Sunday, 20 October 2019

MENGAPA PESILAT PERLU DIUJI?

AlhamduliLLAH...

Tanggal 19 Oktober 2019, menjadi tarikh keramat bagi pesilat pesilat GPKN yang baru pertama kali menjalani ujian peringkat asas. Sebagai pesilat yang baru dalam dunia pesilatan tentunya pelbagai perasaan seperti takut, cemas, malu dan ada juga yang teruja untuk melalui ujian. Namun ujian peringkat asas tidak serumit ujian peringkat seterusnya.

Pesilat GPKN Selesai Menjalani Sesi Ujian Tahapan


Mengapa pesilat perlu diuji?

Dalam susunan pelajaran dipimpin oleh Cikgu Amin Hamzah, pesilat yang telah menjalani latihan selama lebih 6 bulan perlu di uji sebelum pelajaran ditingkatkan ke peringkat seterusnya. Mengikut murid kanan Cikgu Amin, PSM Azizan Ibrahim, setiap tahap pelajaran mengambil masa lebih kurang 60jam iaitu selama 8 bulan jika latihan dilaksanakan selama 2 jam seminggu.

Dalam proses pengajaran silat di Gelanggang Puan Kalsom Naning (GPKN) Gurulatih (PSM Amir Fadhli Razali) telah menyusun pelajaran agar para jurulatih mudah untuk menyampaikan pelajaran di gelanggang. Susunan pelajaran ini dipanggil Silibus Pelajaran. Silibus disusun mengikut tahap pesilat.

Pesilat GPKN Sedang diuji oleh Penguji, Cikgu Aswad.



Dalam Silat Seni Gayong pelajaran telah disusun oleh Gurulatih mengikut tahapan berikut:
a) Tahap Asas
b) Pelangi Hijau
c) Pelangi Merah
d) Pelangi Kuning
e) Harimau Pelangi Chula Sakti

Walaubagaimanapun, Gurulatih selalu mengingatkan para Jurulatih agar tidak terikat dengan Silibus Pelajaran sahaja ketika mengajar di gelanggang. Ini adalah kerana matlamat sebenar yang perlu dicapai oleh pesilat bukan pada penguasaan Silibus semata mata, tetapi lebih kepada kaedah beladiri yang menjurus pada pertempuran sebenar.

Namun begitu, secara asasnya pesilat perlu mahir  dengan segala pelajaran yang telah digariskan dalam Silibus. Pesilat-pesilat akan diuji berdasarkan penguasaan Silibus.

Pesilat Kanak-Kanak GPKN sedang diuji Pelajaran Asas Elakan.


Sebagai contoh bagi peringkat Asas, Silibus pelajaran bagi tahap asas, akan menyediakan pesilat dengan asas yang kukuh seperti kaedah bertapak, serangan asas seperti tumbukan pintal tali, pancung dayung, berkisar tapak, asas elakan, asas elakan dan pukulan, asas kuncian dan lain lain. Maka dalam tempoh latihan selamat 60 jam pesilat sepatutnya telah mahir untuk bertapak, mahir serangan asas seperti tumbuk pintal tali dan pancung dayung, mahir asas elakan dan pukulan dan asas kuncian.

Maka adalah menjadi tanggungjawab seorang pesilat untuk menguasai semua pelajaran yang diajar dalam silibus pelajaran selain untuk memenuhi tututan perkara yang akan diuji, ia perlu memahirkan diri dengan perkara asas.

Dalam Sesi Ujian, Sikap Pasang dan Tapak akan Dinilai.


Oleh itu, ujian perlu dilaksanakan ke atas pesilat untuk mengetahui sejauh mana tahap penguasaan pesilat terhadap pelajaran agar jurulatih dapat merangka latihan tambahan untuk menguatkan penguasaan pesilat selain mengetahui kesediaan pesilat untuk menerima peningkatan pelajaran seterusnya. 

SGS, HPCS III