Saturday, 9 November 2024

SERANGAN PISAU

Senjata pisau merupakan senjata yang dekat dengan kita berbanding parang, keris dan senjata lain. 




Pisau senjata pendek yang memakan musuh dalam jarak yang dekat iaitu kurang setapak. Ia juga merupakan senjata yang ringan dan tidak memerlukan banyak tenaga untuk melancarkan serangan. 

Permainan pisau merupakan pengenalan kepada permainan seni senjata yang lain. Cara kendaliannya juga menggunakan kemahiran menggunakan sendi pergelangan tangan. 

Antara serangan pisau yang biasa dilakukan adalah :

a) Menikam

a) Menghiris

b) Memotong

c) Meradak

d) Memasak (pasak)

e) Simbat relang & simbat keli

Seperti pelajaran seni yang lain, silibus Silat Seni Gayong dimulakan dengan gerakan. Dalam gerakan tersebut pesilat akan diajar cara memegang senjata pisau, bertapak dengan senjata pisau, cara serangan dan belaan dalam permainan pisau. 



Dalam keilmuan Gayong terdapat 14 dan 21 gerakan pisau dan dari gerakan-gerakan tersebut terdapat banyak pecahan gerakan yang telah diajar oleh Arwah Cikgu Amin Hamzah kepada murid-muridnya. 

Bagi guru kami, pesilat harus fasih dengan gerakan senjata sebelum boleh bermain dengan senjata. Disebabkan itulah terbitnya banyak pecahan gerakan bagi memahirkan pesilat dengan senjata yang dipelajari. 

Sebagai murid tentukan kami ini tidak faham mengapa guru kami dulu amat menekankan gerakan sehingga perlu menghafal 7 set gerakan yang di dalamnya ada 14-21 gerakan. Tentukan agak bosan kerana terpaksa menghafal gerakan yang banyak. 

Namun hikmahnya telah kami rasakan sekarang. Sebagai guru, untuk memastikan keselamatan pesilat semasa bermain elakan, kunci, tapak hidup dan kombat, guru kami mengambil penekanan untuk memastikan pesilat rasi atau biasa dengan senjata. Ini bagi mengelakan atau mengurangkan risiko kecederaan semasa bermain senjata tersebut.

Al-Fatihah buat guru kami Arwah Cikgu Amin Hamzah. Semoga segala kebaikan dan manfaat atas ilmu yang disampaikan kepada pesilat di GPKN dan GPM mengalir pahalanya kepada arwah Cikgu Amin. 

Aamiin...

SPH

Saturday, 2 November 2024

UBAH PERSEPSI LATIHAN DI GELANGGANG!

Entah mana silapnya, pesilat yang berlatih di gelanggang walaupun telah satu tahun bergelanggang tidak tahu silibus asas. 

Perlu ditegaskan di sini, silibus bukanlah intipati dalam ilmu persilatan, tetapi ia adalah tapak permulaan untuk melatih diri. Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, silibus asas telah disusun oleh guru-guru lama dan pemurniannya telah dilakukan oleh guru-guru terkini. Silibus ini bertujuan membolehkan pesilat menggunakan asas ini untuk memahirkan diri. 

Namun begitu, silibus bukan lah satu satunya jalan untuk memahirkan diri pesilat dengan gerak silat. Ada juga aliran pesilatan yang tidak menggunakan jalan silibus sebagai alat memahirkan diri. Sebaliknya menggunakan jalan pertarungan secara bebas. Tiada buah yang dihafal sebaliknya menggunakan terus kaedah bela diri dalam pertarungan bebas. Namun cara ini tidak dapat dilakukan sekarang kerana pesilat dewasa ini sangat 'manja' dan tidak pandai menggunakan kaki dan tangan dengan baik. Jika dulu seperti yang diceritakan oleh guru saya, "latihan silat kalau balik dari latihan, muka tidak 'berkicap' atau badan tak lebam tak namanya latihan silat". Namun kita ini  mampukah menahan kesakitan begitu? Malah disuruh melakukan latihan kekuatan pun telah mengeluh panjang.

Tertanya tanya juga dalam fikiran sendiri, mereka ni datang belajar silat untuk apa? Mungkin hanya sekadar memenuhi permintaan ibu ayah atau sekadar ingin berjumpa dengan rakan di gelanggang. 

Maka, apabila adanya silibus yang digunakan di gelanggang-gelanggang, pesilat itu SEKURANG-KURANGNYA boleh melakukan pergerakan silat menggunakan silibus yang diajar. Itulah jugalah kaedah yang digunakan untuk menguji pesilat.  

Ada pesilat yang salah erti dengan cara latihan silat di gelanggang. Bila diberikan latihan bersilibus, mereka beranggapan, ia hanya sekadar perlu diingatkan ketika ingin mengambil ujian. Malah ada yang sekadar buat latihan untuk mengingati buah-buah pukulan, kunci dan sebagainya. CARA INI BENAR-BENAR TERKELUAR DARI TUJUAN SEBENAR BELAJAR SILAT.

Pesilat perlu sedar antara aspek penting yang diperhatikan semasa ujian ialah :

- Tapak dan sikap kekuda

- Stamina dan ketangkasan

- Ketepatan serangan

- Belaan yang efektif

- Langkahan

- Kebijaksanaan

Gurulatih sebenarnya tidaklah menitik beratkan keperluan pesilat mengingati silibus dengan baik, namun ia tetap menjadi nilaian terhadap displin ilmu. 

Oleh itu, pesilat perlu sedar tentang realiti mempelajari ilmu silat. Bila pesilat tidak dapat menunjukkan penguasaan dalam serangan dan belaan, tujuan sebenar mempelajari ilmu beladiri tidak tercapai. Ia hanyalah sekadar hafalan dan jika tidak diamalkan dan ia akan hilang dari ingatan. 

Manakala, sesuatu yang telah menjadi kemahiran tentulah ia telah mendarah daging dengan diri kita dan teknik hafalan tidak diperlukan lagi. 

Para guru terdahulu, telah bersusah payah membangunkan silibus bagi memudahkan penyampai ilmu silat bagi gurulatih dan penguasaan ilmu silat bagi pesilat dengan secara sistematik. Jangan disebabkan kegagalan dan kealpaan kita memahami cara mempelajari ilmu silat ini telah menyebabkan usaha para guru terdahulu sia-sia. 

Justeru, ubahlah cara dan persepsi latihan kita di gelanggang!!


SPH