serangan susulan ini akan tertumpu pada sasaran pelemah atau sasaran maut. Ia bertujuan untuk melemahkan pertahanan lawan dan membuatkan pihak lawan hilang fokus untuk melakukan serangan balas.

e) Kuncian
- Kaedah kuncian sebenarnya merupa kaedah untuk melumpuhkan atau menewaskan pihak lawan secara keseluruhan. Pelajaran ini, akan didedahkan setelah pesilat matang dalam kaedah bertapak dan asas belaan iaitu elakkan dan elak pukul. Kaedah kuncian merupakan suatu kaedah berseni yang mana kaedahnya tertumpu pada sekatan sendi-sendi anggota. Pesilat disarankan untuk berlatih dibawah seliaan jurulatih yang mahir bagi mengelakkan kecederaan. Kuncian yamg dilaksanakan dengan mengikut falsafah kuncian mampu melumpuhkan pergerakan pihak lawan. Antara falsafah dalam kuncian adalah :
- kedudukan lawan perlu mengikut kehendak kita, sebagai contoh kita yang memandu di mana lawan akan dijatuhkan.
-  tiada jatuhan yang sempurna, bermaksud apabila menjatuhkan pihak lawan pastikan badan lawan terpuing, tidak melekap elok di lantai.
- kaedah kuncian selaras dengan nama kuncian sebagai contoh Kuncian Kilas Dayung, perlu ada kaedah kilas dan Kuncian Patah Dayung perlu ada kaedah mematah.

f) Serangan Pukulan Maut
- Pelajaran ini diletakkan pada peringkat yang tinggi dalam Seni Tangan Kosong. Pada tahap ini, pesilat sepatutnya telah menguasai kaedah bertapak, langkahan, elakan dan pukulan. Pesilat akan dilatih untuk melaksanakan serangan pukulan dengan pantas. Kaedah elakan dan serangan balas dilaksanakan secara serentak.

g) Tapak hidup
- Pesilat akan diajar teknik untuk melepaskan diri dari kuncian. Sebagai contoh, kita menyerang dan lawan akan melaksanakan kaedah kunci ke atas kita dan kita akan membuka kuncian sebelum kuncian matang.

Begitulah tersusun cantik susunan pelajaran Seni Tangan Kosong dalam keilmuan Silat Seni Gayong. Pesilat akan diajar secara sistematik mengikut  tahap kemahiran. Selain itu terdapat pelajaran khas kuncian dan pukulan maut bagi kaum wanita. Pelajaran khas ini mengambil kira kudrat dan kekangan kaum wanita. Pelajaran bagi wanita lebih ringkas berbanding pelajaran bagi lelaki. 

HPCS1, SAS

Rujukan : 
1) Buku Silibus Asas Tangan Kosong, karangan PPH Amir Fadhli Razali




Sunday, 24 February 2019

JENIS SERANGAN DAN SASARAN

Dalam pelajaran Seni Tangan Kosong, Silat Seni Gayong, pesilat akan didedahkan dengan pelbagai jenis serangan tangan dan kaki.

Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, setiap serangan mempunyai namanya tersendiri. Nama-nama serangan tersebut diberi berdasarkan sifat serangan tersebut ataupun sasaran serangan. Perkara ini memudahkan pesilat untuk memahami sifat serangan dan sasaran serangan.

Ayahanda Cg. Amin Hamzah menunjukkan sasaran serangan Sauk Emak Sepukal
Antara terma terma serangan tangan dalam Silat Seni Gayong adalah :
- Tumbukan Pintal Tali
- Tumbukan Kisar Tali
- Tumbukan Kelek Anak (Sauk Emas Sepukal)
- Pancung Dayung
- Siku Tembi
- Tembi Siku
- Setangkai Padi
- Seligi
- Tikaman Anak Sungai
- Tusuk Rajawali
- Telapak Harimau
- Timang Puteri

Setiap serangan tersebut mempunyai sasaran-sasaran tertentu yang dapat melemahkan pihak lawan. Selain melemahkan pihak lawan, ada di antara serangan di atas boleh menyebabkan pihak lawan tidak sedarkan diri (pengsan) atau jika serangan tersebut kena betul pada sasaran maut ia boleh mengakibatkan maut.

Sebagai contoh sifat serangan bagi Tumbukan Pintal Tali. Mengapa ia dipanggil sedemikian? Nama tersebut menerangkan sifat yang perlu ada dalam perbuatan serangan tersebut untuk menjadikan serangan tersebut lebih efektif atau mendatangkan kesan yang maksimum pada pihak musuh.
Perbuatan bagi Tumbukan Pintal Tali merupakan retetan serangan berikut :

Kelek Anak -> Berkisar Tali -> Emas Sepukal


Tumbukan Pintal Tali

Kelek anak (simpan tumbukan di rusuk) merupakan perbuatan awalan untuk melaksanakan serangan Tumbukan Pintal Tali. Untuk mendapatkan daya/impak yang tinggi maka, pecutan serangan perlu ditingkatkan. Pecutan boleh ditingkatkan dengan menambahkan jarak terhadap sasaran. Sifat bagi Pintal Tali dapat dilihat pada perbuatan berkisar tali. Perbuatan berkisar tali dapat menambahkan daya tenaga/impak pada kelajuan serangan yang tinggi. Manakala perbuatan Emas Sepukal, simbolik pada genggaman tangan yang kuat dan padu (mengalihkan berat badan pada kepalan tangan) akan menghasilkan daya/impak yang besar pada serangan tersebut.

Disebabkan impak / daya tinggi yang dihasilkan daripada gabungan perbuatan di atas, serangan ini juga dikenali sebagai Serangan Pemusnah. Ini bermaksud, ia boleh memusnahkan apa saja sasarannya iaitu seperti tulang rusuk, tulang rahang dan tulang dada (jantung).

Berikut adalah 7 sasaran maut dan contoh serangannya : 
1) Rusuk - pancung dayung, Sauk Emas Sepukal;
2) Hulu hati - Tumbukan Kelek Anak, Tumbukan Pintal Tali;
3) Jantung - Telapak Harimau;
4) Halkum - Setangkai Padi, Pancung Dayung, Seligi
5) Kemaluan - Timang Puteri, Setangkai Padi, Hentak Emas Sepukal
6) Leher - Seligi
7) Rahang - Seligi, Pancung Dayung,

Pancung Dayung - Rusuk


Timang Puteri - Kemaluan 


Seligi - Rahang

Tumbukan Pintal Tali - Rusuk

Tumbukan Sauk Emas Sepukal - Rusuk

Setangkai Padi - Kemaluan


Oleh yang demikian, seorang pesilat amat perlu untuk mengetahui jenis-jenis serangan dan sasarannya agar serangan tersebut lebih efektif untuk melemahkan pihak lawan. Selain melemahkan pihak lawan ia juga berperanan untuk menghilangkan fokus dan pertimbangkan pihak lawan bagi membuat serangan balas. 


HPCS 1, SAS.

Rujukan : 
1) Buku Kupasan Asas Gerakan, karangan PSM Azizan Ibrahim
2) Buku Silibus Asas Tangan Kosong, karangan PPH Amir Fadhli Razali