Sunday, 24 February 2019

JENIS SERANGAN DAN SASARAN

Dalam pelajaran Seni Tangan Kosong, Silat Seni Gayong, pesilat akan didedahkan dengan pelbagai jenis serangan tangan dan kaki.

Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, setiap serangan mempunyai namanya tersendiri. Nama-nama serangan tersebut diberi berdasarkan sifat serangan tersebut ataupun sasaran serangan. Perkara ini memudahkan pesilat untuk memahami sifat serangan dan sasaran serangan.

Ayahanda Cg. Amin Hamzah menunjukkan sasaran serangan Sauk Emak Sepukal
Antara terma terma serangan tangan dalam Silat Seni Gayong adalah :
- Tumbukan Pintal Tali
- Tumbukan Kisar Tali
- Tumbukan Kelek Anak (Sauk Emas Sepukal)
- Pancung Dayung
- Siku Tembi
- Tembi Siku
- Setangkai Padi
- Seligi
- Tikaman Anak Sungai
- Tusuk Rajawali
- Telapak Harimau
- Timang Puteri

Setiap serangan tersebut mempunyai sasaran-sasaran tertentu yang dapat melemahkan pihak lawan. Selain melemahkan pihak lawan, ada di antara serangan di atas boleh menyebabkan pihak lawan tidak sedarkan diri (pengsan) atau jika serangan tersebut kena betul pada sasaran maut ia boleh mengakibatkan maut.

Sebagai contoh sifat serangan bagi Tumbukan Pintal Tali. Mengapa ia dipanggil sedemikian? Nama tersebut menerangkan sifat yang perlu ada dalam perbuatan serangan tersebut untuk menjadikan serangan tersebut lebih efektif atau mendatangkan kesan yang maksimum pada pihak musuh.
Perbuatan bagi Tumbukan Pintal Tali merupakan retetan serangan berikut :

Kelek Anak -> Berkisar Tali -> Emas Sepukal


Tumbukan Pintal Tali

Kelek anak (simpan tumbukan di rusuk) merupakan perbuatan awalan untuk melaksanakan serangan Tumbukan Pintal Tali. Untuk mendapatkan daya/impak yang tinggi maka, pecutan serangan perlu ditingkatkan. Pecutan boleh ditingkatkan dengan menambahkan jarak terhadap sasaran. Sifat bagi Pintal Tali dapat dilihat pada perbuatan berkisar tali. Perbuatan berkisar tali dapat menambahkan daya tenaga/impak pada kelajuan serangan yang tinggi. Manakala perbuatan Emas Sepukal, simbolik pada genggaman tangan yang kuat dan padu (mengalihkan berat badan pada kepalan tangan) akan menghasilkan daya/impak yang besar pada serangan tersebut.

Disebabkan impak / daya tinggi yang dihasilkan daripada gabungan perbuatan di atas, serangan ini juga dikenali sebagai Serangan Pemusnah. Ini bermaksud, ia boleh memusnahkan apa saja sasarannya iaitu seperti tulang rusuk, tulang rahang dan tulang dada (jantung).

Berikut adalah 7 sasaran maut dan contoh serangannya : 
1) Rusuk - pancung dayung, Sauk Emas Sepukal;
2) Hulu hati - Tumbukan Kelek Anak, Tumbukan Pintal Tali;
3) Jantung - Telapak Harimau;
4) Halkum - Setangkai Padi, Pancung Dayung, Seligi
5) Kemaluan - Timang Puteri, Setangkai Padi, Hentak Emas Sepukal
6) Leher - Seligi
7) Rahang - Seligi, Pancung Dayung,

Pancung Dayung - Rusuk


Timang Puteri - Kemaluan 


Seligi - Rahang

Tumbukan Pintal Tali - Rusuk

Tumbukan Sauk Emas Sepukal - Rusuk

Setangkai Padi - Kemaluan


Oleh yang demikian, seorang pesilat amat perlu untuk mengetahui jenis-jenis serangan dan sasarannya agar serangan tersebut lebih efektif untuk melemahkan pihak lawan. Selain melemahkan pihak lawan ia juga berperanan untuk menghilangkan fokus dan pertimbangkan pihak lawan bagi membuat serangan balas. 


HPCS 1, SAS.

Rujukan : 
1) Buku Kupasan Asas Gerakan, karangan PSM Azizan Ibrahim
2) Buku Silibus Asas Tangan Kosong, karangan PPH Amir Fadhli Razali







Tuesday, 5 February 2019

OTOT-OTOT YANG TERLIBAT DALAM GERAKAN SERANG BELA KAKI

Pelajaran Asas Gerakan merangkumi kaedah Gerakan Serang Bela Tangan dan Kaki. Kebiasaan Gerakan Serang Bela Tangan mudah dilatih oleh pesilat dan sedikit sukar untuk melatih Gerakan Serang Bela Kaki.


Tendangan Juring Sisi (Tolak Lintang Sisi)

Seorang pesilat perlu untuk mengetahui bagaimana proses berlakunya pergerakkan anggota kaki. Amat penting bagi pesilat mengetahui otot-otot yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pergerakkan kaki. Pengetahuan ini akan membantu pesilat untuk melaksanakan gerakan dengan cara yang betul dan seterusnya dapat memperbaiki kemantapan gerakan anggota.

Pemantapan gerakan boleh ditingkatkan dengan meningkatkan daya tahan dan kekuatan otot-otot yang terlibat dalam menghasilkan gerakan. 

Gerakan terhasil daripada interaksi kumpulan otot-otot rangka. Bagi pergerakan kaki otot-otot penggerak utama (Agonis & Antagonis) dan  yang terlibat adalah :
a) kumpulan otot Quadriceps (Rectus Femoris, Vastus Medialis, Vastus Lateralis, Vastus Intermedius);
b) kumpulan otot Hamstring (Semitendinosus, Semimembranosus, Biceps Femoris).

Rajah 1, menunjukkan kedudukan otot-otot rangka pada tubuh manusia. Otot rangka merupakan otot yang melekat pada tulang-tulang.


Rajah 1 - Anatomi Sistem Otot Manusia

Selain itu terdapat otot-otot lain yang turut membantu gerakan kaki seperti :
a) Otot Perut (Rectus Abdominis)
b) Otot Betis (Gastrocnemius, Soleus),
b) Otot Pinggang (Oblique)
c) Otot Punggung (Gluteus)

Rajah 2 - Tendon dan Ligamen
Terdapat dua tisu penghubung yang juga memainkan peranan dalam pergerakan anggota iaitu Tendon dan Ligamen. Tendon adalah merupakan tisu penghubung bergentian yang tidak elastik yang melekatkan otot pada tulang. Tisu tendon ini memastikan daya tarikan yang disebabkan dari pengecutan otot dipindahkan ke tulang seterusnya menyebabkan pergerakan.

Manakala Tisu Ligamen pula adalah merupakan tisu penghubung bergentian untuk menghubungkan tulang-tulang. Struktur tisunya yang elastik yang menghubungkan tulang-tulang membentuk satu sendi yang membenarkan pergerakan yang terhad. Ia juga berfungsi untuk menetapkan kedudukan tulang pada tempatnya agar tidak terkehel.


Sebagai contoh latihan asas gerakan yang pertama, Tendangan Lurus (Lambung Kemudi), dapat dilihat dari Rajah 3 di bawah otot-otot yang mengambil tugas bagi melaksanakan gerakan tersebut. 

Rajah 3 - Otot-Otot Yang Terlibat Dalam Perlaksanaan Gerakan Tendangan Lurus

Rajah 4, menunjukkan otot-otot utama yang melaksanakan Gerakan Tendangan Lurus. Otot-otot yang ditandakan dengan warna merah merupakan otot dinamik atau otot yang digerakkan semasa pelaksanaan gerakan tersebut, manakala otot-otot yang ditandakan dengan warna biru merupakan otot yang statik atau otot yang tidak digerakkan.



Rajah 4 - Otot-Otot Utama Dalam Gerakan Tendangan Lurus
Rajah 5 dan Rajah 6 menunjukkan otot-otot utama bagi Gerakan Tendangan Sula dan Tendangan Kuda Gila.

Rajah 5 - Anatomi Sistem Otot Rangka Bagi Gerakan Tendangan  Depan (Tendangan Sula)

Rajah 6 - Anatomi Sistem Otot Rangka Bagi Gerakan Tendangan Belakang (Tendangan Kuda Gila)

Bagi memastikan gerakan-gerakan kaki dapat dilaksanakan dengan baik, otot-otot yang terlibat perlu dikuatkan. Berikut adalah senaman-senaman bersifat latih tubi yang boleh menguatkan otot-otot di kaki :

a) Latihan Kekuda Rendah - Buka tapak selari dan lakukan posisi kekuda rendah sehingga bahagian peha mendatar dan boleh dipijak, Tahan dalam posisi kekuda rendah selama 20-30 saat. 

b) Ketuk Ketampi - Berdiri tegak dengan kaki sedikit terbuka (bukaan kaki perlu ikut keseimbangan badan), tangan kanan bersilang dengan tangan kiri dengan tangan kiri berada disebelah dalam, turun posisi seperti Squat dan naik semua. Semasa posisi menaik pastikan tapak kaki tidak jengkit. Dibuat dalam kiraan 15 ke 20 kali.

c) Melompat - Lompat ke hadapan sejauh yang mungkin dan duduk mencangkung sambil kedua tangan bersilang dilutut. Banguan dan lompat semula kebelakang (posisi asal), ulang sehingga 15 ke 20 kali.

d) Mendaki bukit - posisi seperti tekan tubi dengan sebelah kaki dibengkokkan ke dada dan sebelah kaki lagi lurus ke belakang. Tukar posisi kaki berulang-ulang dengan tangan tetap pada posisi asal. Lakukan dalam bilangan 16-20 kali.

e) Lunges (Melutut) - Mula pada posisi berdiri tegak, melangkah kaki kanan satu tapak kehadapan, kaki belakang (kiri) melutut, undur ke posisi asal, dan ulang untuk kaki kiri. Ulangi perbuatan 16 ke 20 kali.

Banyak lagi senaman bersifat latih tubi yang boleh digunakan untuk membina kekuatan dan daya tahan otot seperti Squat Jump, Step Up, Leg Press  dan lain-lain. 

Selain itu, dapat diperhatikan di dalam rajah-rajah di atas, Selain otot kaki, otot perut dan otot pinggang juga merupakan otot utama dalam pergerakan kaki. Otot perut dan otot pinggang merupakan otot pusat yang berperanan penting dalam aktiviti bercorak olahraga/fizikal. Maka selain otot kaki, otot perut dan pinggang juga perlu dikuatkan dalam usaha untuk mendapatkan Gerakan Tendangan yang mantap. Malah senaman-senaman yang disenaraikan di atas turut memberi kesan kepada otot perut dan otot pinggang.

Antara senaman lain yang khusus untuk membina kekuatan otot perut adalah Sit-Up, Plank, Leg Raises dan Crunch. 

Selain kekuatan otot, kelenturan juga merupakan elemen penting dalam melaksanakan Gerakan Serang Bela Kaki. Kelenturan bukan sahaja penting untuk memastikan tendangan dapat dibuat dengan baik tapi ia juga penting bagi mengelakkan risiko kecederaan kepada tisu penghubung.

Kelenturan didefinasikan sebagai keupayaan otot dan tisu-tisu penghubung untuk membenarkan pergerakan anggota pada julat pergerakan yang maksimum.  

Oleh yang demikian, perkara yang asas yang perlu ditekankan untuk latihan Gerakan Serang Bela Kaki adalah kekuatan dan kelenturan otot-otot, sebelum mengambilkira faktor faktor lain seperti kekuatan dan kepantasan gerakan. 

HPCS1, SAS.


Friday, 1 February 2019

ADAB DAN REDHA GURU



Adab dengan Guru bukanlah suatu perkara asing bagi penuntut ilmu. Malah bab adab dengan Guru ini amat dititikberatkan dalam Islam. Perkara ini tak perlu dibahaskan dengan panjang lebar kerana rata-rata pengamal ilmu persilatan ini amat sedar dengan kepentingan Adab dengan Guru. Cuma satu perkara yang berkait rapat dengan bab Adab dengan Guru yang selalu menjadi peringatan kepada diri saya sendiri iaitu Redha Guru.

Redha Guru
Dalam ilmu persilatan sebenarnya amat penting sekali mendapat Redha Guru. Pengamal silat yang mendapat Redha Guru ini akan lebih mudah mendapat faham akan pelajaran yang disampaikan oleh Gurunya. Malah, adakalanya murid tersebut akan mendapat pelajaran tambahan selain yang diajar di dalam gelanggang. Ini bukan kerana Guru tersebut pilih kasih, akan tetapi ilham yang datang semasa mengajar membuatkan penyampaian berbeza beza bergantung pada rezeki murid tersebut. Ada juga yang lebih bernasib baik dengan mendapat ilmu dari Guru di dalam mimpi.

Kita dapat perhatikan dikalangan kita juga yang bergelar murid. Adakala terdapat seorang murid yang biasa-biasa sahaja penampilannya dan tidak menonjol, tapi sering disebut-sebut oleh Guru. Ada juga dikalangan murid yang tidak dapat menghadirkan diri ke gelanggang dengan kerap disebabkan oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan namun tahap penguasannya sangat hebat dan mendapat perhatian Guru. Ini jelas menerangkan bahawa ada sesuatu yang menghubungkan murid tersebut dengan Guru.

Adab Bukan Sekadar di mulut

Walaubagaimanapun, seperti juga perkara lain, Adab ini bukan sekadar diperkatakan di mulut sahaja. Ia perlu diakui dengan hati dan dilakukan dengan tindakan. Jangan sampai kita alpa dan lalai, kononnya kita ini amat beradab dengan guru tapi sebaliknya sering mengguriskan perasaan Guru kita tanpa kita sedari atau membuat sesuatu yang menyebabkan Guru berkecil hati. Selalulah membawa cermin diri walau di mana kita berada. 

Antara akibat tidak mendapat Redha Guru seperti yang diceritakan oleh Guru saya adalah ilmu yang dipelajari akan lenyap sama sekali dari diri. NauzubiLLAH.


HPCS1, SAS.

Wednesday, 30 January 2019

TAPAK DAN KEKUDA

Pesanan Guru Ayahanda Cg. Amin Hamzah (Apit Jinjang Mahaguru Silat Seni Gayong)...

"Bila buka tapak, tapak kena elok, tak boleh goyang goyang.."

Pesanan Guru merupakan pedoman yang paling besar dalam mengamal ilmu yang diamanahkan. Seperti juga aliran silat yang lain, Silat Seni Gayong amat menitikberatkan tapak dan kekuda.

Apakah sama istilah tapak dan kekuda?

Tapak merujuk pada asas struktur badan.

Manakala kekuda merujuk kepada perbuatan merendahkan kedudukan badan.

Dalam perbincangan sebelum ini, saya telah memberi penerangan berkenaan dengan kedudukan kaki semasa bertapak. Kedudukan kaki merupakan elemen penting bagi kestabilan tapak.

Umpama kita membina rumah... Kedudukan  dan saiz tapak (footing) akan ditentukan oleh jurutera mengikut kesesuaian saiz rumah yang hendak dibina agar struktur binaan itu stabil. Begitu juga dengan kedudukan tapak kaki yang merupakan asas pada tapak pesilat.


Aplikasi latihan tapak dan kekuda membolehkan kuncian dilaksanakan dengan lebih efektif

Maka, setiap pesilat terutama yang baru mempelajari silat perlu selalu berlatih dan memperbaiki kestabilan tapak mengikut saiz badan kita agar tapak kita lebih bersedia untuk melaksanakan latihan yang lebih mencabar seperti latihan pukulan dan kuncian.

Bagi anak gelanggang saya, bersabarlah dalam mempelajari ilmu persilatan. Ini adalah kerana  proses pembelajaran silat merupakan satu proses yang panjang. Pelajaran peringkat asas selalunya mengambil masa yang agak lama berbanding dengan peringkat yang lain. Namun, insyaALLAH dengan kesungguhan, komitmen, konsistensi kita dalam latihan pastinya akan membuahkan hasil.

HPCS1, SAS.








Friday, 25 January 2019

LATIHAN GERAKAN MERUPAKAN LATIHAN BERSIFAT AEROBIK?

Latihan Gerakan adalah merupakan satu latihan fizikal yang dilaksanakan secara berterusan selama 20-30 minit untuk satu sesi latihan. Oleh itu, boleh dikatakan latihan gerakan merupakan suatu aktiviti latihan bersifat aerobik.

Apa yang dimaksudkan dengan latihan aerobik.? 

Latihan aerobik bermaksud aktiviti yang memerlukan oksigen untuk menghasilkan aktiviti (dalam konteks perbincangan ini aktiviti adalah latihan gerakan). Secara amnya latihan aerobik adalah merupakan suatu latihan atau aktiviti yang dilaksanakan secara berterusan sekurang-kurangnya selama 20 minit. Dalam jangkamasa tersebut, kadar degupan jantung akan meningkat sehingga kira-kira 125 denyutan perminit. Peningkatan kadar degupan jantung, akan memberi kesan kepada kadar pernafasan. Oleh itu dalam melaksanakan latihan berbentuk aerobik ini, pernafasan perlu dikawal agar teratur dan tidak tercungap-cungap. Kegagalan seseorang dalam mengawal pernafasan akan menyebabkan seseorang itu akan berasa sesak nafas dan pengsan seterusnya gagal meneruskan latihan dalam jangkamasa yang lama.

Semasa melakukan latihan berbentuk aerobik ini, bekalan oksigen perlu dipastikan mencukupi dan dapat digunakan semaksima yang boleh oleh otot - otot yang berkerja. Kekurangan bekalan oksigen ke otot otot yang sedang berkerja akan mengakibatkan otot otot tersebut cepat lesu dan tidak berupaya melaksanakan fungsinya dengan baik.  Salah satu perkara yang perlu ditelitikan agar perkara tersebut dapat dielakkan adalah dengan melaksanakan cara pernafasan dengan betul. Cara bernafas dengan betul akan dapat memastikan oksigen dapat disalurkan ke otot otot yang berkerja tanpa dibazirkan penggunaannya ke otot otot lain.

Bagaimanakah kaedah pernafasan yang betul?

Ada kajian dari pakar Sains Sukan mendapati, kebanyakkan individu tidak bernafas dengan kaedah yang efektif semasa melaksanakan aktiviti kecergasan. Terdapat dua kaedah pernafasan iaitu kaedah :
a) Pernafasan Dada
b) Pernafasan Perut.

Kaedah pernafasan dada adalah merupakan keadah pernafasan yang berlaku hasil tindakan otot interkostal dengan tulang rusuk sehingga ia menjadi suatu mekanisma bagi mengempam oksigen ke otot otot yang memerlukan. Selain dari otot interkostal, otot pektoralis juga terpaksa bekerja secara tidak langsung. Dapat dilihat, apabila kita melaksanakan pernafasan kaedah ini dada akan mengembang sedikit ketika menarik nafas. Proses pengembangan dan penguncupan otot ini  juga perlu menggunakan oksigen.


Mekanisma Pernafasan Dada


Dalam keadaan rehat / biasa iaitu tidak melaksanakan aktiviti kecergasan, kaedah pernafasan dada digunakan kerana oksigen tidak perlu disalurkan secara maksima ke otot otot yang bekerja.
Otot Pektoralis (otot dada)


Untuk latihan kecergasan seperti latihan Asas Pergerakan, kaedah Pernafasan Perut dikatakan lebih efektif. Kaedah Pernafasan Perut berlaku hasil tindakan otot diafragma dengan tulang rusuk. Kaedah ini dikatakan berupaya untuk menyalurkan oksigen kepada otot - otot yang bekerja melaksanakan gerakan. Kaedah ini memang agak sukar diaplikasikan namun inilah kaedah yang kita gunakan semasa lahir ke dunia ini. Kaedah ini juga telah diakui berkesan oleh pelari jarak jauh sebagai kaedah yang sesuai untuk latihan aerobik.

Mekanisma Pernafasan Perut

Mekanisma dan kaedah pernafasan ini, amat penting difahami oleh pesilat, kerna bukan sahaja ia merupakan suatu elemen yang diperinci dan dilatih semasa latihan gerakan, malah ia penting bagi latihan pertarungan (sparring / tapak hidup) yang bersifat anaerobik.


Tuesday, 22 January 2019

WANITA DAN ILMU MEMPERTAHANKAN DIRI

Pengalaman mempelajari silat selama lebih 20 tahun menyaksikan kaum wanita amat sedikit berminat untuk mempelajari Ilmu Bela Diri khasnya SILAT. Fenomena ini bukan sahaja terjadi di gelanggang silat malah turut berlaku di gelanggang-gelanggang seni bela diri yang lain seperti, Taekwando dan Wusyu. Namun begitu penglibatan kaum Wanita dalam mempelajari SILAT dewasa ini dilihat lebih kritikal.

Tidak dinafikan Wanita Melayu terkenal dengan Adat, Adab dan Kesopanan yang tinggi. Akan tetapi kita juga tidak boleh menafikan kewujudan tokoh-tokoh wanita dalam ilmu persilatan seperti Che Siti Wan Kembang, Tun Fatimah dan juga nama nama lain yang Gah dalam Lagenda dan Sejarah Alam Melayu.


Malah sejak zaman RasuluLLAH S.A.W juga telah ada nama-nama hebat bagi kaum Wanita yang diriwayatkan pernah bertempur di medan perang seperti nama Srikandi Nusaibah yang dikhabarkan antara Wanita yang sangat berani melindungi keselamatan Baginda S.A.W di Medan Tempur yang sangat sengit. Beliau terlibat dalam beberapa siri perang seperti Perang Uhud, Perang Khaibar, Perang Hunain dan Perang Yamamah.

Maka dapat diringkaskan disini, penglibatan kaum wanita dalam ilmu mempertahankan diri bukan sesuatu yang baru atau perkara yang ganjil malah suatu ketika dulu ilmu persilatan ini dikatakan wajib dipelajari oleh lelaki dan wanita Melayu.


Dewasa ini dilihat kebanyakkan gelanggang SILAT dimonopoli oleh kaum lelaki. Benarkah SILAT hanya sesuai untuk lelaki sahaja?

Kaum lelaki sememangnya dikurniakan oleh ALLAH S.W.T. dengan fizikal yg sedia kuat dan gagah berbanding kaum wanita. Justeru dengan ditambahkan lagi dengan mempelajari ilmu persilatan akan memantapkan lagi kekuatan fizikal. Jadi, apa perihalnya dengan kaum wanita yg dikurniakan ALLAH S.W.T dengan sifat yang lemah lembut. Adakah kaum wanita tidak sesuai mempelajari ilmu persilatan?


PADA PENDAPAT SAYA, kaum wanitalah yang amat perlu mempelajari ilmu persilatan. Selain mempelajari cara untuk pertahanan diri, secara tak langsung boleh mempertingkatkan daya tahan fizikal kaum wanita. Wanita tak perlu berbadan sasa, berotot seperti lelaki cukup hanya tahan lasak. Saya difahamkan oleh GURU-GURU, SILAT ini permainannya berSENI, maka dengan seninya dan teknik yang betul dapat melemahkan musuh setidaknya memberi ruang untuk menyelamatkan diri.

Sasaran Serangan Ulu Hati


Serangan Tusuk Rajawali

Sebenarnya, kaum wanita mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menguasai keilmuan persilatan ini. Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, terdapat pelajaran khas bagi kaum wanita diperingkat asas. Pelajaran asas ini memberi kemudahan kepada kaum Wanita kerana teknik yang diajar menerapkan unsur seni dan penjimatan tenaga selain serangan tertumpu kepada sasaran lemah/maut.


Memang terdapat kekangan bagi kaum wanita untuk mempelajari ilmu persilatan yang majoriti dikuasai oleh kaum lelaki. Namun begitu itu bukan alasan untuk patah semangat atau menidakkan keperluan mempelajari ilmu persilatan.


















Monday, 21 January 2019

PERANAN KEKUDA RENDAH DALAM LATIHAN ASAS GERAKAN

Post sebelum ni, saya telah nyatakan bahawa, latihan Asas Gerakan merupakan satu latihan yang amat penting bagi pembentukkan fizikal pesilat. Dimanakah letaknya yang dikatakan latihan pemantapan fizikal semasa melaksanakan latihan pergerakan?


Semasa kita membuat latihan pergerakan, amat penting bagi seorang pesilat duduk dalam keadaan 'kuda rendah'. Kedudukan kuda rendah bukan sahaja dapat membentuk kestabilan tubuh tetapi ia juga merupakan latihan untuk menguatkan Daya Tahan kumpulan otot Quadriceps yang berperanan bagi pergerakan lonjakan kaki.


Kumpulan Otot Quadriceps

Kenapa Kekuatan Otot dan Daya Tahan Otot penting bagi pesilat?

Daya Tahan Otot adalah merupakan salah satu komponen kecergasan fizikal yang merujuk kepada keupayaan otot atau kumpulan otot untuk menguncup berulang kali dalam jangka masa yang panjang tanpa cepat berasa lesu. Individu yang mempunyai daya tahan otot yang tinggi mampu menggunakan otot-ototnya lebih lama atau berulang-ulang. 

Kekuatan Otot pula ditafsirkan sebagai keupayaan bagi otot untuk melaksanakan sesuatu pergerakan dengan kekuatan yg maksimum.

KEDUA-DUA ELEMEN INI PENTING BAGI PESILAT KERANA :
  • Pesilat dapat melaksanakan pergerakan dalam jangkamasa yg panjang tanpa cepat merasa lesu. Maka ia penting bagi pesilat semasa pertarungan agar tidak merasa cepat letih.
  • Dapat mengurangkan risiko kecederaan, maka ia penting bagi pesilat utk memastikan pesilat tidak mengalami kecederaan yg maksima dalam pertarungan.
Maka, setiap pesilat perlu sentiasa memastikan latihan Asas Pergerakan dilaksanakan dalam keadaan kekuda rendah.

HPCS 1, SAS.