Apa beza serangan orang yang belajar seni mempertahankan diri dengan orang yang tidak belajar seni mempertahankan diri?
Tentulah ada beza.. orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya mempelajari sesuatu ilmu itu tentulah ada manfaatnya.
Ya, kita dikurniakan kaki dan tangan, namun adakah kita tahu menggunakannya? Sedangkan pisau dapur jika diberi kepada orang yang tidak pernah masuk ke dapur.. tentulah canggung perbuatannya.
Begitulah halnya dengan penggunaan kaki dan tangan dalam ilmu seni mempertahankan diri. Orang yang tidak pernah belajar silat contohnya, jika disuruh untuk menumbuk bagaimana perlakuannya?
Tentu dia masih boleh menumbuk. Namun gerakan dan perilakunya akan dilihat membuta tuli atau semborono. Daripada genggaman tangan, pergerakan tangan sehinggalah imbangan badan akan dilihat semborono.
Dalam mempelajari ilmu seni bela diri, setiap perlakuan itu diteliti dan diperincikan. Apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat. Apa sebab dan akibat sesuatu perbuatan.
Mengapa pergerakan itu sesuai dengan mekanisme struktur badan yang merupakan sistem sokongan tubuh badan. Jika kita rajin memerhatikan permainan guru-guru kita, kedudukan sendi-sendi juga memainkan peranan dan seni bela menyebabkan beban menjadi ringan ataupun daya yang hanya sedikit diperlukan untuk menjatuhkan pihak lawan.
Bila ini semua dilatih? Seawal kita membuka langkah untuk mempelajari gerakan asas.
Namun begitu, bukanlah mudah untuk menguasai sesuatu kemahiran tanpa latih-tubi yang konsisten dan bersungguh-sungguh. Kekadang kita tertanya-tanya, mengapa bila guru kita buat atau orang lain buat nampak perbuatan itu nampak senang, tapi bila kita buat agak canggung dan payah dilakukan? Tiada jalan singkat untuk mendalami sesuatu ilmu melainkan beramal dengan ilmu yang kita pelajari.
Ini bukan bermaksud, kita perlu mewujudkan situasi pergaduhan untuk mengamalkan ilmu seni bela diri. Cara tidak lain, hanyalah berpeluh lenjun dan bersakit-sakit di gelanggang.
Perlu kita selalu beringat juga, walaupun lawan kita tidak pernah belajar seni bela diri, namun dia masih merupakan ancaman kepada diri kita yang perlu kita berhati-hati dan jangan mengambil mudah. Ini kerana mereka yang tidak belajar seni bela diri lebih agresif dan sukar di ramal. Ini logik untuk diambil kira. Mereka tidak belajar, jadi mereka tidak tahu kesan di atas perlakuan yang mereka buat maka mereka akan bertindak agresif tanpa memikirkan sebarang gerak balas dipihak lawan yang boleh memudaratkannya.
Pernahkan kita terfikir, disamping menumbuk, kita boleh menampar? Kita boleh menggigit, kita boleh cucuk mata, kita boleh tarik rambut.
SPH🌂