Sunday, 24 February 2019

JENIS SERANGAN DAN SASARAN

Dalam pelajaran Seni Tangan Kosong, Silat Seni Gayong, pesilat akan didedahkan dengan pelbagai jenis serangan tangan dan kaki.

Dalam keilmuan Silat Seni Gayong, setiap serangan mempunyai namanya tersendiri. Nama-nama serangan tersebut diberi berdasarkan sifat serangan tersebut ataupun sasaran serangan. Perkara ini memudahkan pesilat untuk memahami sifat serangan dan sasaran serangan.

Ayahanda Cg. Amin Hamzah menunjukkan sasaran serangan Sauk Emak Sepukal
Antara terma terma serangan tangan dalam Silat Seni Gayong adalah :
- Tumbukan Pintal Tali
- Tumbukan Kisar Tali
- Tumbukan Kelek Anak (Sauk Emas Sepukal)
- Pancung Dayung
- Siku Tembi
- Tembi Siku
- Setangkai Padi
- Seligi
- Tikaman Anak Sungai
- Tusuk Rajawali
- Telapak Harimau
- Timang Puteri

Setiap serangan tersebut mempunyai sasaran-sasaran tertentu yang dapat melemahkan pihak lawan. Selain melemahkan pihak lawan, ada di antara serangan di atas boleh menyebabkan pihak lawan tidak sedarkan diri (pengsan) atau jika serangan tersebut kena betul pada sasaran maut ia boleh mengakibatkan maut.

Sebagai contoh sifat serangan bagi Tumbukan Pintal Tali. Mengapa ia dipanggil sedemikian? Nama tersebut menerangkan sifat yang perlu ada dalam perbuatan serangan tersebut untuk menjadikan serangan tersebut lebih efektif atau mendatangkan kesan yang maksimum pada pihak musuh.
Perbuatan bagi Tumbukan Pintal Tali merupakan retetan serangan berikut :

Kelek Anak -> Berkisar Tali -> Emas Sepukal


Tumbukan Pintal Tali

Kelek anak (simpan tumbukan di rusuk) merupakan perbuatan awalan untuk melaksanakan serangan Tumbukan Pintal Tali. Untuk mendapatkan daya/impak yang tinggi maka, pecutan serangan perlu ditingkatkan. Pecutan boleh ditingkatkan dengan menambahkan jarak terhadap sasaran. Sifat bagi Pintal Tali dapat dilihat pada perbuatan berkisar tali. Perbuatan berkisar tali dapat menambahkan daya tenaga/impak pada kelajuan serangan yang tinggi. Manakala perbuatan Emas Sepukal, simbolik pada genggaman tangan yang kuat dan padu (mengalihkan berat badan pada kepalan tangan) akan menghasilkan daya/impak yang besar pada serangan tersebut.

Disebabkan impak / daya tinggi yang dihasilkan daripada gabungan perbuatan di atas, serangan ini juga dikenali sebagai Serangan Pemusnah. Ini bermaksud, ia boleh memusnahkan apa saja sasarannya iaitu seperti tulang rusuk, tulang rahang dan tulang dada (jantung).

Berikut adalah 7 sasaran maut dan contoh serangannya : 
1) Rusuk - pancung dayung, Sauk Emas Sepukal;
2) Hulu hati - Tumbukan Kelek Anak, Tumbukan Pintal Tali;
3) Jantung - Telapak Harimau;
4) Halkum - Setangkai Padi, Pancung Dayung, Seligi
5) Kemaluan - Timang Puteri, Setangkai Padi, Hentak Emas Sepukal
6) Leher - Seligi
7) Rahang - Seligi, Pancung Dayung,

Pancung Dayung - Rusuk


Timang Puteri - Kemaluan 


Seligi - Rahang

Tumbukan Pintal Tali - Rusuk

Tumbukan Sauk Emas Sepukal - Rusuk

Setangkai Padi - Kemaluan


Oleh yang demikian, seorang pesilat amat perlu untuk mengetahui jenis-jenis serangan dan sasarannya agar serangan tersebut lebih efektif untuk melemahkan pihak lawan. Selain melemahkan pihak lawan ia juga berperanan untuk menghilangkan fokus dan pertimbangkan pihak lawan bagi membuat serangan balas. 


HPCS 1, SAS.

Rujukan : 
1) Buku Kupasan Asas Gerakan, karangan PSM Azizan Ibrahim
2) Buku Silibus Asas Tangan Kosong, karangan PPH Amir Fadhli Razali







Tuesday, 5 February 2019

OTOT-OTOT YANG TERLIBAT DALAM GERAKAN SERANG BELA KAKI

Pelajaran Asas Gerakan merangkumi kaedah Gerakan Serang Bela Tangan dan Kaki. Kebiasaan Gerakan Serang Bela Tangan mudah dilatih oleh pesilat dan sedikit sukar untuk melatih Gerakan Serang Bela Kaki.


Tendangan Juring Sisi (Tolak Lintang Sisi)

Seorang pesilat perlu untuk mengetahui bagaimana proses berlakunya pergerakkan anggota kaki. Amat penting bagi pesilat mengetahui otot-otot yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pergerakkan kaki. Pengetahuan ini akan membantu pesilat untuk melaksanakan gerakan dengan cara yang betul dan seterusnya dapat memperbaiki kemantapan gerakan anggota.

Pemantapan gerakan boleh ditingkatkan dengan meningkatkan daya tahan dan kekuatan otot-otot yang terlibat dalam menghasilkan gerakan. 

Gerakan terhasil daripada interaksi kumpulan otot-otot rangka. Bagi pergerakan kaki otot-otot penggerak utama (Agonis & Antagonis) dan  yang terlibat adalah :
a) kumpulan otot Quadriceps (Rectus Femoris, Vastus Medialis, Vastus Lateralis, Vastus Intermedius);
b) kumpulan otot Hamstring (Semitendinosus, Semimembranosus, Biceps Femoris).

Rajah 1, menunjukkan kedudukan otot-otot rangka pada tubuh manusia. Otot rangka merupakan otot yang melekat pada tulang-tulang.


Rajah 1 - Anatomi Sistem Otot Manusia

Selain itu terdapat otot-otot lain yang turut membantu gerakan kaki seperti :
a) Otot Perut (Rectus Abdominis)
b) Otot Betis (Gastrocnemius, Soleus),
b) Otot Pinggang (Oblique)
c) Otot Punggung (Gluteus)

Rajah 2 - Tendon dan Ligamen
Terdapat dua tisu penghubung yang juga memainkan peranan dalam pergerakan anggota iaitu Tendon dan Ligamen. Tendon adalah merupakan tisu penghubung bergentian yang tidak elastik yang melekatkan otot pada tulang. Tisu tendon ini memastikan daya tarikan yang disebabkan dari pengecutan otot dipindahkan ke tulang seterusnya menyebabkan pergerakan.

Manakala Tisu Ligamen pula adalah merupakan tisu penghubung bergentian untuk menghubungkan tulang-tulang. Struktur tisunya yang elastik yang menghubungkan tulang-tulang membentuk satu sendi yang membenarkan pergerakan yang terhad. Ia juga berfungsi untuk menetapkan kedudukan tulang pada tempatnya agar tidak terkehel.


Sebagai contoh latihan asas gerakan yang pertama, Tendangan Lurus (Lambung Kemudi), dapat dilihat dari Rajah 3 di bawah otot-otot yang mengambil tugas bagi melaksanakan gerakan tersebut. 

Rajah 3 - Otot-Otot Yang Terlibat Dalam Perlaksanaan Gerakan Tendangan Lurus

Rajah 4, menunjukkan otot-otot utama yang melaksanakan Gerakan Tendangan Lurus. Otot-otot yang ditandakan dengan warna merah merupakan otot dinamik atau otot yang digerakkan semasa pelaksanaan gerakan tersebut, manakala otot-otot yang ditandakan dengan warna biru merupakan otot yang statik atau otot yang tidak digerakkan.



Rajah 4 - Otot-Otot Utama Dalam Gerakan Tendangan Lurus
Rajah 5 dan Rajah 6 menunjukkan otot-otot utama bagi Gerakan Tendangan Sula dan Tendangan Kuda Gila.

Rajah 5 - Anatomi Sistem Otot Rangka Bagi Gerakan Tendangan  Depan (Tendangan Sula)

Rajah 6 - Anatomi Sistem Otot Rangka Bagi Gerakan Tendangan Belakang (Tendangan Kuda Gila)

Bagi memastikan gerakan-gerakan kaki dapat dilaksanakan dengan baik, otot-otot yang terlibat perlu dikuatkan. Berikut adalah senaman-senaman bersifat latih tubi yang boleh menguatkan otot-otot di kaki :

a) Latihan Kekuda Rendah - Buka tapak selari dan lakukan posisi kekuda rendah sehingga bahagian peha mendatar dan boleh dipijak, Tahan dalam posisi kekuda rendah selama 20-30 saat. 

b) Ketuk Ketampi - Berdiri tegak dengan kaki sedikit terbuka (bukaan kaki perlu ikut keseimbangan badan), tangan kanan bersilang dengan tangan kiri dengan tangan kiri berada disebelah dalam, turun posisi seperti Squat dan naik semua. Semasa posisi menaik pastikan tapak kaki tidak jengkit. Dibuat dalam kiraan 15 ke 20 kali.

c) Melompat - Lompat ke hadapan sejauh yang mungkin dan duduk mencangkung sambil kedua tangan bersilang dilutut. Banguan dan lompat semula kebelakang (posisi asal), ulang sehingga 15 ke 20 kali.

d) Mendaki bukit - posisi seperti tekan tubi dengan sebelah kaki dibengkokkan ke dada dan sebelah kaki lagi lurus ke belakang. Tukar posisi kaki berulang-ulang dengan tangan tetap pada posisi asal. Lakukan dalam bilangan 16-20 kali.

e) Lunges (Melutut) - Mula pada posisi berdiri tegak, melangkah kaki kanan satu tapak kehadapan, kaki belakang (kiri) melutut, undur ke posisi asal, dan ulang untuk kaki kiri. Ulangi perbuatan 16 ke 20 kali.

Banyak lagi senaman bersifat latih tubi yang boleh digunakan untuk membina kekuatan dan daya tahan otot seperti Squat Jump, Step Up, Leg Press  dan lain-lain. 

Selain itu, dapat diperhatikan di dalam rajah-rajah di atas, Selain otot kaki, otot perut dan otot pinggang juga merupakan otot utama dalam pergerakan kaki. Otot perut dan otot pinggang merupakan otot pusat yang berperanan penting dalam aktiviti bercorak olahraga/fizikal. Maka selain otot kaki, otot perut dan pinggang juga perlu dikuatkan dalam usaha untuk mendapatkan Gerakan Tendangan yang mantap. Malah senaman-senaman yang disenaraikan di atas turut memberi kesan kepada otot perut dan otot pinggang.

Antara senaman lain yang khusus untuk membina kekuatan otot perut adalah Sit-Up, Plank, Leg Raises dan Crunch. 

Selain kekuatan otot, kelenturan juga merupakan elemen penting dalam melaksanakan Gerakan Serang Bela Kaki. Kelenturan bukan sahaja penting untuk memastikan tendangan dapat dibuat dengan baik tapi ia juga penting bagi mengelakkan risiko kecederaan kepada tisu penghubung.

Kelenturan didefinasikan sebagai keupayaan otot dan tisu-tisu penghubung untuk membenarkan pergerakan anggota pada julat pergerakan yang maksimum.  

Oleh yang demikian, perkara yang asas yang perlu ditekankan untuk latihan Gerakan Serang Bela Kaki adalah kekuatan dan kelenturan otot-otot, sebelum mengambilkira faktor faktor lain seperti kekuatan dan kepantasan gerakan. 

HPCS1, SAS.


Friday, 1 February 2019

ADAB DAN REDHA GURU



Adab dengan Guru bukanlah suatu perkara asing bagi penuntut ilmu. Malah bab adab dengan Guru ini amat dititikberatkan dalam Islam. Perkara ini tak perlu dibahaskan dengan panjang lebar kerana rata-rata pengamal ilmu persilatan ini amat sedar dengan kepentingan Adab dengan Guru. Cuma satu perkara yang berkait rapat dengan bab Adab dengan Guru yang selalu menjadi peringatan kepada diri saya sendiri iaitu Redha Guru.

Redha Guru
Dalam ilmu persilatan sebenarnya amat penting sekali mendapat Redha Guru. Pengamal silat yang mendapat Redha Guru ini akan lebih mudah mendapat faham akan pelajaran yang disampaikan oleh Gurunya. Malah, adakalanya murid tersebut akan mendapat pelajaran tambahan selain yang diajar di dalam gelanggang. Ini bukan kerana Guru tersebut pilih kasih, akan tetapi ilham yang datang semasa mengajar membuatkan penyampaian berbeza beza bergantung pada rezeki murid tersebut. Ada juga yang lebih bernasib baik dengan mendapat ilmu dari Guru di dalam mimpi.

Kita dapat perhatikan dikalangan kita juga yang bergelar murid. Adakala terdapat seorang murid yang biasa-biasa sahaja penampilannya dan tidak menonjol, tapi sering disebut-sebut oleh Guru. Ada juga dikalangan murid yang tidak dapat menghadirkan diri ke gelanggang dengan kerap disebabkan oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan namun tahap penguasannya sangat hebat dan mendapat perhatian Guru. Ini jelas menerangkan bahawa ada sesuatu yang menghubungkan murid tersebut dengan Guru.

Adab Bukan Sekadar di mulut

Walaubagaimanapun, seperti juga perkara lain, Adab ini bukan sekadar diperkatakan di mulut sahaja. Ia perlu diakui dengan hati dan dilakukan dengan tindakan. Jangan sampai kita alpa dan lalai, kononnya kita ini amat beradab dengan guru tapi sebaliknya sering mengguriskan perasaan Guru kita tanpa kita sedari atau membuat sesuatu yang menyebabkan Guru berkecil hati. Selalulah membawa cermin diri walau di mana kita berada. 

Antara akibat tidak mendapat Redha Guru seperti yang diceritakan oleh Guru saya adalah ilmu yang dipelajari akan lenyap sama sekali dari diri. NauzubiLLAH.


HPCS1, SAS.