Saturday, 21 December 2024

KAEDAH MENYALAH / MENANGKIS SERANGAN

Dari segi itulah, menyalah / menangkis serangan merupakan satu perbuatan menyelamatkan diri dari serangan pihak lawan.

Dari segi perbuatan, ia merupakan gerakan seseorang pesilat untuk memesongkan atau menyalahkan serangan pihak lawan dari mencederakan atau memudaratkan diri.

Maka secara praktikalnya, perbuatan itu perlu memenuhi objektif menyalahi / menangkis seperti yang dinyatakan dia atas.

Elakan / tangkisan merupakan komponen penting dalam konsep beladiri.  Bagaimana cara mengaplikasikan perbuatan elakan / tangkisan yang efektif itu supaya ia selaras dengan konsepnya?

Antaranya petuanya adalah 'segerak' dan 'makan sebelum matang'.

Apa maksud segerak? Maksudnya ialah gerakan lawan segerak dengan gerak kita iaitu apabila saat lawan mula bergerak untuk melancarkan serangan saat itulah kita bergerak untuk mengelak atau menangkis serangan. Dengan cara ini, serangan pihak lawan boleh dipatahkan sebelum cukup sifat atau pun sebelum segala kudrat pihak lawan telah tertumpu di kawasan penamat / atau kawasan yang akan menyentuh kita. 

Sebagai contoh, apabila pihak lawan ingin melancarkan serangan kita dapat perhatikan arah kedudukan dada  pihak lawan akan mula berubah ataupun kadar pernafasannya akan berubah. Sejurus kita dapat mengesan perubahan itu, kita akan memulakan gerakan menangkis serangan. 

Bagaimana nak menjadikan ia sebagai praktikal? Jawapannya... Tentulah latih-tubi yang berterusan. Ya.. ia adalah ASAS beladiri !!

Asas ini selalu diabaikan oleh pesilat!! Ingat!! Jangan dah sakit baru nak mengelak / menangkis!! 

Teringat kata-kata Cikgu Amin, "Elak dan tangkis dengan betul, macam mana kalau yang datang tu senjata tajam?" Pesanan tu memang melekat diingatan terutama apabila ketika melatih pesilat di gelanggang. Itulah hikmahnya berguru. 

Al-fatihah. 




NAMPAK MACAM BETUL .. TAPI.. ??

Sekali nampak.. macam betul, namun bila diperhalusi terlalu banyak kepincangan. 


Dalam latihan di gelanggang, pesilat akan menghafal dulu gerakan atau perbuatan. Selepas menghafal gerakan / perbuatan, pesilat perlu perhalusi setiap gerakan / perbuatan yang dibuat. 

Setiap gerakan / perbuatan kena ada rasionalnya. Dari segi perbuatan kuncian, dari bertapak sehinggalah kedudukan selepas kuncian perlu diperhalusi supaya ia benar-benar menepati konsep kuncian atau konsep beladiri itu sendiri. 

Sebagai contoh, apabila membuka tapak, kedudukan mana yang stabil dan sesuai untuk mengambil serangan atau melancarkan serangan. Kedudukan berat badan, keluasan tapak, posisi dan arah badan, perletakan tangan, pandangan mata semua perlu diperhalusi. 

Begitu juga, dengan menyalah / menangkis serangan lawan. Bagaimana kedudukan badan, perletakan tangkisan tangan, keadaan tapak, posisi untuk serangan balas semua itu perlu diperhatikan. 




Selain itu, konsep sesuatu silibus juga perlu difahami, oleh pesilat. Bagi silibus gerakan, konsepnya apa? Elakkan konsepnya apa? Elak pukul konsepnya ? Kuncian? Kombat? Pukulan maut? Tapak hidup? Kenapa kena ada semua silibus tu? Padahal ada di antara silibus itu perbuatan seakan sama. 




Sebagai contoh.. apa beza kombat/ pukulan maut dan elak pukul ? Apa konsep yang ditekankan pada setiap silibus itu.

Bila konsep itu difahami, ia akan membantu pesilat lebih 'hidup' dalam setiap perbuatan. 

Itu lah.. nampak macam betul... tapi perbuatan tidak sempurna. 

WaALLAHu'alam





Saturday, 9 November 2024

SERANGAN PISAU

Senjata pisau merupakan senjata yang dekat dengan kita berbanding parang, keris dan senjata lain. 




Pisau senjata pendek yang memakan musuh dalam jarak yang dekat iaitu kurang setapak. Ia juga merupakan senjata yang ringan dan tidak memerlukan banyak tenaga untuk melancarkan serangan. 

Permainan pisau merupakan pengenalan kepada permainan seni senjata yang lain. Cara kendaliannya juga menggunakan kemahiran menggunakan sendi pergelangan tangan. 

Antara serangan pisau yang biasa dilakukan adalah :

a) Menikam

a) Menghiris

b) Memotong

c) Meradak

d) Memasak (pasak)

e) Simbat relang & simbat keli

Seperti pelajaran seni yang lain, silibus Silat Seni Gayong dimulakan dengan gerakan. Dalam gerakan tersebut pesilat akan diajar cara memegang senjata pisau, bertapak dengan senjata pisau, cara serangan dan belaan dalam permainan pisau. 



Dalam keilmuan Gayong terdapat 14 dan 21 gerakan pisau dan dari gerakan-gerakan tersebut terdapat banyak pecahan gerakan yang telah diajar oleh Arwah Cikgu Amin Hamzah kepada murid-muridnya. 

Bagi guru kami, pesilat harus fasih dengan gerakan senjata sebelum boleh bermain dengan senjata. Disebabkan itulah terbitnya banyak pecahan gerakan bagi memahirkan pesilat dengan senjata yang dipelajari. 

Sebagai murid tentukan kami ini tidak faham mengapa guru kami dulu amat menekankan gerakan sehingga perlu menghafal 7 set gerakan yang di dalamnya ada 14-21 gerakan. Tentukan agak bosan kerana terpaksa menghafal gerakan yang banyak. 

Namun hikmahnya telah kami rasakan sekarang. Sebagai guru, untuk memastikan keselamatan pesilat semasa bermain elakan, kunci, tapak hidup dan kombat, guru kami mengambil penekanan untuk memastikan pesilat rasi atau biasa dengan senjata. Ini bagi mengelakan atau mengurangkan risiko kecederaan semasa bermain senjata tersebut.

Al-Fatihah buat guru kami Arwah Cikgu Amin Hamzah. Semoga segala kebaikan dan manfaat atas ilmu yang disampaikan kepada pesilat di GPKN dan GPM mengalir pahalanya kepada arwah Cikgu Amin. 

Aamiin...

SPH

Saturday, 2 November 2024

UBAH PERSEPSI LATIHAN DI GELANGGANG!

Entah mana silapnya, pesilat yang berlatih di gelanggang walaupun telah satu tahun bergelanggang tidak tahu silibus asas. 

Perlu ditegaskan di sini, silibus bukanlah intipati dalam ilmu persilatan, tetapi ia adalah tapak permulaan untuk melatih diri. Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, silibus asas telah disusun oleh guru-guru lama dan pemurniannya telah dilakukan oleh guru-guru terkini. Silibus ini bertujuan membolehkan pesilat menggunakan asas ini untuk memahirkan diri. 

Namun begitu, silibus bukan lah satu satunya jalan untuk memahirkan diri pesilat dengan gerak silat. Ada juga aliran pesilatan yang tidak menggunakan jalan silibus sebagai alat memahirkan diri. Sebaliknya menggunakan jalan pertarungan secara bebas. Tiada buah yang dihafal sebaliknya menggunakan terus kaedah bela diri dalam pertarungan bebas. Namun cara ini tidak dapat dilakukan sekarang kerana pesilat dewasa ini sangat 'manja' dan tidak pandai menggunakan kaki dan tangan dengan baik. Jika dulu seperti yang diceritakan oleh guru saya, "latihan silat kalau balik dari latihan, muka tidak 'berkicap' atau badan tak lebam tak namanya latihan silat". Namun kita ini  mampukah menahan kesakitan begitu? Malah disuruh melakukan latihan kekuatan pun telah mengeluh panjang.

Tertanya tanya juga dalam fikiran sendiri, mereka ni datang belajar silat untuk apa? Mungkin hanya sekadar memenuhi permintaan ibu ayah atau sekadar ingin berjumpa dengan rakan di gelanggang. 

Maka, apabila adanya silibus yang digunakan di gelanggang-gelanggang, pesilat itu SEKURANG-KURANGNYA boleh melakukan pergerakan silat menggunakan silibus yang diajar. Itulah jugalah kaedah yang digunakan untuk menguji pesilat.  

Ada pesilat yang salah erti dengan cara latihan silat di gelanggang. Bila diberikan latihan bersilibus, mereka beranggapan, ia hanya sekadar perlu diingatkan ketika ingin mengambil ujian. Malah ada yang sekadar buat latihan untuk mengingati buah-buah pukulan, kunci dan sebagainya. CARA INI BENAR-BENAR TERKELUAR DARI TUJUAN SEBENAR BELAJAR SILAT.

Pesilat perlu sedar antara aspek penting yang diperhatikan semasa ujian ialah :

- Tapak dan sikap kekuda

- Stamina dan ketangkasan

- Ketepatan serangan

- Belaan yang efektif

- Langkahan

- Kebijaksanaan

Gurulatih sebenarnya tidaklah menitik beratkan keperluan pesilat mengingati silibus dengan baik, namun ia tetap menjadi nilaian terhadap displin ilmu. 

Oleh itu, pesilat perlu sedar tentang realiti mempelajari ilmu silat. Bila pesilat tidak dapat menunjukkan penguasaan dalam serangan dan belaan, tujuan sebenar mempelajari ilmu beladiri tidak tercapai. Ia hanyalah sekadar hafalan dan jika tidak diamalkan dan ia akan hilang dari ingatan. 

Manakala, sesuatu yang telah menjadi kemahiran tentulah ia telah mendarah daging dengan diri kita dan teknik hafalan tidak diperlukan lagi. 

Para guru terdahulu, telah bersusah payah membangunkan silibus bagi memudahkan penyampai ilmu silat bagi gurulatih dan penguasaan ilmu silat bagi pesilat dengan secara sistematik. Jangan disebabkan kegagalan dan kealpaan kita memahami cara mempelajari ilmu silat ini telah menyebabkan usaha para guru terdahulu sia-sia. 

Justeru, ubahlah cara dan persepsi latihan kita di gelanggang!!


SPH





 



Monday, 28 October 2024

SEMBERONO

Apa beza serangan orang yang belajar seni mempertahankan diri dengan orang yang tidak belajar seni mempertahankan diri? 

Tentulah ada beza.. orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya mempelajari sesuatu ilmu itu tentulah ada manfaatnya. 



Ya, kita dikurniakan kaki dan tangan, namun adakah kita tahu menggunakannya? Sedangkan pisau dapur jika diberi kepada orang yang tidak pernah masuk ke dapur.. tentulah canggung perbuatannya. 

Begitulah halnya dengan penggunaan kaki dan tangan dalam ilmu seni mempertahankan diri. Orang yang tidak pernah belajar silat contohnya, jika disuruh untuk menumbuk bagaimana perlakuannya? 

Tentu dia masih boleh menumbuk. Namun gerakan dan perilakunya akan dilihat membuta tuli atau semborono. Daripada genggaman tangan, pergerakan tangan sehinggalah imbangan badan akan dilihat semborono. 

Dalam mempelajari ilmu seni bela diri, setiap perlakuan itu diteliti dan diperincikan. Apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat. Apa sebab dan akibat sesuatu perbuatan. 

Mengapa pergerakan itu sesuai dengan mekanisme struktur badan yang merupakan sistem sokongan tubuh badan. Jika kita rajin memerhatikan permainan guru-guru kita, kedudukan sendi-sendi juga memainkan peranan dan seni bela menyebabkan beban menjadi ringan ataupun daya yang hanya sedikit diperlukan untuk menjatuhkan pihak lawan.

Bila ini semua dilatih? Seawal kita membuka langkah untuk mempelajari gerakan asas. 



Namun begitu, bukanlah mudah untuk menguasai sesuatu kemahiran tanpa latih-tubi yang konsisten dan bersungguh-sungguh. Kekadang kita tertanya-tanya, mengapa bila guru kita buat atau orang lain buat nampak perbuatan itu nampak senang, tapi bila kita buat agak canggung dan payah dilakukan? Tiada jalan singkat untuk mendalami sesuatu ilmu melainkan beramal dengan ilmu yang kita pelajari. 

Ini bukan bermaksud, kita perlu mewujudkan situasi pergaduhan untuk mengamalkan ilmu seni bela diri. Cara tidak lain, hanyalah berpeluh lenjun dan bersakit-sakit di gelanggang. 

Perlu kita selalu beringat juga, walaupun lawan kita tidak pernah belajar seni bela diri, namun dia masih merupakan ancaman kepada diri kita yang perlu kita berhati-hati dan jangan mengambil mudah. Ini kerana mereka yang tidak belajar seni bela diri lebih agresif  dan sukar di ramal. Ini logik untuk diambil kira. Mereka tidak belajar, jadi mereka tidak tahu kesan di atas perlakuan yang mereka buat maka mereka akan bertindak agresif tanpa memikirkan sebarang gerak balas dipihak lawan yang boleh memudaratkannya. 

Pernahkan kita terfikir, disamping menumbuk, kita boleh menampar? Kita boleh menggigit, kita boleh cucuk mata, kita boleh tarik rambut.


SPH🌂