Friday, 15 March 2019

RISIKO KECEDERAAN DALAM MEMPELAJARI SENI KUNCIAN

Pelajaran Seni Kuncian merupakan kaedah untuk mengunci tubuh lawan dan menewaskan pihak lawan secara keseluruhan.  Kaedah kuncian perlu dilaksanakan dengan kaedah kuncian sendi yang betul bagi memastikan kuncian yang dilaksanakan lebih efektif.

Pelajaran ini boleh mendedahkan pesilat pada risiko kecenderaan yang tinggi sekiranya tidak dititikberatkan faktor keselamatan dalam latihan.  Oleh itu, sebelum pesilat mula mempelajari Seni Kuncian,  jurulatih perlu memaklumkan kepada pesilat risiko-risiko kecederaan yang mungkin akan berlaku dan langkah-langkah untuk mengelakkan kecederaan. Kecederaan yang biasa berlaku adalah kecederaan yang melibatkan sendi seperti terkehel, patah sendi dan kecederaan tendon yang bersifat kecederaan dalaman.

Seni Kuncian perlu dilakukan dengan kaedah yang betul dan berhati-hati

Berikut adalah langkah-langkah untuk mengelakkan kecederaan semasa latihan seni kuncian :

a)  pesilat perlu lakukan aktiviti pemanasan badan yang betul terutama pada sendi-sendi. Ini bagi mengelakkan kecederaan pada tendon disamping memberi daya mula kerja pada otot-otot yang menggerakkan sendi. 

b)   memastikan tapak dan kekuda kuat dan stabil.  Tapak dan kekuda yang kuat dan stabil dapat mengelakkan pesilat dari tergelincir atau jatuh semasa melakukan kuncian. Sekiranya pesilat tergelincir atau terjatuh semasa melakukan kuncian, ia boleh menyebabkan kecederaan pada pesilat yang dikunci atau mungkin juga kecederaan pada diri pesilat sendiri.

c)  memerhatikan dengan teliti kuncian yang dilakukan oleh Jurulatih. Jurulatih akan menerangkan secara terperinci mengenai kaedah seni kuncian yang akan diajarkan kepada pesilat.  Jurulatih juga akan menerangkan perkara yang perlu dibuat untuk mengelakkan kecederaan pada pesilat yang dikunci.  Ini perlu bagi memastikan latihan berjalan lancar tanpa kecederaan dan mengelakkan kecederaan kekal yang oleh menjejaskan kebolehan pesilat.  Selain itu jurulatih juga akan memperincikan perbuatan untuk memastikan kaedah kuncian dapat melumpuhkan pihak lawan.

d)  bagi pesilat yang baru belajar seni kuncian, amat perlu berlatih dengan pengawasan jurulatih bagi memastikan kuncian yang dibuat betul seninya tetapi tidak memberi tekanan yang keterlaluan sehingga menyebabkan kecederaan pada pesilat lain.

e)  pesilat yang dikunci oleh pesilat yang lain dalam latihan perlu melembutkan sendi atau mengikut pergerakan kuncian.  Sekiranya pesilat tidak mengikut pergerakan kuncian atau mengeraskan badan dan sendi, dikhuatiri boleh mengakibatkan kecederaan sendi seperti terkehel dan patah.  

f) semasa proses pembelajaran seni kuncian, pesilat perlu fokus dan tidak bergurau. 

Selain perkara di atas jurulatih juga perlu tahu menyukat sejauh mana tekanan kunci boleh dilakukan. Sukatan ini diperolehi dari proses pembelajaran di gelanggang. Perlu membiasakan diri merasa untuk dikunci dengan kaedah yang betul agar kita dapat mengukur tahap kesakitan yang boleh ditanggung oleh pesilat.

HPCS1, SAS.

Rujukan :
- PSM Azizan bin Ibrahim
- PPH Amir Fadhli Bin Razali


No comments:

Post a Comment