Pelajaran asas kedua yang diajar di dalam gelanggang beladiri khasnya Silat Seni Gayong adalah Elakan.
Anak GPKN berlatih asas elakan. |
Setelah pesilat mahir dalam bertapak dan kaedah serangan termasuk elemen lain di dalam kaedah serangan seperti berkisar tapak dan kestabilan tapak, pesilat akan diajar kaedah belaan asas iaitu elakan. Sebenarnya jika diperhatikan, pelajaran elakan telah pun diterapkan di dalam pelajaran kaedah gerakan asas iaitu tumbuk pintal tali dan pancung dayung.
Elemen elakan ini dapat dilihat di dalam perbuatan berkisar tapak sambil menukarkan haluan serangan. Namun ia tidaklah ditekankan semasa pelajaran gerakan asas kerana pendekatan asas yang ingin ditanamkan di dalam diri pesilat adalah PENGUASAAN dan KESTABILAN TAPAK.
Mengapa ianya penting dan ditanamkan diawal latihan?
Sekiranya ianya tidak dikuasai dan dimahirkan maka ia akan mengalami sedikit kesukaran dalam aplikasi pelajaran elakan.
Prinsip asas yang perlu ada dalam melakukan elakan adalah :
- menyalahkan serangan pihak lawan
- menggugat kestabilan rumah/tapak/kedudukan pihak lawan
- membuka ruang untuk serangan susulan
Tiga prinsip di atas perlu difahami dan dipraktikkan dalam perbuatan elakan untuk memastikan elakan yang dibuat 'clean' atau selamat/efektif.
Kaedah elakan yang betul dengan memahami prinsip dalam elakan |
Kalau dilihat kembali penegasan saya di atas tentang kaitan pelajaran 1 iaitu asas gerakan dan asas elakan, kesinambungan pelajaran itu boleh dilihat pada prinsip elakan yang pertama iaitu 'menyalahkan serangan lawan'.
Apakah perincian tersebut? Ya, berkisar tapak atau secara am di sebut sebagai kelek/menyamping/mengelak.
Maka, perlu diingatkan bagi pesilat yang baru menceburi seni bela diri khasnya silat. Tiada jalan singkat untuk mahir, melainkan menguatkan perkara yang asas.
Prinsip yang kedua, menggugat kestabilan tapak/rumah/kedudukan pihak lawan. Prinsip ini, mencukupkan lagi sifat elakan iaitu 'selamat'. Kita bukan sahaja mengelakan / menyalahkan serangan, kita juga memastikan pihak lawan mengambil masa untuk membuat tindakan susulan dan ini merupakan faktor 'selamat' dalam elakan. Pihak lawan yang mana kedudukan/kestabilan tapaknya telah digugat secara alaminya akan membetulkan dulu kedudukan sebelum melancarkan serangan susulan. Bagaimana kaedah/praktik nya dalam elakan asas (7 asas elakan pertama) tersebut? Perkara ini telah saya terangkan dalam kelas GPKN secara online untuk sesi ke-2.
Manakala prinsip yang ketiga adalah membuat ruang serangan untuk tindakan susulan. Bila lengkap ketiga-tiga prinsip di atas, maka elakan yang dilakukan sempurna. Maka, pesilat sudah sedia untuk tingkatan pelajaran seterusnya iaitu itu Elak Pukul.
Perkara di atas memang sukar difahami oleh pesilat sekiranya pesilat tidak dapat hadir ke gelanggang. Namun begitu, keadaan yang ditakdirkan ALLAH S.W.T bukanlah sesuatu yang harus dijadikan sebab atau alasan untuk kita tidak terus berlatih. Pastinya ada kebaikkan di atas setiap sesuatu yang ditakdirkan.
Suasana latihan di GPKN sebelum zaman pendemik Covid 19 |
Jika di dalam gelanggang dahulu saya tidak dapat menerangkan secara terperinci untuk sesuatu pelajaran lantaran perlu memeriksa dan membetulkan setiap perbuatan bagi setiap pesilat dalam masa yang singkat. Maka, dengan peluang ini saya dapat memberi perincian yang perlu kepada semua pesilat GPKN.
Persaudaran GPKN tetap diteruskan secara atas talian. |
Maka saya menyeru, pesilat GPKN agar jangan lepas peluang yang diberikan ALLAH S.W.T kepada kita semua. InsyaALLAH.
LBS