Wednesday, 29 January 2020

PUKULAN MAUT

Bagi pengamal silat, titik lemah atau titik serangan bukan lagi asing bagi mereka. Bagi mereka, "RUGI" jika tidak mengenakan pukulan pada tempat yang sepatutnya dalam berpencak. 

Pukulan Maut Fokus pada Titik/Sasaran yang boleh melumpuhkan kondisi pihak lawan

AlhamduliLLAH saya berpeluang untuk mendapat penerangan berkenaan dengan titik titik ini dari beberapa Guru dalam Silat. Dalam keilmuan Seni Gayung Fatani, permainan pulut jika diamati sebenarnya ada menerapkan seni pukulan maut ini, namun permainan lembut yang ditunjukkan menutupi sifat pukulan maut dan ia amat jarang ditunjukkan secara terangan dan hanya menggunakan kaedah simbolik seperti ruangan terbuka, kedudukan tangan dan lain lain.

Hanya jika ia berada dalam pertempuran sebenar maka sifat pukulan ini sama dengan sifat pukulan silat-silat lain. Maka benarlah yang dikatakan gerakan dan bunga dalam permainan Seni Gayung Fatani mempunyai sifat dan makna tertentu. 

Bagi keilmuan Silat Seni Gayong, pukulan maut ini merupakan pelajaran yang diperkenalkan setelah pesilat mahir elakan, pukulan dan kuncian. Walaubagaimanapun, seperti fitrah ilmu, akan kembali kepada asas. Pelajaran pukulan maut ini sebenarnya asasnya ada pada elakkan, pukulan dan kuncian.

Cuma dalam pelajaran pukulan maut diperincikan lagi sifat elakan, bagaimana kaedahnya, mana tempat yang perlu ditepis, bila dan bagaimana sifat tapaknya. Pukulan pula, diterangkan pula, bila perlu pukul, apa serangan dan mana sasarannya, kenapa sasaran di situ, apa kesannya, bagaimana tapaknya. Kuncian pula, ditekankan dimana kaedah mematahnya, bagaimana caranya dan sebagainya. 

Namun begitu, dalam latihan ada hadnya, Guru akan melihat kecekapan pesilat dan memberi amaran tentang bahaya dan akibatnya perbuatan. Seperti pesan Guru saya, "Jangan Sekali-kali Mengkhianati Anak Murid" bermaksud Guru perlu pandai sukat bahaya dan akibat perlakuan serangan.  

Dalam entry seterusnya, saya akan kongsikan maklumat berkenaan dengan titik-titik lemah/serangan.

InsyaALLAH

LBS



Thursday, 23 January 2020

SILIBUS KHAS WANITA

Dalam silibus peringkat rendah Silat Seni Gayong,  terdapat silibus Lelaki dan Wanita.
Gelanggang Puan Kalsom Naning

Seperti dalam aliran silat lain kedudukan wanita sebenarnya terlalu istimewa begitu juga dengan aliran Silat Seni Gayong.  Dimana di dalam pelajaran Silat Seni Gayong terdapat pelajaran kursus bagi Wanita diperingkat rendah dan tinggi.

Wanita yang pada fitrahnya mempunyai gerak geri yang lembut memudahkan baginya untuk melakukan perbuatan berseni. Perlu diingati..  " tidak semua yang lembut itu longlai,  tidak semua yang keras itu teguh.. "

Keadaan fitrah bagi wanita ini membolehkannya mampu untuk menguasai pelajaran-pelajaran peringkat tinggi yg mana pelajaran peringkat tinggi ini lebih menjurus pada seni perbuatan.  Malah antara senjata tertinggi dalam keilmuan Silat Seni Gayong adalah Senjata Khas bagi Wanita iaitu,  Cindai dan Kerambit. Namun begitu bukan mudah mengusai pelajar itu sekiranya tiada latihan yang konsisten. Umpama cindai,  benar sifat lembut longlai,  namun dengan latihan yang konsisten mampu menjadikan kain yg longlai keras seperti kayu.

Intipatinya disini latih tubi dan berlatih secara konsisten.

LBS.








Sunday, 12 January 2020

STAMINA DAN KETAHANAN KARDIOVASKULAR BAGI PESILAT

Mengapa stamina dan ketahanan kardiovaskular penting bagi pesilat? 

IA SANGAT PENTING. Pergerakan silat iaitu serangan dan belaan bukanlah merupakan pergerakan yang bersifat aerobik.  

Latihan Gerakan di Gelanggang Puan Kalsom Naning

Digelanggang-gelanggang silat, pesilat akan diberi bimbingan cara utk meningkatkan stamina dan ketahanan kerana hal ini merupakan unsur yg penting dalam latihan silat. Terdapat pelbagai manfaat bagi individu yang selalu melazimkan diri untuk mengikuti latihan Silat.

Selain dari dapat membentuk struktur badan yang lebih baik, ia juga dapat memberi kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. Latihan silat secara langsung memberikan manfaat kepada tahap stamina dan ketahanan diri dan mental.

Stamina bermaksud daya tahan tubuh badan dan mental utk melakukan sesuatu aktiviti dengan lebih lama.

Stamina berkait rapat dengan ketahanan (endurance). Apa pula maksud ketahanan?

Ketahanan bermaksud keupayaan mengekalkan aktiviti yg diperlukan utk sesuatu tahap yang diperlukan terutama semasa di arena pencak. Ia termasuklah ketahanan kardiovaslukar dan otot yg diperlukan bagi melaksanakan pergerakan serangan dan belaan. 

Apa itu ketahanan kardiovaskular?

Ketahanan kardiovaskular adalah merupakan tahap kecergasan jantung utk melaksanakan tugas dalam sistem peredaran darah dan sistem pernafasan dalam membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan dalam jangkamasa yg panjang.

Apa kaitan stamina dan ketahanan kardiovaskular dengan latihan silat yang konsisten? 

Senaman dan latihan yang tetap akan meningkatkan kecekapan sistem peredaran dengan membesarkan otot jantung. Hal ini membolehkan lebih banyak darah dipam pada setiap degupan dan meningkatkan jumlah arteri kecil dalam otot rangka yang terlatih. Maka ia dapat membekalkan lebih banyak kapasiti darah ke otot-otot yang sedang bekerja.

Selain itu, tahap kecergasan meningkat apabila keupayaan daya tahan kardiovaslukar melebihi tahap purata kapasiti aerobik, iaitu kapasiti penggunaan oksigen yang maksimum oleh badan semasa melakukan aktiviti fizikal.

Pergerakan silat yang diulang ulang adalah merupakan latihan bercorak Aerobik. Latihan pergerakan yang dilatih dalam jangka masa yang lama iaitu 15-20 minit berfungsi melatih diri pesilat untuk meningkatkan kecekapan sistem peredaran darah seterusnya meningkatkan keupayaan otot-otot. Apabila pesilat telah mula beradaptasi dengan kaedah latihan gerakan, seterusnya pesilat akan dilatih untuk elakkan, buah kunci, buah kombat dan tapak hidup. Apakah corak latihan bagi bagi elakkan, buah kuncian, buah kombat dan tapak hidup?

Latihan Pencak di GPKN

Latihan ini sebenarnya lebih bercorak Anaerobik. Latihan anaerobik adalah suatu latihan yang meningkatkan keupayaan otot untuk bekerja tanpa bekalan oksigen. Ia melatih agar tubuh dapat bekerja dengan baik walaupun kandungan asid laktik dalam darah tinggi. Kandungan asik laktik yang tinggi di dalam darah menyebabkan kelesuan pada otot dan membuatkan pesilat tidak berdaya untuk terus berpencak. Latihan pencak ini perlu dilakukan dengan konsisten kerana ia boleh meningkatkan keupayaan otot untuk menghasilkan semula ATP dengan cepat semasa kondisi menunggu / sedia.

Selain itu, latihan pencak akan membantu pesilat meningkatkan tahap kecergasan yang mana tahap kecergasan berkaitan rapat dengan kepantasan, kekuatan, kudrat, ketangkasan dan masa untuk tindak balas serangan / belaan.

SGS, HPCS 1