Sunday, 15 September 2019

KURSUS KEJURULATIHAN 6-7 SEPT. 2019

Tahniah kepada pihak Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia cawangan Perak Darul Ridzuan kerana berjaya menganjurkan Kursus Kejurulatihan yang berlangsung pada 6-7 September 2019.
PSM Amir mendapat mandat untuk melaksanakan Kursus Kejurulatihan dari Ayahanda Cikgu Amin Hamzah


Para Peserta yang mengikuti Kursus Kejurulatihan

Kursus Kejurulatihan ini dipimpin oleh Panglima Singa Malaya Amir Fadhli Razali atas perkenan dan arahan dari Ayahanda Cikgu Amin Hamzah. Kursus  ini dilaksanakan selama 1 hari 1 malam. Walaupun dilaksanakan dalam jangkamasa yang sangat terhad, ia  banyak memberi manfaat kepada para Jurulatih dalam memahami dan memperhalusi setiap perbuatan supaya lebih efektif.

Matlamat utama kursus ini adalah memberi perincian  dan kefahaman kepada jurulatih berkenaan dengan susunan pelajaran Peringkat Asas dan pengenalan kepada Senjata Asas iaitu pisau.

Susunan Pelajaran Peringkat Asas merangkumi
a) Asas Senaman
b) Asas Pergerakan 
c) Asas Elakkan dan Elak pukul
d) Asas Kuncian 
e) Asas Pukulan Maut
f) Asas Tapak hidup

Majlis Dimulakan dengan Bacaan Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Selawat dan Doa agar majlis berjalan lancar dijauhkan dari segala kecederaan.

Sekitar  Kursus Kejurulatihan - Asas Senaman

Sekitar Kursus Kejurulatihan - PSM Amir sedang membuat penerangan Asas Kuncian

Dalam Pelajaran AsasPergerakan, Jurulatih diberi kefahaman tentang struktur kekuda dan tubuh badan yang betul bagi mengelakkan atau mengurangkan risiko kecederaan sekiranya diserang oleh pihak lawan. 

Manakala dalam Pelajaran Asas Elakan dan Elak Pukul, Jurulatih ditekankan tentang cara mengelak yang lebih berkesan dengan menggugat kestabilan kedudukan lawan dan sasaran pukulan bagi melemahkan atau menghilangkan fokus lawan supaya tindakan susulan seperti kuncian dapat dilakukan dengan lebih mudah.

Falsafah dalam Elakan:
a) Memandang lawan
b) Elak atau menyalahkan serangan
c) Berkisar tapak / badan menghadap lawan

Perkara yang amat menarik dalam kursus kali ini yang mana ia memberi impak besar dan membuka minda para Jurulatih adalah apabila pelajaran Asas Kuncian diperhaluskan dan diperincikan.  

Antara falsafah kuncian yang ditekankan adalah :  
a) Memahami nama asas kuncian
b) Menghilangkan fokus lawan
c) Menghilangkan stabiliti pihak lawan dengan cara menarik lawan atau mengubah titik graviti lawan
d) Tiada jatuhan sempurna
e) Pengunci adalah bebas memastikan ia berada dalam kedudukan selesa.

Secara keseluruhan, kursus ini amat memberi manfaat kepada pihak Jurulatih. Dan diharap kursus seumpamanya dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.

Para Jurulatih amat disarankan agar dapat mengikuti kursus-kursus pemantapan silibus agar lebih bersedia untuk menyampaikan pelajaran di gelanggang masing masing.

Selain itu, pihak penganjur bersama dengan PSM Amir Fadhli Razali perkenan untuk membekalkan nota kursus bagi rujukan para Jurulatih di gelanggang.

SYABAS DAN TAHNIAH !!! kepada semua yang terlibat.

AlhamduliLLAH..

SGS, HPCS III


Friday, 19 July 2019

MANTERA MANDI SILAT SENI GAYONG

Sebagai mana yang telah saya maklumkan dalam post sebelum ini,  antara lain falsafah Majlis Adat Perlimau Sintuk ini adalah untuk menyucikan Pesilat dari segi fizikal dan batiniyyah. Ia termasuklah membetulkan semula AKIDAH pesilat.

Majlis Adat Perlimau Tapak Gelanggang Puan Kalsom Naning disempurnakan oleh Ayahanda Cg Amin Hamzah. 

Selepas upacara ikrar dan potong limau, kebiasaannya Guru akan memaklumkan cara mandian beserta dengan Mantera Mandi. Mantera Mandi akan dibaca oleh Guru dan diikut ulang oleh Pesilat yang telah menjalani Majlis Adat Perlimau Tapak.

ALLAHumma kata Suci,
Suci Badanku dalam Cahaya Nur Muhammad,
Xxxx xxxxx xxxxxxx xxxx,
Rahim Rahim Punca Nur ALLAH,
Xxx xxxxxx xxxxxxx,
Pulang Asalku ke RahmatuLLAH,
Tidak ku rasa dan tidak ku lihat,
Itu lah zat ALLAH.

Jika difahami bait bait Mantera itu,  jelas menceritakan asal usul kejadian manusia. Kejadian asal manusia yang Suci dari dosa. Maka simboliknya Majlis Adat Perlimau Tapak ini, membetulkan semula akidah murid dan membuang segala sifat sifat buruk dalam diri murid dengan berkat doa dari Guru. Ia seperti mengembalikan  kepada fitrah kejadian manusia yang bersih dan suci dari dosa.

Berikut ada penerangan serba sedikit berkenaan dengan makna tersirat dari bacaan lafaz Mantera Mandi Silat Seni Gayong.

Baris pertama - Rahsia Kun Fayakun (ALLAH berkehendak untuk menjadikan sesuatu kejadian - penciptaan makhluk)

Baris kedua - Hakikat Nur Muhammad. Nur Muhammad - merupakan bapa sekalian Ruh dan Alam Batin; Jamal, Kamal, Jalal, Qhohar dan segalanya makhluk batin. Nur Muhammad adalah makhluk awal yang diciptakan sebelum makhluk yang lain.

Baris ketiga - Lembaga Adam adalah bapa sekalian Tubuh / Alam Zahir. (Abul Basyar); Tanah, Api, Air, Angin & segala kejadian makhluk zahir yg terjadi darinya.

Baris keempat - Rahim (Rohim) pada Hawa adalah tempat Allah tajalli/nyatakan sifat kasih sayang ditiupkan ruh pada Urat, Tulang, Darah, Daging jadi kehidupan.

Baris kelima - merujuk kpd tajalli sifat Allah pada makhluk pertama yang memuji-NYA iaitu NurMuhammad yg disiapkan pada makhluk pertama itu 7 sifat Ma'ani ;
Qudrat - Kuasa/Tenaga
Irodat - Kehendak/Cita-2
Ilmu - Tahu/Faham
Hayat - Hidup/Nafas
Sama' - Mendengar
Basor - Melihat
Kalam- Berkata-2

Baris keenam - Rahsia Zauq)/ Fana - seruan diri sendiri agar sedar diri kembali kpd Kasih-Sayang Allah, kembali kepada Fitrah Suci bila saat bertemu Allah (pengampunan redha Allah bila masa bertemu Allah).

Baris ketujuh dan kelapan - Sementara Dzat Allah memanglah bukan sesuatu yg boleh dirasa, didengar, dilihat oleh pancaindera makhluk..... Selagi andai boleh maka itu bukanlah Dzat Allah. Bait bait terakhir ini lebih kepada mengenal dan mengESAkan ALLAH.

Penerangan di atas hanya lah bersifat umum dan tidak terperinci.

WAllahu a'lam.

SGS, HPCS 1

rujukan :
- PSM Azizan Ibrahim
- PSM Amir Fadhli Razali
- Ustaz Adnan Che Abu



Saturday, 6 July 2019

BAHAN KEPERLUAN MAJLIS ADAT MANDI PERLIMAU SINTUK

Majlis Adat Perlimau Sintuk merupakan majlis yang perlu diikuti oleh setiap murid untuk bergelar anak Gayong.

Majlis Adat Mandi Perlimau Sintuk Seni

Terdapat beberapa bahan yang perlu disediakan untuk menyempurnakan majlis tersebut. Setiap bahan mempunyai peranan dan simboliknya.

Majlis Adat Mandi Perlimau Sintuk terbahagi kepada dua iaitu :
a) Majlis Adat Mandi Perlimau Sintuk
b) Majlis Adat Mandi Perlimau Sintuk Seni

Jika Majlis Adat Mandi Perlimau Sintuk perlu dijalanikan oleh setiap murid utk bergelar anak Gayong, Majlis Adat Mandi Perlimau Sintuk Seni pula dijalani oleh murid yang akan mula untuk mempelajari Seni Senjata. Walaubagaimanapun, bagi pesilat wanita kebiasaannya akan terus jalani Majlis Adat Mandi Perlimau Sintuk Seni.

Senarai bahan keperluan Majlis Adat Mandi Perlimau Sintuk:
a) Limau Nipis
b) Akar Sintuk
c) Asam Jawa
d) Garam
e) Pisang Emas
f) Bertih Beras
g) Beras Kunyit @ Sekapur Sirih.
h) Kemenyan
i) Lilin
j) Al-Quran
k) Air Gayong
l) Mahar RM 11.50

Senarai bahan keperluan Majlis Adat Mandi Perlimau Sintuk Seni
a) Semua bahan keperluan Majlis Adat Perlimau Sintuk.
b) Bunga 7 warna
c) Benang 7 warna
d) Jarum 21
e) Mahar RM 21.50

Setiap bahan-bahan tersebut mempunyai peranan dan simboliknya.

1) Limau Nipis
- Merupakan sumber sifat asid untuk penyucian anggota badan. Limau yg telah di potong oleh guru akan dibawa balik oleh murid dan campurkan dengan air untuk dijadikan mandian. Selain dapat membuang kotoran dibadan ia juga boleh memberi kesegaran pada badan dengan aromanya yang menyegarkan. Secara simbolik, Guru menyucikan lahiriah dan batiniah murid agar dapat menerima pelajaran dengan mudah.

2) Akar Sintuk
- Merupakan sumber sifat alkali bagi meneutralkan sifat asid limau nipis. Selain itu ia juga merupakan alat utk membersihkan badan dan mengeluarkan daki daki yang melekat pada anggota badan. Sintuk akan diserahkan secara berpasangan kepada pesilat. Pesilat akan menggunakan sintuk untuk menggosok badan ketika mandi dengan air campuran limau nipis. Simbolik - Menyingkirkan sikap dan perlakuan tidak baik pada diri pesilat.

3) Garam @ Asam Jawa
- merupakan bahan utama dalam penyediaan masakan, yg memberi rasa kelazatan dan kesedapan kepada makanan. Simbolik, pesilat akan berdepan dengan asam garam kehidupan, iaitu suka duka dalam menuntut ilmu persilatan. Tanpa asam garam ( suka duka ) dalam menuntut ilmu, pesilat tidak akan dapat merasai kelazatan ilmu.

4) Pisang Emas
- Merupakan sumber karbohidrat yg mana ia merupakan sumber tenaga bagi bagi tubuh badan. Simbolik, agar pesilat perolehi tenaga bgi menjalani latihan silat. Simbolik, kemanisan rasa pisang emas merupa ganjaran pada jerih payah, kesukaran dan pengorbanan dalam menuntut ilmu.

5) Bertih Beras 
- Beras merupakan makanan ruji bagi masyarakat Melayu. Pada zaman dahulu, pemuda yang ingin belajar ilmu persilatan perlu merantau untuk mencari Guru. Maka beras digoreng menjadi bertih supaya menjadi bekalan diperjalanan. Simbolik, pelajar perlu berkorban dalam mencari ilmu.

6) Bunga 7 Warna
- Setiap warna mempunyai getaran atau frekuensi dan aura yg berbeza. Hal ini membantu boleh membantu meningkatkan fungsi tubuh badan dan minda serta menstabilkan emosi.

7) Kemenyan
- Merupakan bahan pewangi bagi melahirkan suasan yg tenang.

8) Beras Kunyit atau sekapur sireh
- Merupakan Adat orang dahulu bagi menyambut kedatangan tetamu.

9) Jarum 21 pucuk
- Bilangan 21, adalah simbolik kepda 21 jenis  ilmu seni senjata yang terdapat dalam keilmuan Silat Seni Gayong. Manakala sifat jarum yang tajam, memberi gambaran penajaman Ilmu. Selain itu juga merupakan simbolik kepada Senjata Keris yang merupakan Adat Meminang Guru.

10. Lilin
- Merupakan sumber cahaya bagi menerangi kegelapan. Simboliknya, guru umpama lilin yang menerangi kegelapan hati anak murid disamping menyuluh kegelapan perjalanan dalam menuntut ilmu.

11. Mahar / Fidyah merupakan persembahan / hadiah murid kepada Guru. Simbolik, murid berterima kasih kerana Guru berkenan untuk menurunkan ilmunya.

12. Al-Quran, merupakan pegangan dan panduan hidup bagi setiap orang Islam. Seseorang tidak akan sesat selagi ia berpegang kepada Al-Quran. Simbolik, setiap murid perlu berpegang teguh pada ajaran Islam.

Jika dilihat dari bahan bahan dan simboliknya, dari awal pertemuan Guru dan Murid, Guru telah pun memberi gambaran dan pedoman kepada murid tentang pahit getir dalam menuntut ilmu persilatan. 

Asam... Garam... Berteh...
Simbolik kepada kesungguhan belajar...ada masa sakit, ada rasa perit, ada masa tawar hati... Akhir skali Manis dikecapi (simbolik Manis Pisang)

SGS, HPCS 1

rujukan :
- PSM Azizan Ibrahim

Thursday, 9 May 2019

PERSOALAN BERKENAAN DENGAN MAJLIS ADAT PERLIMAU SINTUK

Sebagaimana lazimnya, individu yang ingin mempelajari sesuatu ilmu khasnya ilmu persilatan perlu bertemu dengan guru dan meminta izin dari Guru untuk mempelajari ilmu persilatan. Keizinan dan Akad dari Guru dan murid perlu bagi memastikan kesinambungan Sanad Ilmu.
Cikgu Mohd Amin Hamzah sedang melaksanakan Adat Perlimau Sintuk terhadap seorang anak muridnya.

Dalam Silat Seni Gayong, semua individu yang ingin pelajari ilmu Gayong diwajibkan menjalani upacara Adat Perlimau Sintuk. Secara aturannya Perlimau Sintuk ini perlu dilaksanakan bagi setiap pelajar sebelum mula untuk mempelajari ilmu Gayong. Majlis Perlimau Sintuk juga dikenali dengan Nama Majlis Ikrar Penerimaan Murid Baru,  atau Majlis Meminang Guru (Mas Sepuloh).

Persoalan-persoalan yang biasa diajukan oleh para Waris berkenaan dengan Adat Perlimau Sintuk.

P1 - Bolehkah sekiranya pelajar tidak menjalani majlis Adat tersebut ? 
- Majlis Adat ini telah dijadikan syarat perlu bagi individu yang ingin menjadi Anak Gayong. Syarat ini telah digariskan oleh Arwah Dato' Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim selaku Pengasas dan Mahaguru Silat Seni Gayong. Oleh yang demikian, setiap individu yang ingin menjadi Anak Gayong perlu menjalani Majlis Adat ini.

P2 - Adakah Majlis Adat ini tidak melanggar Syariat dan Akidah Islam?
 - Majlis Adat ini fizikalnya adalah sebagai Akad bahawa Sang Guru menerima individu tersebut sebagai anak murid. Manakala individu tersebut pula berjanji akan menjaga amanah ilmu dan tidak menggunakan ilmu tersebut dijalan yang salah sebaliknya digunakan untuk mempertahankan Agama, Raja dan Negara, taat setia kepada Guru dan kedua ibubapa. Maka tujuan Majlis ini tidak melanggar Syariat dan Akidah Islam. 

P3 - Apa kesannya jika seseorang pelajar tidak menjalani Majlis Adat Perlimau Sintuk ?
 - Secara fizikalnya, pelajar tersebut tidak boleh dianggap sebagai Anak Gayong dan tidak berhak untuk mempelajari ilmu dalam Silat Seni Gayong.
 - Secara Rohaninya, pelajar tersebut tidak mendapat keberkatan ilmu.  Dalam mempelajari ilmu dari seorang Guru, perkara yang AMAT penting adalah Keberkatan Ilmu. Dalam Majlis Adat Perlimau Sintuk terdapat Akad Guru dan Murid, akad ini yang menyambungkan SANAD atau Ikatan Silsilah Ilmu dari Murid ke Guru dan seterusnya Guru yg Asal. Dari akad inilah akan terbitnya keberkatan ilmu.

P4 - Siapa yang melaksanakan Adat Perlimau Tapak ? 
 - Hanya Guru yang mendapat Tauliah dan Mandat SAHAJA dari Arwah Mahaguru Silat Seni Gayong yang boleh melaksanakan Adat Perlimau Tapak. Sekiranya terdapat kekangan lain seperti masa dan jarak, Guru tersebut boleh meWAKILkan kepada anak muridnya yang dipercayai untuk melaksanakan Majlis Adat tersebut. Walaubagaimanapun, selagi Guru tersebut masih hidup, anak muridnya itu hanya berperanan sebagai WAKIL dan perlu melafazkan akad "Aku sebagai wakil Guruku.. sekian.. sekian.. " 

P5 - Mengapa bukan Gurulatih atau Jurulatih sahaja yang melaksanakan Adat Perlimau Tapak ?
Seorang Gurulatih atau Jurulatih silat di gelanggang hanyalah wakil kepada Guru-Guru yang mendapat mandat bagi melaksanakan Perlimau Tapak. Mereka merupakan perantaraan antara Guru dan Murid dalam mengembangkan dan menyampaikan ilmu yang telah amanahkan untuk disampaikan kepada Anak-Anak Gayong dibawah seliaannya. Mereka hanya mendapat Amanah Ilmu sahaja.


Maka amat perlu dikesempatan Majlis ini untuk bertemu muka dengan Guru.

Tidak dinafikan di masa kini, terdapat dakwaan dari sesetengah pihak yang mana dirinya boleh melaksanakan Adat Perlimau Sintuk walaupun Gurunya masih ada dan tiada kekangan masa dan jarak yang menyebabkan Gurunya tidak dapat melaksanakan Adat tersebut. Hal ini perlu dibendung agar tidak terjadi kecelaruan Sanad.

Seperti yang saya nyatakan diatas hanya GURU YANG MENDAPAT TAULIAH DAN MANDAT SAHAJA yang boleh melaksanakan Majlis Adat Perlimau Sintuk. Maka sebagai murid, kita perlu ambil tahu Silsilah Ilmu. Kebiasaanya semasa Akad, Guru tersebut akan menyebut atau menerangkan Silsilah Ilmu kepada Murid.

Terdapat penerangan yang jelas dari segi ilmiah berkenaan dengan  setiap peralatan dan bahan-bahan yang diperlukan di dalam pelaksanaan Majlis Perlimau Sintuk. Semuanya boleh dijelaskan dengan terperinci oleh Murid Kanan (PSM Azizan Ibrahim) kepada Guru saya iaitu Cikgu Mohd Amin Hamzah.

Akhir kata... Cari lah yang jelas.


SGS, HPCS 1

rujukan :
- PSM Azizan Ibrahim


Friday, 26 April 2019

FALSAFAH SENI KUNCIAN

Kehidupan bangsa Melayu penuh dengan falsafah. Falsafah yang diwujudkan adalah selaras dengan matlamat sesuatu tindakan.  Silat merupakan beladiri yang dijadikan satu cara hidup nenek moyang kita dulu tentunya mempunyai banyak falsafah. Falsafah amalan kependekaran dan permainan menjurus pada Ilmu Usul dan Ketuhanan. Falsafah ini mudah diresapi kerana ia adalah selaras dengan pegangan dan kehidupan bangsa Melayu.

Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, penerapkan falsafah dalam permainan seninya memudahkan pesilat untuk menguasai sesuatu seni permainan.


Antara permainan yang menerapkan falsafah dalam permainannya adalah seni kuncian. Post sebelum ini, saya telah kongsikan beberapa falsafah kuncian yang biasa diaplikasikan dalam seni kuncian.

Dalam post kali ini saya akan cuba kongsikan lagi contoh-contoh bagaimana falsafah tersebut diaplikasikan.

A) MENEPATI KAEDAH KUNCIAN
Dalam Silat Seni Gayong terdapat 7 kaedah kuncian. Dari 7 kaedah tersebut telah dipecahkan menjadi 21 buah kuncian yang diajar di dalam Silibus Asas Silat Seni Gayong. 7 kaedah tersebut adalah :
1) Kacip
2) Kilas
3) Selak
4) Palang
5) Pasak
6) Lipat
7) Pasung / Patah

Setiap kaedah itu mempunyai perincian bagi peletakkan perbuatan agar tercapai maksud dan kaedah yang sebenar. Kesalahan dalam meletakkan/menyukat kedudukan tangan susah pasti akan memberi kesan kuncian yang longgar dan tidak kemas.

Sebagai contoh, kuncian ke-7 Kacip Selak Emas, dalam perbuatan kuncian ini perlu ada kaedah selak sendi lawan. Untuk mencapaikan maksud kaedah, sendi siku lawan perlu disekat pergerakan dengan menyelak sendi siku diantara lengan dan tubuh pesilat.


B) KEDUDUKAN KITA PERLU STABIL SEMASA MULA, SEDANG DAN AKHIR KUNCIAN.
- Kedudukan pesilat dalam melaksanakan kuncian perlu kukuh dan stabil. Kedudukan yang kukuh dan stabil memberikan kemudahan bagi pesilat untuk mematahkan serangan balas dari pihak lawan. Selain itu, kedudukan yang kukuh membolehkan pesilat memandu lawan ke kedudukan yang lemah bagi membolehkan kuncian dilakukan.  

C) MEMASTIKAN KEDUDUKAN DAN KEADAAN LAWAN LEMAH SEMASA MULA, SEDANG DAN AKHIR KUNCIAN
- Adalah agak mustahil untuk melakukan kuncian ke atas lawan yang berada dalam kedudukan yang stabil. Bagaimana untuk  melemahkan kedudukan lawan?

Pukulan dilakukan sebelum melakukan kuncian berperanan untuk melemahkan musuh semasa melakukan kuncian.  Kaedah pukulan yang betul akan mengakibatkan lawan berasa sakit dan hilang tumpuan untuk membuat serangan balas.

Walaubagaimanapun,  falsafah kuncian ini bergantung pada pemahaman dan tahap kemahiran pesilat. Pesilat yang berkemahiran tinggi dalam seni kuncian amat faham akan mekanisma tubuh. Hal ini menjadikan perbuatan kuncian amat mudah baginya dan menggunakan tenaga yang amat minimum dalam perlaksanaan kuncian.

Selain itu petua jarak,  perletakkan tangan,  tapak,  ayunan, daya momentum dan banyak lagi sebenarnya perlu difasihkan dan difahami oleh pesilat.

Namun begitu perkara AKAR bagi setiap ilmu jangan lah dilupakan.  BUKAN SETAKAT FAHAM,  IA KENA DIAMALKAN DAN DILATIH..  AGAR FAHAM MENJADI RASA.

HPCS1, SGS.

rujukan :
- PSM Amir Fadhli Razali
- Blog Gelanggang Persantanala



Monday, 22 April 2019

ETIKA PEMAKAIAN UNTUK MAJLIS RASMI

Assalamualaikum Wbt

Saya ingin kongsikan sedikit pengetahuan berkenaan etika pemakaian ketika Majlis Rasmi. Saya lihat dlm Majlis Rasmi ramai yg segak2. Cuma kadang2 penggunaan senjata sisip di pinggang agak janggal bila diperhatikan.

1. Pakaian
Pemakaian perlu kemas, serba hitam lengkap berbutang. Untuk pemilihan songket, digalakkan memilih jenis hitam sama ada berbenang emas atau silver tetapi setona dgn sampin, bengkung & tanjak.

2. Senjata
-    Pilih senjata jenis selit utk majlis rasmi sama ada keris, badik dan sebagainya. Elakkan terlalu besar dan londeh.
- Bergantung kepada adab setempat, pemakaian senjata bolehlah dikatakan sedemikian :
# hulu dipusing ke dalam
# keris diikat pada sampir


Sekian. Sekadar melontarkan pendapat saya.

PSM AMIR FADHLI RAZALI
HPCS V

Wednesday, 27 March 2019

SILIBUS PELAJARAN GELANGGANG PUAN KALSOM NANING

PERINGKAT ASAS


Gambar Hiasan - Ayahanda Cikgu Amin Hamzah (Apit Jinjang Mahaguru Silat Seni Gayong)

Asas Pergerakkan
1- Tikaman anak sungai
2 - Tusuk Rajawali
3 - Seligi
4 - Telapak Harimau
5- Tumbuk Pintal tali
6 - Pancung Dayung
7 - Tumbuk Melangkah, Sangga Kuak Sisi, Sangga Bawah
8 - Tolak Lintang Depan
9 - Lambung Kemudi
10 - Tolak Lintang Sisi
11 - Tebar Jala

Pecahan Asas Gerakan
1 - Sangga Bumi, Tumbuk, Sangga Bumi
2 - Tangkis Bawah (Undur)
3 - Sangga Silang Atas, Lutut. Sangga Silang Bawah
4 - Siku Tembi
5- Tembi Sula
6 - Tembi Hentak
7 - Golongan 10

Asas Elakan
1 - Kuak Sisi
2- Tangkis Bawah
3 - Sangga Langit
4 - Yoi Luar
5 - Kilas Dayung
6 - Yoi Dalam
7 - Patah Alu

Elak Pukul 1
1 - Kuak Sisi, Pancung Dayung, Tumbuk Pintal Tali
2 - Tangkis Bawah, Tumbuk Pintal Tali, Pancung Leher, Lutut
3 - Sangga Langit, Setangkai Padi, Rembat Relang,
4 - Yoi dalam, Selayang Pancung, Kilas Tengkuk, Lutut
5 - Cekak Harimau, Kilas Dayung, Tebar Jala, Pancung Dayung, Rembat Kuda Gila
6 - Yoi dalam, Sauk Emas Sepukal, Pecah Gegendang, Lutut Kanan Kiri.
7 - Patah Alu, Pancung Dayung, Hentak Halkum, Sangga Lutut.

Separa Kuncian (Kanak-kanak Lelaki dan Wanita (7-12 Tahun))
1a - Kilas Sawa
1b - Kalung Puteri
2 - Kilas Dayung Kiri
3 - Kilas Dayung Kanan

Kuncian (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Wanita).
1a - Kilas Sawa Berendam
1b - Kalung Puteri,
2a - Kilas Dayung 1
2b - Kilas Dayung 2
3a - Kilas Dayung Palang Maut 1
3b - Kilas Dayung Palang Maut 2
3c - Kilas Dayung Palang Maut 3

Kuncian (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Lelaki)
1 - Kilas Sawa Berendam
2 - Kilas Dayung
3 - Kilas Dayung Palang Maut
4 - Kacip Emas
5 - Patang Dayung
6 - Chekak Banting
7 - Kacip Selak Emas

Pukul Maut (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Wanita)
1- Simbar Cakar Helang
2 - Kuda Gila
3 - Tembi Hentak
4 - Sepak Rajang Hentak Adam
5 - Emas Sepukal
6 - Tembi Siku
7- Tebar Jala

Pukulan Maut (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Lelaki)
1 - Sangga Sisi
2 - Setangkai Padi
3 - Selayang Pancung
4 - Sauk Emas Sepukal
5 - Pancung Dayung
6 - Yoi Dalam
7 - Tebar Jalan

Tapak Hidup (Remaja (13-17 tahun) dan Dewasa Lelaki dan Wanita)
Buah 1 - 7

Anggaran Tempoh Masa Pelajaran - 6 bulan

HPCS1, SAS.

Rujukan :
- PSM Azizan Bin Ibrahim
- PPH Amir Fadhli Bin Razali