Tuesday, 5 March 2019

KESABARAN DALAM MENUNTUT ILMU PERSILATAN

Dalam mempelajari ilmu persilatan, selain menjaga adab dengan Guru, perlu ada sifat sabar, bersikap terbuka, boleh dididik dan boleh menerima teguran.

Gambar Hiasan - Sambutan Hari Sang Sapurba

Proses pembelajaran ilmu persilatan merupakan satu proses yang panjang. Tiada jalan singkat bagi menguasai ilmu persilatan. Justeru itu perlu ada sifat sabar bagi penuntut ilmu persilatan. 

Setiap pesilat perlu melalui fasa berikut dalam mempelajari ilmu persilatan:

a) Fasa Belajar
- Fasa ini adalah fasa pertama dalam pembelajaran. Dalam fasa ini, pesilat akan mengambil pelajaran secara menghafal. Pergerakan dilaksanakan berlandasan hafalan tanpa penghayatan. Pesilat akan menjalani proses pembentukkan struktur dan kestabilan tubuh.

b) Fasa Amal
- Dalam fasa ini, pesilat akan berlatih secara latih tubi untuk pelajaran yang dipelajari sehingga mendapat kemahiran dan kecekapan. Pesilat yang berada pada fasa ini akan berlatih secara konsisten. Pada fasa ini memori otot akan membentuk refleksi pergerakkan. Fasa ini berlaku dalam tempoh masa yang panjang bergantung pada kebolehan dan kesungguhan pesilat. Namun begitu, kebanyakkan pesilat akan terhenti sampai di fasa ini sahaja. 

c) Fasa Faham
- Pesilat yang masih bertahan dalam proses pembelajaran  seterusnya akan melalui Fasa Faham. Dalam fasa ini pesilat akan memahami pelajaran yang dipelajari dengan lebih detail. Pesilat akan kerap mendampingi Guru secara personal untuk bertanyakan kepada Guru sebab musabab akan setiap pelajaran yang dipelajari.  Pesilat akan cuba memahami faktor-faktor yang mempengaruhi setiap perlakuan serang dan belaan. Pada masa ini pesilat akan mula mendapat 'rasa'.

d)  Fasa Rasa
- Fasa ini wujud setelah pesilat melepasi fasa faham. Ia wujud tanpa disedari. Pesilat dapat mengenal pasti titik-titik lemah pada setiap serangan yang boleh melemahkan pihak lawan dan titik lemah bagi belaan yang boleh memberi mudarat pada diri sendiri. Pesilat juga berupaya untuk membuat jangkaan akan serangan balas yang bakal dihadapi dan merangka belaan susulan.  

e) Fasa Kaji
- Kaji dan rasa ini adalah fasa yang berkaitan. Pesilat yang telah mendapat rasa akan cuba mengkaji akan sesuatu perkara yang dipelajari.  Pesilat akan kembali kepada asas pembelajaran. Kajian-kajian terperinci akan dilakukan untuk setiap perkara yang dipelajari. Pada fasa ini, selalunya pesilat telah pun menjadi tenaga pengajar di gelanggang. Proses pembelajaran di dalam gelanggang membolehkan ia dapat mengenalpasti kelemahan-kelemahan kefahamannya terhadap setiap pelajaran. Dalam fasa ini pesilat telah mula menulis bahan ilmu untuk memberi kefahaman kepada pesilat lain.

f)  Fasa Mengolah
- Pesilat dikatakan telah menguasai pelajaran setelah pesilat melepasi semua fasa di atas. Asas pelajaran telah pun teguh. Seterusnya pesilat akan mula mengolah pelajaran. Olahan yang dibuat masih berpaksikan asas. Olahan ini juga dipanggil pecahan pelajaran. Pecahan ini terbit apabila terdapat variasi pada serangan dan belaan. Variasi juga membawa maksud kepelbagaian saiz lawan dan kemahiran lawan.


Setelah melepasi fasa-fasa pembelajaran di atas, pesilat kini berupaya untuk menyusun  sistem pembelajaran mengikut pengalaman yang dilalui disepanjang fasa -fasa di atas.

Oleh yamg demikian,  perlu ada sifat sabar dalam menuntut ilmu persilatan kerana proses ini mungkin akn berlangsung dalam jangkamasa yang lama mengikut kemahiran dan tahap kefahaman.  Dalam fasa-fasa di atas, fasa AMAL merupakan fasa terpenting.

JIKA HANYA SEKADAR TAHU TAPI TAK BERAMAL,  MAKA TIADALAH MENDAPAT FAHAM APATAH LAGI MENDAPAT RASA.

HPCS1, SAS.




No comments:

Post a Comment