Kedengaran juga rungutan dari pesilat "Asyik buat benda yang sama je... bosan.!".
Bagi yang baru bersilat atau menceburi beladiri aliran silat, 1-2 tahun merupakan tempoh masa yang amat kritikal. Dalam tempoh itu, Jurulatih bertanggungjawab untuk membentuk struktur fizikal pesilat. Struktur fizikal termasuklah membentuk struktur badan, sikap pasang (sikap sedia menghadapi serangan atau membuat belaan), otot-otot penting yang berperanan dalam gerakan silat dan juga perwatakan.
Selain itu, pada peringkat awal inilah pesilat akan diterapkan dengan displin sebagai seorang pesilat seperti adab di dalam dan di luar gelanggang.
Itu bukan sesuatu yang mudah. Ia merupakan satu proses yang panjang dan menuntut kesabaran bagi seorang pesilat malah jurulatih itu sendiri.
Soalannya.. mengapa ia dilakukan berulang-ulang?
Perbuatan yang dilakukan berulang-ulang akan menjadi tindakan yang serasi atau menyatu dengan gerakan tubuh badan kita tanpa perlu kita berfikir. Itu dinamakan tindakan luar kawal atau lebih mudah difahami .. "reflect".
Perkara ini sebenarnya bukanlah satu tindakan asing. Malah teknik ini juga telah digunapakai dari pengamal silat dari dulu lagi dan juga diamalkan oleh beladiri luar.
Kalau dulu, latihan kekuda dilakukan berjam-jam. Namun sekarang, bila disuruh menahan kekuda selama satu minit sahaja pun, pesilat telah merungut. Ada kemungkinan juga itulah latihannya yang terakhir. Betapa bezanya kita dengan nenek moyang kita yang dulu.
Bagaimana nak mendirikan rumah yang cantik sekiranya asasnya tidak kukuh? Begitulah hal dengan silat. Seorang pesilat itu tidak ada akan dapat pergi jauh sekiranya perkara asas tidak dibentuk dengan elok.
Kesannya nanti.. akan ada.. pesilat yang memakai bengkung peringkat tinggi tetapi tapaknya tidak seperti orang silat, perwatakannya tidak seperti orang silat malah ada yang tidak dapat membuat serangan dengan betul.
Maka, pesilat harus sabar dan tekun dalam mempelajari silat terutama pada peringkat awal pembelajaran.
Latihan silat bukan seperti latihan sukan yang lain. Sekiranya tubuh badan pesilat tidak bersedia untuk mempelajari peringkat seterusnya, jurulatih tidak akan meneruskan tingkatan pelajaran. Ini adalah kerana, pesilat akan lebih mudah terdedah dengan risiko kecederaan.
Otot-otot yang konsisten melakukan aktiviti kecergasan / gerakan silat akan lebih kuat. Ini akan membantu melindungi kecederaan pada tulang.
Ya, tiada 'shortcut' dalam mempelajari silat. Ia merupakan suatu proses yang bersistem.
LBS.