Tuesday, 7 December 2021

PENGENALAN SENI PISAU

Dalam keilmuan Gayong, permainan senjata yang terawal diperkenalkan adalah permainan Seni Pisau. Pelajaran Seni Pisau akan mula dipelajari oleh pesilat yang telah tamat pelajaran peringkat Awan Putih iaitu terangkum dalam pelajaran Pelangi Hijau dan akan diuji dalam ujian Pelangi Merah. Mengapa Seni Pisau dan bukan Seni Tongkat yang dipelajari dahulu? 


Pisau.. senjata ringkas dan mudah didapati sekeliling kita.


Susunan pelajaran atau silibus sudah tentunya disusun oleh Guru-Guru yang berpengalaman mengajar. Tingkatan keupayaan pesilat untuk menguasai sesuatu pelajaran diambil kira. Perkembangan tubuh badan pesilat dan otot-otot turut diambil kira dalam susunan pelajaran. 

Selepas tubuh badan pesilat beradaptasi dengan gerakan silat tangan kosong iaitu telah matang dari segi tapaknya, gerak tubuhnya mantap dan langkahnya tidak sumbang serta tidak teragak agak maka ini meyakinkan Guru untuk memulakan atau memperkenalkan permainan senjata. Selalunya dalam kaedah pembelajaran ketika ini, (2-3 jam seminggu) jangkamasa pesilat untuk mahir tangan kosong adalah sekurang-kurangnya 3 tahun atau 2 tahun jika konsisten berlatih. 

Berbalik pada persoalan asal, mengapa pisau? 

Keadaaan fizikal pisau yang ringkas memudahkan ia dikemudikan oleh pesilat. Pembentukkan otot yang telah ada ditambahkan lagi dengan sedikit beban, sudah tentu tidak banyak bezanya dengan permainan tangan kosong, cuma kelebihan di sini ia berbilah dan tiada saraf sakit yang bersambung dengan otak kita. Sudah tentu itu memberikan kelebihan pada kita bila berhadapan dengan lawan yang tiada senjata. 

Seperti kaedah pelajaran tangan kosong, kaedah pelajaran seni senjata juga disusun dengan aliran tingkatan perkembangan yang sama. Pesilat akan diajar dengan gerakan pisau di mana di dalam gerakan tersebut dimasukan kaedah kemudi senjata, serangan dan belaan seperti tikaman anak sungai, pasak jantan, radak sula, simbat relang, simbat keli, radak benih dan hiris. Kemahiran mengemudi senjata dengan variasi serang/bela tersebut perlu dikuasai sebelum masuk ke fasa latihan berpasangan. 

Disebabkan sifat senjata itu pendek, maka format permainan dia agak pantas dengan kaedah segerak. Elakannya disertai dengan tangkapan. Sekiranya tidak disertai dengan tangkapan, elakan/tepisan  dibuat dengan jarak jauh iaitu menggunakan kaedah sepakan. Mengapa? kerana kekuatan momentum kaki lebih tinggi dari tangan maka tepisan dengan kaki akan melemahkan tangan yang menyerang atau boleh menyebabkan senjata jatuh dari genggaman. 

Selepas mahir dengan elakan dan tangkapan, seterusnya pesilat akan dilatih dengan seni kuncian pisau. Dalam permainan senjata, fokus utama adalah mematikan serangan senjata. Samaada melemahkan pengemudi senjata atau melepaskan senjata dari pegangan pengemudi. Semasa menaip blog ini, saya terbayang bagaimana air mata hati yang keras ini hampir mengalir kerana kesakitan yang tidak dapat dizahirkan dengan jeritan. Senjata tidak diendahkan lagi kerana penahan kesakitan. (ALLAH... masa itu terbayang siksaan pada kaum wanita dibumi Palestin atau pun wanita yang dikasari.) Namun bayangan itu kini dengan senyuman kerana dapat merasa jerih pahit bersilat. Menahan kesakitan juga merupakan suatu elemen yang dilatih dalam ilmu persilatan.

Begitulah aliran susunan silibus. Ia dibuat secara berperingkat dan sistematik. Maka, jangan sesekali skip pelajaran. Jika tidak sebatian tiada dalam tubuh dan diri. 

Secara ringkas susunan pelajaran Seni Pisau dalam keilmuan Gayong : 

a) Gerakan / Senaman

b) Elakan

c) Kuncian 

d) Kombat

e) Tapak Hidup

Mungkin ada yang terlintas di fikiran, mengapa terlalu banyak pelajaran yang perlu diingati? Moga dapat jawap sendiri soalan ini dengan soalan berapa banyak masa untuk kita betul mahir dengan permainan seni pisau? Bagaimana nak mahir jika tiada latihan yang di susun melalui siri pelajaran dalam susunan silibus. 

Guru ada berpesan, jadikan senjata seperti anggota tanganmu sendiri. 


LBN


Rujukan :
1) PSM Azizan Ibrahim.
2) PSM Amir Fadhli Razali.



Sunday, 5 December 2021

YANG ASAL, TETAP ASAL

Sebagai pesilat kita perlu memahami setiap ilmu yang kita pelajari bukan sekadar mengajuk perbuatan dari orang lain kita rasakan Gah. Setiap ilmu ada displin nya. Displin kita sebagai murid jangan sesekali menokok tambah suatu perbuatan dan menyatakan ia merupakan sesuatu yg dipelajari dari Gurunya. Lain kiranya kita menyatakan ia adalah variasi atau pecahan dari apa yang dipelajari. Yang asal tetap asal. 

Berguru.. bermaksud kita bersandar pada Guru kita.. 



Perkara ini jika tidak diambil berat ia akan memberi kesan pada keaslian ilmu dan seterusnya jika tidak dikawal akan mengakibatkan timbul sesuatu perbuatan yang tidak bermakna dan jauh menyimpang dari yang asal.

Pernah suatu ketika dulu, ada dua kumpulan yang berbalah tentang keaslian ilmu mereka. Pada ketika itu, tidaklah terfikir akan akibat dan kesan perbalahan itu. Malah pada ketika itu dirasakan perkara tersebut tidak sepatutnya dibalahkan kerana manusia kejadiannya berbeza dan variasi boleh wujud. 

Namun sekarang bila melihat kehancuran keaslian ilmu.. sehingga  tidak dapat mengenalpasti identitinya barulah diri ini sedar betapa pentingnya golongan yang menjaga keaslian ilmu. 

Mengapa ini terjadi ? Perkara berikut mungkin antara penyebabnya.

a) perbuatan suka mengubahsuai mengikut kesesuaian dan kekurangan diri;

b) perbuatan yang suka mencampur adukkan ilmu dengan alasan untuk mencantikkan lagi atau untuk dilihat lebih Gah sehingga hilang maksud sebenar;

c) semasa menjadi murid tidak bersungguh memahami ilmu dan apabila bergelar guru tidak menyampaikan perkara yang sebenar kepada muridnya dan akhirnya kejadian seperti ini berterusan sehingga menyebabkan hilang terus maksud sebenar ilmu;

d) kegagalan untuk mengingati sesuatu ilmu kerana ilmu yg diperolehi tidak diamalkan dan lama kelamaan ia hilang sebahagian atau hilang seluruhnya;

e) kegagalan utk merekodkan atau mencatat ilmu yang dipelajari.

Oleh yang demikian, perlu ditekankan disini, jika anda sebagai murid, pelajarilah ilmu dengan sepenuh hati. Sebagai Guru, turunkan lah ilmu mengikut pelajaran yang diambil dari Guru kerana ilmu itu bersanad ia bukan rekaan. 

Seperti pesanan seorang Guru 'Ilmu ini amanah, jika tidak tahu, jangan malu menyatakan tidak tahu'

LBS